Followers

Friday, November 14, 2008

SATU MAHKAMAH - SISTEM KEADILAN MALAYSIA

Surat khabar melaporkan bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul hamid Mohamad mencadangkan percantuman mahkamah sivil serta mahkamah syariah. Jahamy telah menulis pada tahun 2005 didalam berita harian bahawa kita perlu wujudkan satu sistem keadilan di Malaysia didalam berita harian. Artikel nya berikut:-

“Satu Mahkamah mantap” sistem keadilan Malaysia
Oleh Jahamy (Berita Harian bertarikh 19hb April 2005)

KITA di Malaysia seolah-olah mempunyai dua sistem kehakiman yang 'tidak sehaluan' iaitu Mahkamah Sivil dan Syariah. Ada sesetengah menyangka sesuatu tidak Islamik dan satu lagi Islamik. Ini mewujudkan tanggapan seolah-olah dalam keadaan tertentu kita ke mahkamah bukan Islam dan ketika lain pula ke mahkamah Islam! Adakah tanggapan ini benar?

Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: 'Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan'. Ini bermakna Persekutuan mempunyai obligasi untuk memberi kesan kepada peruntukkan dalam al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW. Namun, perkara ini tidak boleh dikelirukan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang wujud kini. Dalam perkataan lain, bukan Mahkamah Syariah saja yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang bertepatan dengan prinsip keadilan al-Quran.

Mahkamah Sivil serta forum keadilan lain (contohnya tribunal pengguna)juga Bertanggungjawab dan memang mereka pada amnya sudah dan sedang menjalankan tanggungjawab ini. Setiap hari, Mahkamah Sivil sibuk mendengar dan memutuskan pelbagai pertikaian individu, syarikat dan jenayah. Perkara ini berlaku sejak kita
merdeka dan dalam suasana Mahkamah Syariah masih pada peringkat awal.

Sumbangan serta kepentingan Mahkamah Sivil sebagai satu forum keadilan dalam masyarakat tidak dapat dipertikaikan oleh sesiapa pun. Jika kita mengkaji pelbagai aspek undang-undang yang dihakimi Mahkamah Sivil, kita dapati ia bertepatan atau tidak bercanggah dengan ajaran al-Quran.

Memang ada undang-undang tertentu yang masih lemah, perlu diubah suai atau dibuang. Ini ialah proses pembaikan dan pembaharuan undang-undang yang perlu dipikul Parlimen.
Di samping itu, boleh dikatakan hampir majoriti hakim Mahkamah Sivil ialah mereka yang beriman kepada ajaran Islam, maka adalah merunsingkan bagi hakim ini jika benar Mahkamah Sivil bukan Islamik. Sebagai Muslim, mereka juga wajib beriman kepada surah al-Qalam ayat 36 hingga 38 yang bermaksud:

"Mengapa kamu ini? Bagaimana kamu membuat keputusan? Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab yang kamu mempelajarinya, sesungguhnya di dalamnya kamu dapat memilih apa yang kamu ingini?"

Jelas kita dikehendaki menghakimi atau membuat keputusan menurut prinsip atau panduan ditetapkan Allah SWT. Perkara ini amat penting kerana berkait langsung dengan Keimanan. Seorang yang sengaja tidak mahu menghakimi menurut petunjuk ditetapkan
Allah boleh tergolong dalam kategori kafir atau fasik. Kita boleh mengambil pengajaran daripada Surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud:

"... maka jangan kamu takut kepada manusia dan takutilah Aku dan jangan menjual ayatKu untuk harga yang sedikit. Sesiapa yang tidak menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang yang kafir."

Begitu juga mereka yang tidak menghakimi menurut perintah yang ditetapkan Allah boleh tergolong dalam fasik (al-Maidah: 47) atau zalim (al-Maidah: 45). Kafir, fasik dan zalim bukan perkara remeh. Tidak guna menjadi hakim yang hebat dan disegani tetapi tidak memperoleh keredaan Allah, apatah lagi keistimewaan di dunia itu hilang selepas bersara. Oleh kerana kesan yang berat ini, kita harus jelas mengenai kedudukan
Mahkamah Sivil terutama kerana ramai hakimnya Muslim. Persoalan sama ada Mahkamah Sivil menegakkan keadilan adalah isu pokok yang harus difikirkan kerana Allah berfirman bahawa menegakkan keadilan bererti mendekati sifat takwa:

"Hai orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang menegakkan
(kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Sejak merdeka, Mahkamah Sivil mengendalikan pelbagai kes dengan sejujur dan seamanah mungkin. Mahkamah ini sudah memberi makna kepada pelbagai akta diluluskan Parlimen yang memberi kesan terhadap pelbagai lapisan rakyat.

Memang ada kelemahan dalam proses sistem keadilan itu seperti kelengahan. Perkara ini diakui Ketua Hakim Negara, Datuk Ahmad Fairuz. Oleh itu, apabila beliau mengambil alih jawatan berkenaan, antara arahan utama beliau ialah mempercepatkan proses Keadilan.Kebanyakan peguam mengakui usaha beliau itu bukan saja berjaya, malah berkesan mengurangkan penderitaan mereka yang menunggu keadilan.

Adilkah jika Ketua Hakim Negara dianggap sebagai 'ketua sistem sekular' dengan konotasinya yang kurang sedap? Ketua Hakim Negara termasuk hakim lain ialah contoh manusia yang usaha bertakwa semampu mereka, sepatutnya.

Kita harus memulakan reformasi undang-undang secara menyeluruh (sivil dan syariah) untuk mengemaskinikan peruntukkan undang-undang yang bercanggah dengan keadilan.
Cara penyelesaiannya bukan dengan mengimport dari Timur Tengah atau 'negara Islam' yang diistilahkan syariah. Bukan semua yang dinamakan syariah bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah seperti bukan semua yang diistilahkan 'sivil' itu bercanggah.

Sebagai contoh, Kanun Keseksaan Syariah Nigeria ditiru bulat-bulat daripada Kanun Keseksaan Malaysia dengan beberapa pindaan. Begitu juga undang-undang hudud di Terengganu, ditiru daripada undang-undang gubalan Pakistan.

Semua sumber itu perlu dibandingkan dengan al-Quran iaitu sumber yang diakui pertama oleh semua fuqaha. Banyak contoh forum keadilan yang tidak tergolong dalam sistem Mahkamah Syariah boleh diberikan - Mahkamah Perindustrian, tribunal perumahan,
pengguna, Mahkamah Buruh dan sebagainya.

Semua forum ini adalah forum untuk menuntut keadilan dan pada amnya mereka menjalankan kerja dengan penuh amanah serta mentadbir keadilan. Mereka berada di bawah satu payung sistem keadilan. Adalah tidak tepat dan mengelirukan untuk menamakan forum ini sebagai sekular atau tidak Islamik. Masalah besar umat Muslim kini ialah perangkap istilah, kulit dan bahasa yang hampir membutakan kita terhadap
inti pati sesuatu perkara atau keadaan - budaya terpesona dengan kulit daripada menghayati isi.

Sejak merdeka sehingga kini, tidak ada seorang pun mufti negeri yang mengeluarkan fatwa bahawa Mahkamah Sivil tidak bersesuaian dengan Islam atau sistem kafir. Ini tentu bermakna mereka juga mengakui Mahkamah Sivil mempunyai unsur Islam seperti Mahkamah Syariah.

Jika ini keadaannya, mengapa diwujudkan dua sistem keadilan sedangkan kedua-duanya Islamik? Pada masa sama, pengekalan dua sistem kehakiman yang berasingan juga mengelirukan mereka yang jahil berkaitan Islam.

Islam adalah cara hidup yang menyeluruh (syumul) dan merangkumi segala aspek kehidupan. Jika kita terima sistem kehakiman sivil adalah Islamik, maka usaha harus dilakukan untuk mencantumkan kedua-dua sistem sivil dan syariah supaya wujud sistem keadilan Malaysia.

Sistem sivil dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti sivil, dagang dan keluarga. Melalui cara sama, kita boleh wujudkan beberapa bahagian bagi undang-undang khusus membabitkan perundangan Islam seperti undang-undang keluarga di bawah satu payung - iaitu sistem keadilan Malaysia.

Memang diakui usaha ke arah itu tidak mudah kerana pelbagai perkara perlu diteliti dan diambil kira. Namun, jika usaha ini memanfaatkan pentadbiran keadilan serta memperbetulkan kekeliruan terhadap Islam, kita harus lakukannya dengan mengetepikan sebarang agenda peribadi serta prejudis.

Kita mempunyai seorang Yang di-Pertuan Agong, seorang Perdana Menteri dan satu negara Malaysia. Amat bertepatan kita mempunyai hanya satu sistem keadilan iaitu sistem keadilan Malaysia yang menepati kehendak al-Quran dan Sunnah.

TAMAT

No comments: