Followers

Sunday, May 29, 2011

Friday, May 27, 2011

Siapakah Yang Menyahut Rintihan Derita Insan?

Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba; kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?

Baca seterusnya di Minda Tajdid disini - oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sunday, May 22, 2011

Mengucap Salam kepada orang Kafir ???

Baru baru ini kawan saya menegur saya kerana memberi salam kepada seorang kawan yang beragama buddha. Katanya, tidak betul saya mengucapkan "salam" kepada nya. Saya tanya beliau adakah kerana takut kawan buddha itu akan tersinggung. Katanya, bukan itu sebabnya tetapi memang "orang Islam" tidak boleh bagi salam kepada orang yang bukan Islam. Saya sendiri terkejut pandangan sedemikian boleh lahir daripada kawan saya yang merupakan seorang akauntan yang berjaya.

Memang kebiasaan saya dari dahulu untuk memberi ucapan baik kepada sesiapa yang saya bertemu samada dalam bahasa Arab, Melayu mahupun bahasa Inggris. Cuma sejak kebelakangan 20 tahun yang lalu, saya sering terbawa-bawa mengucapkan "salam" kepada sesiapa sahaja kerana ia bermakna "sejahtera" atau "aman" atau "peace". Saya dapati ucapan ini juga adalah bersifat universal. Maka saya amat harian ada sikap beberapa pihak yang mahu menghadkan ucapan dalam bahasa Arab kepada yang beragama "Islam sahaja dengan alasan agama.

Sikap sedemikian disamping tidak masuk akal, tidak berasas disisi ajaran Al-Quran serta ianya juga lucu.

 Begitu banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajar Muslim (penggunaan istilah "orang Islam" kurang tepat) untuk memberi ucapan yang baik kepada orang lain. Islam yang saya fahami adalah, antara lain, cara hidup yang positif yang tidak kedekut untuk berkongsi nilai-nilai positif serta "positive enegry" dengan orang lain walaupun dengan seorang ateis. Rahmah Maha Pencipta adalah untuk semua, hanya manusia itu sendiri yang mengingkari rahmah-rahmah ini.


Surah Al Furqaan Ayat 63 begitu cantik mengajar seorang Muslim cara berinteraksi dengan orang yang jahil (jahiluuna):

"Hamba-hamba Yang Maha Pengasih ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang apabila orang-orang yang jahil menyapa mereka, mereka berkata, "Salam" . (qaaluu salaamaa)" (Quran 25:63)

Begitu jelas sekali daripada ayat diatas bahawa hamba-hamba Allah ialah mereka yang merendah diri serta tidak bersikap eklusif sehingga tidak mahu mengucap salam kepada mereka yang jahiluuna. 

Surah Az Zukhruf ayat 88 hingga 89 juga membawa mesej yang sama berkaitan cara kita berinteraksi dengan orang yang tidak beriman.
"Dan ucapannya, "Ya Pemeliharaku, sesungguhnya mereka ini adalah kaum yang tidak beriman." (Quran 43:88).

"Maka berpalinglah engkau dari mereka, dan katakanlah, "Salaamun!" maka kelak mereka akan mengetahui" (Quran 43:89).
Begitu banyak sekali ayat-ayat Al-Quran yang mengajar kita bersikap merendah diri dan berinteraksi dengan orang yang tidak beriman dengan cara yang sopan. 

Semasa saya belajar di UKM, saya sentiasa rasa amat lucu apabila saya mendengar pegawai-pegawai kanan universiti memulakan ucapannya dengan "Assalamualaikum kepada yang beragama Islam dan salam Sejahtera kepada yang bukan Islam".  Pada saya ucapan ini bukan sahaja tidak masuk akal tetapi kesannya adalah lebih buruk daripada baik.

Pertamanya, apakah bezanya ucapan "salam" yang diucapkan dalam bahasa Arab atau dalam bahasa Malaysia?  Adakah yang berbahasa Arab itu lebih afdal? Jika yang berbahasa Arab itu lebih afdal bagaimana pula dengan ucapan dalam bahasa Arab yang diucapkan oleh begitu banyak orang Arab yang bukan Muslim? Apalah salahnya kalau kita hanya mengucapkan "salam" kepada semua. Jika kita khuatir orang bukan Islam akan tersinggung, maka ucap sahaja lah "Salam Sejahtera" kepada semua. Muslim harus faham bahawa Islam lebih pentingkan isi dari kulit dan harus memahami keadaan tersebut. Malangnya, dalam diri kita, kita lebih pentingkan "tanggapan orang-orang kita" dan "imej diri" daripada intipati ajaran Allah.

Keduanya pula dalam konteks negara Malaysia, ucapan sedemikian sebenarnya  lebih bersifat memisahkan rakyat kepada "Islam dan bukan Islam" dan kita harus bertanya samada peringatan mengenai perbezaan ini begitu perlu? 

Saya pernah dengar sejenis ucapan yang saya anggap sangat tidak sensitif seperti "Salam sejahtera kepada yang masih belum beragama Islam" semasa saya di UKM. Malangnya ucapan ini dibuat oleh mereka yang dalam kedudukan berkuasa berbanding dengan pelajar-pelajar. Saya rasa amat malu dengan sikap orang dewasa macam ini yang berani berkelakuan seperti ini dihadapan budak-budak. Orang-orang dewasa macam ini lah yang merosakkan "imej Islam" kerana sikap  keterlaluan mereka yang berasaskan emosi dan tidak berasaskan pengetahuan dan kefahaman sensitivi manusia lain. Pada saya ini bukanlah caranya untuk mendekatkan sesiapa kepada ajaran Islam kerana ia menampakkan sikap keangkuhan.

"Dan janglah kamu memaki (sembahan-sembahan) yang mereka sembah selain daripada Allah, maka mereka akan memaki Allah dengan permusuhan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan". (Quran 6:108)

Pada saya, terdapat perbezaan yang besar diantara menyampaikan atau berkongsi ajaran Al-Quran kepada mereka yang mahu mendengar berbanding sikap keangkuhan agama seperti yang dimilki Firaun. Dalam Al-Quran, Firaun menjadi penentu mutlak agama rakyatnya dan fahaman-fahaman lain ditindas dengan undang-undangnya yang zalim. Melalui kuasa yang dimilkinya, Firaun mengangkat dirinya menjadi tuhan. Sikap sedemikian bukanlah ajaran Al-Quran sepanjang fahaman saya.

Maka, bagi mereka yang beriman kepada Allah dan ajaran-ajarannya didalam Al-Quran, ia tidak mempunyai sebarang masalah menghormati orang-orang lain yang berlainan agama. Muslim seperti ini melihat persahabatan dengan manusia-manusia lain sebagai peluang untuk saling tolong menolong serta saling mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Persahabatan juga memberi peluang untuk berkongsi fahaman agama masing-masing dan melalui cara ini, dengan izin Allah, mungkin juga ada mereka yang boleh memahami serta  menerima isi kandungan Al-Quran. 

Salam.

NOTA: Harap pembaca merujuk kepada naskah Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki sesiapa pun bersetuju dengan pandangan penulis diatas. Sebaliknya, penulis berterima kasih sekiranya ada sebarang maklum balasa dan pandangan berbeza. Ilmu Allah itu teramat luas untuk dimiliki oleh seorang atau sekumpulan manusia betapa berilmu pun orang itu diiktiraf.