Followers

Showing posts with label Quran. Show all posts
Showing posts with label Quran. Show all posts

Friday, July 5, 2013

“Islam” yang macam mana yang diketengahkan? – Bahagian Satu

Soalan ini mungkin terasa pelik bagi sesetengah orang. Ia menjadi pelik kerana “Islam” sebenar nya hanya lah “satu” sahaja dan yang berbeza ialah tafsiran mengenai “rupa bentuk” itu “Islam”.

Tafsiran-tafsiran ini dibuat oleh manusia dengan penggunaan akal yang dimilikinya berdasarkan sumber-sumber yang dibaca dan dikaji oleh nya. Lebih banyak fakta, maklumat dan sumber-sumber yang dikajinya, kemungkinan lebih luas pandangannya untuk membuat suatu tafsiran.

Tafsiran-tafsiran yang dibuat olehnya juga dipengaruhi oleh keupayaan intelektual serta kerajinan berfikir nya. Sarjana atau orang yang kurang pandai mempunyai keupayaan berfikir yang kurang berbanding dengan seorang yang lebih pandai dan rajin berfikir. Disamping itu, kebolehan si penafsir untuk bersikap adil secara intelektual (“intellectual honesty”), kebolehan untuk berfikir secara objektif tanpa dipengaruhi oleh prejudisnya, emosinya, kepentingan peribadinya serta kecendurungannya juga merupakan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi ketepatan tafsirannya.

Iklim politik juga memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah manusia untuk menentukan tafsiran mana yang menjadi dominan dalam masyarakat serta diangkat sebagai tafsiran rasmi. Maka, banyak perkara yang mempengaruhi penafsiran apa itu “Islam” serta rupa bentuknya dalam masyarakat tertentu.
Tafsiran mengenai Islam mungkin akan menghasilkan keputusan yang berbeza-beza berdasarkan sumber-sumber rujukan yang digunakan.

Al-Quran sahaja?

Sebagai contoh, adakah tafsiran anda berdasarkan Al-Quran semata-mata?

Kumpulan ini mengelar diri mereka sebagai “Quranist”, manakala mereka dikecam oleh kumpulan lain sebagai “anti-hadith”. Kumpulan ini merasakan bahawa tafsiran berdasarkan Al-Quran sahaja memadai kerana Al-Quran itu wahyu Allah yang lengkap serta mudah difahami.  Mereka juga merasakan bahawa setiap Muslim wajib membaca dan memahami Al-Quran bagi dirinya kerana setiap individu bertanggungjawap bagi dirinya sendiri. Mereka berpendapat bahawa Al-Quran memberi tafsirannya sendiri didalam Al-Quran dan kesemua ayat-ayat didalam Al-Quran itu adalah wahyu Allah yang sahih tanpa sebarang keraguan.

Kumpulan ini juga berpendapat orang lain tidak mungkin memikul kegagalan atau kecuaiannya untuk memahami Al-Quran. Mereka juga berhujah bahawa kewajiban memahami Al-Quran adalah satu usaha yang tidak boleh didelegasikan kepada pihak ketiga.

Al-Quran dan Sunnah?

Adakah tafsiran anda Al-Quran dan Sunnah?

Sunnah pada hari ini terbuku dalam kitab-kitab “hadis” yang digelar sebagai “Al-Sihah Al Sittah” yang secara literalnya bermaksud “enam yang sahih” walaupun bukan kesemuanya dianggap sahih kecuali kedua-dua koleksi yang pertama didalam senarai dibawah. Kumpulan Shia mempunyai koleksi hadis mereka yang tersendiri.

Kumpulan Sunna Wal-Jamaah  menerima enam koleksi hadis dibawah ini sebagai yang terpenting:
  1. Sahih Bukhari, dikumpulkan oleh Imam Bukhari (d. 870), mempunyai 7275 hadiths (2,602 tanpa pengulanggan)
  2. Sahih Muslim, dikumpulkan oleh Muslim b. al-Hajjaj (d. 875), mempunyai 9200 (3,030 tanpa pengulangan)
  3. Sunan al-Sughra, dikumpulkan oleh al-Nasa'i (d. 915)
  4. Sunan Abi Da'ud, dikumpulkan oleh Abu Da'ud (d. 888)
  5. Sunan al-Tirmidhi, dikumpulkan oleh al-Tirmidhi (d. 892)
  6. Kadang-kadang dirujuk sebagai Al-Muwatta, dikumpulkan oleh Imam Malik (d. 796) dan kadang-kadang Sunan Ibn Majah, dikumpulkan oleh Ibnu Majah (d. 886). Ada juga yang menerima Sunan al-Darami sebagai yang keenam.
Hadis-hadis yang sahih dikatakan telah melalui satu proses pengsahihan yang ketat oleh pengumpul hadis-hadis ini. Kumpulan ini berhujah, diantara lain, bahawa Al-Quran itu tidak mudah difahami tanpa bantuan hadis-hadis didalam banyak perkara, sebagai contoh dalam hal sembahyang lima kali sehari. Mereka juga bergantung kepada asbabun nuzul iaitu penulisan berkaitan dengan mengapa suatu ayat Al-Quran itu diturunkan untuk membuat penafsiran. Dalam perbincangan mengenai asbabun nuzul juga timbul isu-isu kesahihan dan pemalsuan.

Disamping hadis-hadis yang sahih, terdapat bermacam-macam hadis yang palsu yang telah lahir didalam didalam “sejarah Islam”. Terdapat pelbagai sebab mengapa pemalsuan hadis (wad al-Hadith) ini berlaku termasuk sebab-sebab kepentingan politik dan kepentingan perkauman.

Maka amat jelas sekali bahawa bagi mereka yang mahu bergantung kepada hadis sebagai asas, ia harus berwaspada bahawa hadis yang dipercayai itu adalah hadis yang sahih dan tidak bertentangan dengan wahyu Allah didalam A-Quran. Walaupun tuduhan terhadap orang lain sebagai “anti-hadith” amat mudah, jangan pula kita menjadi penyebar hadis palsu dan melanjutkan penipuan diatas nama Rasul.

Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas?

Disamping Al-Quran dan Sunnah, ijma dan qiyas juga membentuk “rupa Islam” dalam masyarakat. Ijma’ dan Qias adalah hasil daripada pemikiran dan penganalisaan para ulama agama.

Ijma dalam penggajian usul al-fiqh bermakna persetujuan atau persepakatan kesemua sarjana-sarjana masyarakat Muslim tanpa sebarang kekhilafan atau perbezaan pendapat dalam hal yang berkenaan. Maka dalam konsep ijma ini, tidak ada ruang untuk sebarang perbezaan pendapat atau persetujuan majoriti. Untuk sesuatu perkara itu dilayak untuk menjadi hasil ijma’ ia mestilah hasil pesetujuan semua sarjana-sarjana dalam masyarakat Muslim.

Qiyas pula merupakan proses untuk membuat suatu kesimpulan dalam suatu perkara berdasarkan perbandingan dengan perkara lain.

Pendek kata, ijma’ dan qiyas adalah hasil daripada usaha pemikiran dan penganalisaan ulama-ulama agama dan sarjana-sarjana pengajiaan Islam atau kumpulan yang di panggil sebagai ahlul fuqaha.

Pada asasnya,  itulah sumber-sumber yang boleh mempengaruhi tafsiran yang akan menghasilkan rupa bentuk “Islam” dalam masyarakat. Pengajian usul al-fiqh dan usul al-hadith adalah suatu bidang yang dianggap komplek namun saya percaya saya tidak salah jika saya katakan bahawa bidang-bidang ini adalah hasil pemikiran dan penganalisaan ulama-ulama agama dan sarjana-sarjana agama.

Salam.


[NOTA: Sipembaca dikehendaki membuat kajiannya sendiri dan tidak digalakkan menerima penulisan diatas tanpa selidik. Komen-komen dan pembetulan fakta, jika ada, dialu-alukan].

Saturday, March 24, 2012

Bahagian Kedua: Agama tidak menggalakkan penganutnya berfikir atau menggunakan minda


Agama memerlukan penganut yang taat pada agamanya.  Hampir semua agama menggalakkan penganutnya menerima segala sesuatu yang ditetapkan oleh ketua-ketua agama mereka atau diterima oleh masyarakat mereka sebagai kebenaran hakiki. Mereka yang menyoal dikatakan sebagai lemah keimanan atau kepercayaan. Apa yang perlu hanya lah “beriman” atau sering dikatakan dalam Bahasa Inggeris sebagai “All you need is faith”. Hakikat bahawa “keimanan” semata-mata mengenepikan peranan pengetahuan dan nas tidak dipedulikan. The fact that pure faith displaces the role of reason and knowledge is of no concern.

Kalau pun penggunaan akal dibenarkan oleh agama, ia nya hanya lah sekadar untuk memahami apa yang disampaikan untuk dituruti tanpa penilaian mendalam atau berasaskan ilmu dan nas. Memandangkan agama menafikan peranan akal, maka hampir kesemua agama mempunyai pelbagai cerita-cerita fantasi dan magik. Penganut-penganut dilatih dari awal untuk menerima sesuatu ajaran atau cerita tanpa berfikir atau selidik.  Dalam keadaan dimana akal tidak mempunyai peranan langsung, emosi atau perasaan serta superstition bermaharajalela atau menjadi dominan. Segala sesuatu yang tidak boleh diterima akal  atau tidak bersandarkan nas yang kredibel disedapkan hati dengan alasan bahawa “hanya tuhan sahaja yang mengetahui” atau “segala-galanya mungkin dengan tuhan” dan sebagainya.

Inilah antara sebabnya mengapa dunia agama penuh dengan emosi dan perasaan sehingga ia boleh bergayut diantara dua ekstrim iaitu emosi yang cukup lembut atau emosi yang cukup ganas. Kedua-dua ekstrim ini melahirkan pelbagai masalah dan kesengsaraan dalam kehidupan. Malangnya, sikap taat kepada agama menafsirkan kesengsaraan ini sebagai pengorbanan walaupun ianya secara rasional merugikan semua pihak.

Perbincangan atau penilaian mengenai Pencipta atau kebenaran menjadi mustahil dengan penganut agama ekoran ketaatan mereka kepada agama dan bukan kepada kebenaran atau Pencipta (“Tuhan”). Ketaatan mereka kepada agama menghalang mereka daripada menumpukan perhatian kepada perkara yang dibincang. Disamping itu, obsesi mereka untuk merujuk kembali kepada apa yang diajar juga menghalang mereka daripada berfikir dengan menggunakan akal sendiri.

Agama melahirkan konsep ketuhanan yang mengelirukan.

Agama-agama mempunyai konsep ketuhanan yang agak mengelirukan. Ia kerap tidak mudah difahami oleh penganut-penganut biasa, maka mereka hanya percaya sahaja. Konsep “tuhan” juga berbeza-beza daripada satu agama berbanding dengan agama-agama yang lain. Disamping itu, satu agama mungkin mempunyai banyak tuhan-tuhan dengan pelbagai nama.

Ada juga agama yang mempunyai dewa-dewa dan dewi-dewi disamping tuhan-tuhan. Diantara tuhan-tuhan atau dewa-dewi ini ada yang mempunyai sifat manusia yang dikatakan telah hidup dimuka bumi satu ketika dahulu. Dalam agama sedemikian, pengganut akan memilih tuhan atau dewa-dewi yang sesuai untuk mereka dan akan menyembah pilihan mereka.  Perbincangan mengenai rasionaliti atau kemunasabahan dewa-dewi ini disembah juga menjadi mustahil kerana tidak wujudnya asas-asas yang logik atau munasabah.

Ada pula agama-agama yang tidak mempunyai dewa-dewi tetapi mereka juga mencipta tuhan-tuhan berupa manusia yang masih hidup disamping satu “tuhan induk yang ghaib”.

Islam Bukan Agama dalam ertikata yang biasa ditakrifkan.

Sebelum saya meneruskan, saya ingin menekankan bahawa tulisan ini merupakan fahaman saya dan saya tidak mengkehendaki sesiapa pun untuk menerimanya. Sebaliknya, seperti selalu, saya mengalu-alukan pandangan yang boleh mendidik diri saya kerana saya sentiasa beringat bahawa ilmu yang sebenar adalah kepunyaan Allah. Manusia juga tidak berupaya menguasai segala ilmu dalam kehidupannya yang begitu singkat.

Saya ulang disini bahawa tulisan ini merupakan fahaman saya berdasarkan kajian saya sendiri serta dengan penggunaan akal saya sebaik dan seikhlas mungkin. Oleh yang demikian, saya tidak rela untuk sesiapa pun setuju dengan pandangan saya disini tanpa berfikir dengan sendiri serta mengkaji Al-Quran. 

Saya juga tidak rela memikul beban yang sanggup dipikul oleh ketua-ketua agama di muka bumi ini dimana mereka dengan begitu yakin (dan kekadang secara angkuh) bercakap bagi pihak Maha Pencipta serta memaksa manusia lain menuruti fahaman dan tafsiran mereka.

Seperti yang saya katakan pada awal rencana ini, saya kurang setuju dengan pemanggilan Islam sebagai “agama” kerana ia mempunyai pelbagai maksud dan kebanyakkan nya tidak langsung menjelaskan “cara hidup Islam seperti yang diperjelaskan dalam Al-Quran”.  Diantara beberapa ciri-ciri agama telah pun saya menyentuh diatas didalam tulisan ini.

Saya lebih berminat merujuk kepada “Islam” sebagai Addeen Allah atau “cara hidup menyeluruh yang disarankan oleh Maha Pencipta untuk yang dicipta” atau “The Way”..  Garispanduan, prinsip-prinsip atau nilai-nilai yang perlu untuk menjalani kehidupan didunia serta menghadapi cabaran semulajadi kehidupan terdapat didalam Al-Quran secara lengkap.

Berpandukan Al-Quran juga, kita dipandu oleh Maha Pencipta untuk menggunakan akal serta mempelajari daripada alam semesta kerana banyak tanda-tandaNya ditaburi disitu bagi mereka yang mahu berfikir dan mahu sujud dengan kesujudan yang sebenarnya kepada ilmu yang diberikan olehNya kepada manusia yang rela.

Aritkel saya disini akan berhujah serta menunjukkan rumusan pandangan saya seperti dibawah ini:-

Agama mengajar manusia supaya tidak berfikir dan hanya menjadi pak turut manakala Islam mewajibkan manusia berfikir, merenung dan menekankan “self accountability” iaitu kebertanggungjawapan diri.

Agama menggongkong jiwa manusia, manakala Islam membebaskan jiwa manusia dimana jiwa ini bebas menerima rahmat dan panduan Allah kerana bebas daripada penjara agama. 

Agama mengabdikan manusia kepada manusia-manusia yang berkuasa dan berpengaruh dalam masyarakat, manakala Islam mengembalikan pengabdian kepada Maha Pencipta.

Agama mengajar sikap menggemis dalam pelbagai segi manakala Islam mengajar sikap redha dalam ertikata yang memberi kesan positif dan proaktif secara semulajadi dalam kehidupan seseorang.

Agama melahirkan sifat “syok sendiri” dan mudah menghukum mereka yang berbeza dengan kita manakala Islam mengajar kita sentiasa merendah diri terhadap ilmu dan menjadi pemaaf yang berhikmah.

Agama mengkhayalkan manakala Islam membangunkan mereka yang merelakan diri mereka  dibangunkan.
Agama mengajar manusia bergurukan manusia manakala Islam mengajar manusia bergurukan Maha Guru yang Esa yakni Maha Pencipta sendiri serta tanda-tanda yang ditunjukki dalam kehidupan.

Agama mengajar manusia mempertuhankan pelbagai tuhan-tuhan dalam pelbagai bentuk dan peranan disamping Maha Pencipta manakala Islam mengajar manusia sujud hanya kepada hanya kepada Maha Pencipta.

Agama menekankan upacara, simbol-simbol dan imej luaran tanpa mementingkan dalaman manakala Islam menekankan dalaman atau kerohanian atau spiritualism yang sekaligus akan memancarkan luaran yang konsisten. 

Allah menganjurkan penggunaan minda supaya manusia memahami Addeen Nya !

Cuba kita lihat kepada hakikat kehidupan seharian. Setiap ibu-bapa yang bertanggungjawap akan cuba untuk mendidik anak mereka sebaik mungkin.Awal-awal lagi kita daftarkan anak-anak kita ketadika, kemudian kesekolah dan lepas itu ke Universiti. Mereka yang tidak mampu ke Universiti diberikan laithan kemahiran tertentu. Pendekkata, tidak ada manusia yang akan menafikan fakta bahawa penggunaan minda secara betul amat perlu untuk hidup.  Jika anda tidak menggunakan akal, tidak pandai berfikir atau tidak mahu berfikir, hampir mustahil untuk hidup secara efisien mahupun hidup secara aman dan bertamadun.

Peranan penting akal dan fikiran dalam kehidupan adalah kebenaran yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, tidak kira apa kah agama, bangsa atau kedudukannya.  DImana “agama” pada lazimnya tidak membenarkan penggunaan akal atau minda, Al-Quran sebaliknya mengajar bahawa untuk memahami Islam, kita perlu menggunakan minda atau akal.

Inalah sebuah Kitab Kami turunkan kepada kamu yang diberkati, supaya mereka memikirkan ayat-ayatnyai, dan supaya orang-orang yang mempunyai pemikiran mendapat pelajaran”. (Quran 38:29).

Kitab Al-Quran itu di turunkan bukanlah untuk dijadikan sebagai satu “kitab suci agama” yang dibaca pada majlis-majlis “keagamaan” semata-mata tanpa menghiraukan maksud nya. Kesucian Al-Quran terletak kepada kebenaran universal mesej-mesej yang terkandung didalamnya. Manusia yang tidak percaya dengan tuhan pun tidak dapat menafikan sifat “universality” mesej-mesej ini. Sebagai contoh tidak ada manusia yang boleh menafikan kepentingan keadilan didalam kehidupan bertamadun yang disebut berulang kali didalam Al-Quran.

Al-Quran juga mengajar nilai-nilai lain seperti kejujuran, kerajinan, penggunaan minda, perpaduan manusia, kesabaran, tanggunjawap sesama manusia dan terhadap makhluk-makhluk lain dan sebaginya. Kesemua ini adalah contoh-contoh nilai-nilai universal yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa yang berakal.  Namun, mana kamu tahu mesej-mesej ini wujud dalam Al-Quran serta ianya benar kalau kamu tidak pernah atau tidak mahu membaca serta memikirkan tentang maksudnya? 

“Katakanlah, "Aku tidak mengatakan kepada kamu, 'Aku mempunyai perbendaharaan Allah'. Aku tidak mengetahui yang ghaib, dan aku tidak mengatakan kepada kamu, 'Aku seorang malaikat'; aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku." Katakanlah, "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat? Tidakkah kamu fikirkan?" (Quran: 6:50)

Begitu banyak tuntutan dalam Al-Quran untuk kita berfikir. Begitu banyak cabaran oleh Maha Pencipta kepada manusia untuk memikirkan pelbagai perkara termasuk cipataan alam, sejarah dan sebagainya bagi tujuan memahami hakikat dan kebenaran kehidupan. Al-Quran juga bukanlah diturunkan semata-mata untuk melagukannya bagi “menyedapkan hati” tanpa berusaha memahami isi kandungannya. Al-Quran bukanlah syair (Quran 36:69) atau dongeng-dongeng dulu kala untuk menyeronokkan hati (Quran 16:24). Namun, masih juga terdapat ramai yang sengaja tidak mahu berusaha memahami isi AL-Quran. Mengapa?

“Apa, tidakkah mereka merenungkan Al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada hati mereka?” (Quran: 47:24)

Bagi mereka yang mengambil Islam sebagai “agama”, mereka akan terperangkap dengan hati yang menghindarkan diri mereka daripada mendekati isi Al-Quran atau untuk mengamalkan nilai-nilai yang terkandung didalamnya. Ini adalah kerana agama sering cenderung kepada pengamalan beberapa upacara-upacara asas sahaja yang dirasai memadai untuk memperolehi “kerestuan Maha Pencipta”.  Perangkap agama ini akan menjadikan mereka taat keapda agama seperti yang dibincang terlebih dahulu daripada taat kepada kebenaran yang ditunjukki didalam Al-Quran.

Sebaliknya, mereka yang benar-benar beriman (percaya) kepada Allah akan bergegas untuk merenungkan ayat-ayat Al-Quran kerana sudah tentu kelompok sedemikian tidak sabar untuk mengetahui apakah yang diterangkan oleh Pencipta mereka sendiri. Orang-orang yang beriman mencernakan keimanan mereka melalui usaha untuk memahami ajaran Al-Quran serta percubaan mengaplikasikan ajaran tersebut didalam kehidupan seharian mereka. Bagi kelompok yang tidak mahu berfikir, sudah tentu kepercayaan yang mereka anuti itu berdasarkan sangkaan tanpa nas sama seperti pengganut-pengganut agama lain yang juga tidak pernah memikirkan apa yang mereka percaya.

“Dan kebanyakan mereka hanya mengikuti sangkaan, dan sangkaan tidaklah berguna sedikit pun terhadap yang benar. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka buat”. (Quran: 10:36)

Selain daripada kedudukan tinggi yang diberikan oleh Al-Quran kepada pemikiran atau penggunaan minda,  saya juga dapati bahawa kita dipertanggungjawapkan dengan sikap kaji selidik dan sikap menilai apa yang kita dengar.

Surah 17 ayat 36 boleh diterjemah sedemikian:

“Dan janganlah engkau turut apa-apa yang engkau tidak ada ilmu padanya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya”.

Ayat-ayat diatas dengan jelas menidakkan sikap mempercayai secara buta tuli sepertimana yang dianjurkan oleh agama-agama. Pada saya, ayat diatas mewajibkan kita membuat kajian serta penilaian berdasarkan ilmu sebelum kita menerima sesuatu itu sebagai kebenaran. Disamping itu, ayat diatas dengan jelas mengatakan bahawa kita akan dipertanggungjawapkan mengenai apa yang kita percaya dan terima. Jelas bahawa Addeen Allah tidak menidakkan peranan akal atau menganjurkan kepercayaan buta tuli tanpa usul periksa.

Manusia yang benar-benar beriman kepada Tuhan bukanlah seperti manusia yang siang malam membaca mantra yang tidak difahami olehnya dengan harapan palsu bahawa perbuatan ini akan mendekatkan dirinya kepada Maha Pencipta. Sebaliknya, kehadiran serta kewujudan Maha Pencipta hanya dapat difahami serta di”rasai” oleh mereka yang mahu memerhatikan serta memikirkan mengenai hukum-hukum alam, kejadian-kejadian alam dan sebagainya jika ianya adalah pencari kebenaran yang ikhlas dan merendah diri.

“Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang yang mempunyai minda”, (Quran: 3:190)

Terdapat begitu banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajak manusia untuk mempelajari ilmu-ilmu sains yang Al-Quran mengistilahkannya sebagai “ayatun” atau pengajaran tentang kewujudan Maha Pencipta bagi mereka yang mahu menggunakan minda mereka (Quran: 7:185, 88:18-20). Malangnya, ramai manusia yang terpengaruh dengan ajakan agama yang lebih cenderung untuk menengahkan kaedah tahyul dan fantasi kononnya untuk “mendekati” diri kepada Maha Pencipta. Pada saya, kaedah-kaedah tahyul dan “superstition” ini bukan sahaja menjatuhkan martabat manusia sebagai ciptaan Maha Pencipta yang “karamna”, sebaliknya ianya memperkukuhkan kerja syaitan untuk memberi janji-janji palsu kepada mereka yang tidak mahu berfikir.

“Setan menjanjikan dan membangkitkan angan-angan mereka, dan setan tidak menjanjikan kepada mereka melainkan tipuan belaka” (Quran: 4:120).

Bersambung bahagian 3 (Insha Allah)……

Thursday, June 3, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 5


Di bab 4, saya telah membincangkan beberapa perkara mengenai memperundangkan kepercayaan dengan memberi beberapa sahaja contoh-contoh “kesalahan agama” di sisi undang-undang. Pada asasnya, apa yang termaktub di dalam undang-undang syariah yang di luluskan oleh Dewan Perundangan Negeri dengan kerjasama majlis agama masing-masing wajib (dari segi undang-undang negeri) diterima sebagai undang-undang Islam atau undang-undang Tuhan.

Rakyat Muslim kebanyakkan mengandaikan bahawa segala yang termaktub di dalam undang-undang syariah Negeri-negeri semestinya sejajar dengan ajaran dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Semestinya ia merupakan satu andaiaan sehingga setiap Rakyat Muslim mengesahkan bagi diri nya bahawa peruntukkan-peruntukkan undang-undang tersebut sejajar dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Pengesahan ini adalah satu perkara yang tidak akan di lakukan oleh kebanyakkan rakyat Muslim. Ini bermakna kebanyakkan rakyat Muslim menurutinya tanpa pengetahuan berasas mengenai apa yang dituruti.

Jika kupasan saya di atas berasas, maka timbul beberapa persoalan yang harus di hadapi oleh setiap Rakyat Muslim yang mengambil berat ubudiah atau pengabdian mereka kepada Allah:

(a)                Adakah sikap Muslim untuk menerima sesuatu tanpa usul periksa dan tanpa pengetahuan?

“Dan jangan lah engkau turut apa-apa yang engkau tidak ada ilmu padanya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan disoal” (Quran 17:36)

Tidak kah ayat tersebut dengan jelas menetapkan bahawa sikap seorang Muslim adalah sikap yang memeriksa, menilai dan mengesahkan sesuatu sebelum menerimanya?  Mustahil Allah memberi akal, fikiran dan kebolehan menilai semata mata untuk hiasan! Fahaman saya, wajib bagi Muslim melatih diri nya untuk mempunyai satu “inquiring mind”. Kita di berikan kebebasan untuk mencari, menyelidik dan memahami ajaran Al-Quran. Keperluan untuk menurut sahaja tanpa berfikir atau menilai menghadkan kebebasan tersebut.
Memang, kita masing-masing sibuk dengan hal-ehwal keluarga, kerja dan lain-lain. Namun tidak kah semua itu alasan belaka untuk tidak mahu menilai sesuatu yang menyentuh ubudiah kita?

Boleh kah kita mengatakan kita mengambil berat mengenai persekolahan anak-anak kita jika kita tidak pernah langsung menjenguk sekolah nya untuk memuaskan diri bahawa persekitaran dan guru-guru nya adalah baik? Kalau tidak pernah menjenguk kerja rumah anak-anak kita? Pernah kah kita beli, umpamanya sebuah kereta tanpa “test drive” dan memeriksa nya dahulu? Kita mengambil begitu berat dalam hal-hal “dunia”. Kita tidak bersikap acoh atau bermain-main dengan duit dan perbelanjaan. Namun, dalam bidang ubudiah adakah kita main-main, pakai agak-agak dan percaya pada kata orang lain?

“(yaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai satu senda-gurau dan mainan, dan kehidupan dunia telah menipu mereka." Maka pada hari (kiamat) ini, mereka Kami melupakan sebagaimana mereka telah melupakan pertemuan dengan hari ini, dan mereka mengingkari ayat-ayat Kami”. (Quran: 7:51)

Apabila kita mengatakan kita mengambil berat agama kita, tahu kah kita apa yang kita katakan atau sekadar menyedapkan hati?

(b)               Apabila di sebut sahaja istilah “undang-undang syariah”, kita akan menyokong nya atas nama Allah tanpa mengetahui isi kandungan nya. Adakah kah sokongan ini satu sokongan yang benar? Ada yang akan begitu beremosi apabila ada Muslim lain yang mahu menilai nya atau mengupas nya secara ikhlas. Konon nya kita begitu sensitif dan mahu “menjaga kesucian Islam”. Bagaimana mungkin menjaga kesucian sesuatu yang kita tidak tahu atau jahil terhadap nya?  

“Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata, "Kami mendapati nenek moyang kami melakukannya, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya." Katakanlah, "Sesungguhnya Allah tidak menyuruk berbuat keji” Mengapa kamu mengatakan (sesuatu) atau nama Allah yang kamu tidak ketahui?" (Quran: 7:28)

Sekali lagi, saya percaya mesej dalam ayat diatas begitu jelas: kita tidak boleh menjadi pak turut tetapi sebaliknya seorang penilai. Pak turut tidak bebas, seorang penilai bebas dan bertanggung jawap pada diri nya sendiri. Adakah Melayu Muslim pak turut atau penilai?

(c)                Kita juga menyedapkan hati dengan meyakinkan diri bahawa jika sesuatu itu dituruti oleh orang kebanyakkan atau majoriti, sudah tentu ia benar, atau tidak ada kepalsuan pada nya. Kita mengukur kebenaran sesuatu berdasarkan berapa ramai orang mengatakan atau mempercayainya. Adakah ukuran ini betul? Kalau betul, mengapa Allah memberi amaran berikut kepada kita?:

Dan jika engkau turuti kebanyakan orang-orang di bumi, niscaya mereka menyesatkanmu dari jalan Allah; Mereka tidak lain hanyalah menurutkan sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah membuat kebohongan semata-mata”. (Quran: 6:116)

Hakikat asasnya ialah suatu pembohongan atau kepalsuan tetap kepalsuan kalaupun diulangi oleh berjuta-juta orang berabad-abad. Begitu banyak tahyul dan pemikiran kusut diturunkan dari jenerasi ke jenerasi kerana jenerasi masing-masing mengharamkan pemikiran di luar yang di terima oleh masyarakat.

(d)               Sebagai peguam, sudah tentu saya sedar bahawa seorang rakyat wajib turuti undang-undang yang di luluskan oleh Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat setelah ianya digazet. Lagi pun, apabila ia nya telah di luluskan sebagai undang-undang, Rakyat Muslim tidak mempunyai pilihan selain daripada menurutinya bagi tujuan mengelakkan hukuman undang-undang

Andaikan anda lakukan suatu kesalahan lalu-lintas (salah letak kereta), anda akan di hukum mengikut undang-undang berkenaan. Mungkin anda akan didenda. Kemungkinan besar anda tidak akan merasakan bahawa kesalahan ini menggugat akidah atau ubudiah anda. It may not affect your religious conscience. Ini adalah kerana tidak ada sesiapa pun yang mengatakan bahawa undang-undang lalu-lintas itu “undang-undang Tuhan”.

Sebaliknya, undang-undang syariah dikatakan atau difahami orang ramai sebagai “undang-undang Tuhan”. Sudah tentu dakwaan ini akan membangkitkan sensitiviti Muslim. Anda juga sudah tentu mahu memastikan bahawa tiada pendustaan dilakukan diatas nama Tuhan. Sebagai contoh, walaupun setiap Muslim menerima sembahyang lima kali sehari, ada kah anda akan terima sebagai “undang-undang Tuhan” jika digubal undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa agama menahan atau denda atau memenjara seorang yang tidak sembahyang?

Undang-undang “biasa” dan undang-undang “syariah” berada di dua tahap yang berbeza. Boleh dikatakan satu itu menyentuh “jasad” dan satu lagi itu menyentu “roh” seseorang”. Apabila ada perkara yang menyentuh roh kita, mahu kah atau berani kah kita mendeligasikan “kesejahteraan” roh kita di akhirat nanti pada tangan manusia lain, walau berkuasa mana pun atau “berilmu” mana pun manusia itu tanpa kaji selidik sendiri? Kita sudah sedar bahawa kuasa dan ilmu bukan penentu mutlak hidayah atau kejujuran.

“Itulah kamu, kamu membela (bagi pihak) mereka dalam kehidupan dunia; tetapi siapakah yang akan membela mereka terhadap Allah pada Hari Kiamat, atau siapakah yang akan menjadi pelindung bagi mereka?”  (Quran 4:109)

Sudah tentu setiap Muslim tahu bahawa diakhirat nanti, setiap kita terpaksa menjawab bagi diri kita sendiri.  Kalau kita benar-benar beriman (percaya dengan yakin) dengan ayat ini, adakah kita memastikan bahawa setiap kita menilai setiap undang-undang yang diluluskan atas nama “Allah”? 

(e)                Undang-undang amnya memperuntukkan hukuman. Apabila ada undang-undang yang “memantau” kepercayaan, menentukan bentuk kepercayaan serta amalan agama, ia lebih tertumpu pada mengenakan hukumana daripada memberi pendidikan. Kita akur bahawa adanya “pusat pemulihan” dan “kegiatan kegiatan” yang cenderung pada “pendidikan” agama dalam undang-undang – tetapi ia nya amat hamper sedikit. (Cara pelaksanaan pendekatan ini di Negara kita juga boleh dikupas dan perlu dikupas)

Begitu banyak komplikasi/kerumitan yang timbul apabila kepercayaan di jadikan subjek perundangan.

Bersambung….Insha Allah.

Salam !

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

Thursday, April 1, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 4 - Kesan Memperundangkan kepercayaan (effects of legislating faith) - Aqidah atau Undang-undang?


Soal Aqidah atau Undang-undang?

Setiap orang Muslim dalam Negara ini menerima bahawa “rukun Islam” adalah lima perkara iaitu:

  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Sembahyang
  3. Puasa
  4. Zakat
  5. Mengerjakan Haji jika mampu.

Perkara-perkara di atas di katakan sebagai asas akidah. Jika ada mana-mana orang yang mendakwa diri nya sebagai Muslim tetapi tidak mahu beriman dengan syahadah, maka akidah nya di katakan rosak dan ia bukan lah seorang Muslim. Mustahil mengaku Muslim kalau tidak mahu beriman kepada Allah.

Begitu juga dengan sembahyang lima kali sehari diterima sebagai amalan ibadah yang wajib dan di ungkapkan sebagai “tiang agama”. Persoalan nya ialah adakah kelima-lima rukun Islam harus diperundangkan? Sebagai contoh, menjadikan ia sebagai satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah jika seorang yang di takrif sebagai Muslim oleh undang-undang tidak mengerjakan sembahyang pada waktu nya kecuali mempunyai alasan yang munasabah?

Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi pelbagai perkara yang berkaitan dengan akidah telah diperundangkan di mana tidak melakukan nya menjadi satu kesalahan jenayah dibawah undang-undang syariah. 

Sebagai contoh, Seksyen 14 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan:

"14.  Failure to perform Friday prayers.

Any male person, being baligh, who fails to perform the Friday prayers in a mosque within his kariah for three consecutive weeks without uzur syarie or without any reasonable cause shall be guilty of an offence and shall on conviction be liable to a fine not exceeding one thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding six months or to both".

Menurut seksyen 14 di atas seorang Muslim dalam Wilayah Persekutuan yang tidak melaksanakan sembahyang Jumaat selama tiga kali berturut di masjid yang berada dalam kariah nya melakukan suatu kesalahan jenayah.

Beberapa contoh lagi boleh diberikan daripada Akta-akta syariah Negeri-negeri dimana beberapa perkara akidah telah di perundangkan dibawah kesalahan jenayah syariah.

Bertitik tolak daripada contoh diatas, apakah orang Melayu mahu perkara-perkara lain yang berkaitan dengan akidah juga diperundangkan? Adakah kita mahu menjadikan kegagalan sembahyang mana-mana waktu atau tidak sembahyang juga sebagai satu kesalahan jenayah?

Orang Melayu, memandangkan mereka di takrif sebagai “Muslim” mengikut undang-undang syariah Negeri-negeri, harus mahu berfikir: - adakah mereka mahu perkara-perkara akidah di uruskan melalui dakwah serta pendidikan atau melalui undang-undang?

“Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia amat mengetahui orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia amat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk” (Quran: 16:125)

Saya percaya walaupun setiap warganegera Muslim tertakluk kepada kesan dan penguatkuasaan undang-undang syariah Negeri-negeri, ramai yang tidak tahu peruntukkan-peruntukkannya.

Seksyen 3 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 pula memperuntukkan berkaitan dengan penyembahan berhala:

3.  Wrongful worship.

(1) Any person who worships nature or does any act which shows worship or reverence of any person, animal, place or thing in any manner contrary to Islamic Law shall be guilty of an offence and shall on conviction be liable to a fine not exceeding three thousand ringgit or to imprisonment for a term not exceeding two years or to both.
(2) The Court may order that any device, object or thing used in the commission of or related to the offence referred to in subsection (1) be forfeited and destroyed, notwithstanding that no person may have been convicted of such offence”.

Pada saya, perkataan “worships nature or does any act which shows worship or reverence of any person, animal, place or thing in any manner contrary to Islamic Law” adalah terlalu luas dan oleh yang demikian boleh di salahguna oleh penguatkuasa. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “melakukan sesuatu yang menunjukkan penyembahan atau ‘reverence’?

Seksyen 11 Akta tersebut pula memperuntukkan keperluan tauliah sebelum seseorang itu boleh mengajar “agama Islam” kepada sesiapa selain daripada keluarga nya sendiri. Disini juga timbul persoalan dengan apa yang di maksudkan dengan “mengajar”. Adakah penglibatan di dalam suatu forum dan memberi pandangan mengenai suatu isu dari perspektif Islam (mengikut fahaman orang yang bercakap) akan di anggap sebagai “mengajar”?

Akta-akta syariah juga mendefinasikan “undang-undang Islam” sebagai “undang-undang Islam menurut mana-mana mazhab yang diiktiraf”.  Ini lazim nya merujuk kepada empat mazhab iaitu Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi.

Peruntukkan-peruntukkan sedemikian menampakkan kecenderungan pihak berkuasa agama di Malaysia untuk mengawal pengamalan agama di kalangan rakyat Muslim iaitu Melayu.  

Pada hakikatnya, perundangan akan memastikan bahawa “Islam” yang sah adalah “Islam” seperti mana yang diperundangkan. Ini akan memastikan kewujudan satu “uniformity” atau kesamaan dari segi amalan agama dalam masyarakat. Ia juga akan memastikan fahaman yang berbeza dengan fahaman penguatkuasa ketika itu tidak akan diberi ruang untuk dibincang atau difikirkan bersama oleh Rakyat Muslim jelata.

Undang-undang syariah juga memberi kuasa kepada fatwa-fatwa pihak berkuasa agama tertentu dimana tidak akur kepada fatwa tersebut menjadi suatu kesalahan jenayah. Bagaimana jika sesorang rakyat Muslim mempunyai fahaman dan pandangan yang berbeza berkaitan dengan suatu isu dengan Majlis Agama yang mengeluarkan fatwa? Jawapannya ialah ia menjadi suatu kesalahan jenayah syariah. Sekiranya pertikaian itu sesuatu yang serius dan di anggap oleh pihak berkuasa undang-undang sebagai “terkeluar daripada fahaman AWSJ”, orang tersebut boleh di takrif sebagai sesat (kafir) oleh undang-undang syariah Negara ini,mungkin melalui fatwa.  Kesan takrifan “kafir” ini mempunyai implikasi yang besar dari pelbagai aspek, termasuk ekonomi dan sosial di samping undang-undang.

Bijak kah undang-undang menghukum seseorang itu sebagai “kafir” dalam keadaan dimana seorang itu mengaku berpegang kepada Al-Quran tetapi mempunyai fahaman berbeza? Jika jawapan ya, tidak kah ini mengongkong kebebasan nya untuk mengabdikan diri nya seikhlas dan sedaya fahaman nya kepada Maha Pencipta?

“Allah akan menghakimkan antara kamu pada Hari Kiamat mengenai apa yang padanya kamu memperselisihkan” (Quran 22:69)

“Dan dalam apa sahaja yang kamu memperselisihkan, keputusannya kepada Allah. Demikian itulah Allah, Pemeliharaku; kepada-Nya aku mempercayakan (tawakal), dan kepada-Nya aku berkesesalan”. (Quran 42:10)

Sebagai contoh, orang yang berpegang kepada fahaman Syiah adalah di anggap sebagai sesat oleh undang-undang syariah Negara ini. Seperti mana juga orang yang berpegang kepada fahaman Ahmadiyah di anggap sebagai sesat oleh undang-undang syariah Negara Pakistan. Namun, ketiga-tiga kumpulan ini iaitu AWSJ (Melayu), Syiah (orang Iran), dan Ahmadiyah (orang Pakistan) tetap menganggap diri masing-masing sebagai Muslim. Ketiga-tiga kumpulan ini mengaku berpegang kepada Al-Quran tetapi mempunyai perbezaan koleksi serta fahaman terhadap hadis, ijmak dan qias.  Walaupun ketiga-tiga mereka mengaku berpegang kepada Al-Quran, namun mereka dipecah-pecahkan ekoran undang-undang serta faktor-faktor lain.

Fenomena sedemikian ekoran campurtangan undang-undang dalam bidang kepercayaan amat menarik untuk dianalisa. Ini merupakan keadaan dimana undang-undang berkuasa mengkafirkan seseorang yang meyakini diri nya sebagai seorang Muslim tetapi mempunyai fahaman yang berbeza dengan pihak berkuasa.

“Katakanlah, "Adakah aku menginginkan satu pemelihara, selain daripada Allah, yang adalah Pemelihara segala sesuatu?" Tiap-tiap jiwa mengusahakan hanya terhadapnya sendiri; orang yang dibebankan tidak memikul beban orang lain. Kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu kembali, dan Dia memberitahu kamu apa yang padanya kamu memperselisihkan” (Quran 6:164)

Bersambung Bab 5 –Insha Allah

Salam !

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

Monday, March 22, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 3 - Kesan Memperundangkan kepercayaan (effects of legislating faith)

Empat sumber tersebut juga di beri kuasa undang-undang didalam undang-undang syariah di Negara ini. Ini bermakna suatu perkara hasil ijmak dan qias wajib di patuhi oleh rakyat Muslim negara ini sebagai keperluan undang-undang. Begitu juga tafsiran terhadap Al-Quran dan Hadis oleh ‘orang-orang yang di iktiraf’ oleh undang-undang wajib di terima di sisi undang-undang syariah di Negara ini. “Orang-orang yang tidak di iktiraf” oleh undang-undang syariah tidak berhak memperkatakan sesuatu mengenai Islam kerana ia mungkin menjadi kesalahan di bawah undang-undang syariah. Jika ia nya di pertikai, ia juga akan mengundang hukuman undang-undang.

Memandangkan di Malaysia, undang-undang syariah adalah di bawah bidangkuasa Negeri-negeri, maka pengiktiran “siapa yang layak bercakap mengenai Islam” di Negeri masing-masing juga berbeza. Ia juga di tentukan oleh pihak berkuasa agama Negeri masing-masing.

Layak bercakap mengenai Islam?

Sebagai contoh, Dr Mohd. Asri, walaupun bekas mufti Perlis, beliau di tuduh di bawah undang-undang syariah negeri Selangor kerana ‘mengajar Islam’ tanpa “tauliah yang sah daripada pihak berkuasa agama Negeri Selangor (“tujuan tersebut”). Dalam ertikata lain, beliau bukan lah “orang yang diiktiraf” bagi tujuan tersebut oleh undang-undang syariah negeri Selangor selagi beliau tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama Negeri tersebut.

Alasan pihak berkuasa Negeri Selangor untuk keperluan tauliah ini ialah, di antara lain, untuk memantau “penceramah agama” serta sebagai kaedah untuk menggesahkan kelayakan orang yang berceramah atau mengajar agama. Walau pun sebabnya boleh di fahami, ini juga merupakan satu sekatan undang-undang terhadap kebebasan Melayu untuk mengamalkan agama mereka. Ini adalah kerana keperluan ”tauliah” ini menimbulkan pelbagai persoalan seperti berikut:-

(a) Apakah yang di maksudkan dengan “mengajar mengenai Islam”? – bagaimana kalau terdapat perbincangan agama antara 10 orang kawan di rumah mereka – adakah ini menjadi satu kesalahan syariah kerana masing-masing akan memberi kefahaman mereka yang mungkin berlainan mengenai Islam.

(b) Perkataan “berceramah mengenai Islam” juga menimbulkan pelbagai persoalan. Ada kah ia tertakluk kepada persoalan “tauhid” dalam pengertian yang amat sempit atau boleh merangkumi perkara-perkara yang tidak di anggap tauhid?

(c) Bagaimana jika seorang itu berceramah mengenai perkara yang di anggap sebagai “fardhu kifayah” – adakah ini juga perlukan tauliah? Jika ya, ia akan menyekat setiap professional Muslim seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagai nya daripada bercakap mengenai profesion masing-masing hanya semata-mata kerana mereka itu Muslim.

(d) Setiap Muslim meyakini bahawa ajaran Islam itu syumul atau menyeluruh. Di atas dasar “kesyumulan” ini, tidak kah aneh jika tauliah diperlukan untuk sebahagian “perkara Islam” dan tidak bagi "perkara Islam" lain?

Seorang Muslim harus mampu keluar daripada minda “perangkap agama” yang menyempitkan ‘Islam” kepada perkara-perkara upacara semata-mata. Jika ia mampu, akan jelas lah bahawa sebarang penyekatan undang-undang terhadap diri nya di atas nama “agama” berkesan untuk menyekat kebebasan nya untuk mengamalkan ajaran Islam sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawap hanya kepada Penciptanya.

Menangani ajaran sesat

Kita juga faham bahawa di antara tugas pihak berkuasa agama ialah untuk menangani ajaran sesat dan oleh itu mungkin tauliah di rasakan sebagai satu cara menapis ajaran sesat. Ini adalah hujah kawalan yang sering di gunakan oleh semua ajensi pelaksana di merata dunia, tidak kira syariah atau sekular. Kalau tidak memantau, bagaimana nak menangani ajaran sesat?

Peranan serta keberkesanan pihak berkuasa agama di dalam “usaha membanteras ajaran sesat” tidak pernah di nilai oleh Rakyat Muslim selama ini walaupun beribu wang Rakyat digunakan dalam usaha ini. Secara amnya, dalam Malaysia, sebarang ajaran agama oleh seorang Muslim yang menyimpang daripada asas-asas fahaman sunnah wal jamaah di anggap sesat. Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslim mengatakan bahawa Nabi Isa di salib, ia di anggap sesat oleh undang-undang syariah dan boleh di kenakan hukuman. Sebaliknya jika seorang Kristian mengatakan perkara yang sama, ia tidak akan di hukum oleh undang-undang syariah walaupun dari segi akidah sunnah wal jamaah fahaman Nabi Isa di salib adalah fahaman yang sesat.

Begitu juga jika seorang Muslim mengajar atau menyebarkan fahaman Shia, ini juga boleh dianggap kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah di Malaysia walaupun di peringkat dunia, kedua-dua Malaysia dan Iran adalah ahli persatuan Negara-negara Islam iaitu OIC. Beberapa Negeri mempunyai fatwa bahawa fahaman yang di iktiraf hanya lah fahaman Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ).

Maka jelas bahawa pemantaun ajaran sesat oleh pihak berkuasa agama adalah terhadap Rakyat Muslim yang menyebarkan fahaman bertentangan dengan fahaman ASWJ majlis-majlis agama Negeri-negeri.

Sebagai contoh, ajaran-ajaran seperti Ayah Pin dan Arqam di anggap sebagai sesat dan pelbagai usaha telah di jalankan untuk mematikan pengaruh mereka dengan mengunakan kuasa undang-undang. Arqam di haramkan, “ajaran Ayah Pin” di haramkan serta perkampungan nya di robohkan. Persoalannya ialah: selepas pengharaman sedemikian, adakah pengikut-pengikut nya berjaya di “pulihkan”? Saya percaya walaupun undang-undang boleh ‘menghancurkan’ suatu organisasi, ia tidak semestinya berjaya menghapuskan suatu idea tanpa kaedah perbincangan dan pendidikan.

Dalam membincang usaha membanteras ajaran sesat, timbul kekhuatiran samada fahaman yang berbeza (dari segi tafsiran) dengan fahaman umum sunnah wal jamaah atau satu aliran sunnah wal jamaah juga di anggap sesat oleh pihak berkuasa agama yang mungkin di dominasi oleh satu aliran atau fahaman sunnah wal jamaah. Jika kekhuatiran ini berasas, maka ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat kerana kefahaman terhadap agama disempitkan oleh fahaman satu kelompok yang berkuasa. Di dalam keadaan sedemikian, fahaman agama di lentur bukan oleh ilmu dan nas, tetapi oleh kuasa.


Islam untuk pakar atau untuk semua manusia (An-nas)?

Rakyat Melayu yang mahu berfikir harus menilai kesan penyekatan undang-undang ketas hak dan kewajiban mereka terhadap Allah. Ini adalah sedikit berbeza dengan hak dan kewajiban sesama manusia walaupun bagi seorang Muslim yang beriman kepada ayat di bawah, tidak ada perpisahan dalam kehidupannya.

“Katakanlah, "Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam”. (Quran: 6:162)

Sekiranya, seorang Muslim beriman kepada 6:162, maka ia juga mempunyai hak dan tanggungjawap untuk mempelajari, berbincang, memberi pendangan dan mengamal apa yang difahami oleh nya daripada Al-Quran. Saya percaya seseorang itu tidak boleh “habis belajar” hikmah Al-Quran dalam masa empat (ijazah) atau lapan tahun (PhD) diuniversiti. Selanjutnya, pembelajaran di universiti bukan lah jaminan keimanan seseorang. Kefasihan bahasa Arab, walaupun semestinya membantu, tidak menjaminkan keimanan atau kefahaman. Abu Lahab adalah satu contoh dalam kes ini.

Apakah seorang Muslim yang tidak memasuki “Universiti Islam” serta tidak berpeluang membaca kitab-kitab tulisan Imam-imam besar seperti Shafie, Hambali, Maliki, Hanafi, Ibn Taymiyah, Suyuti dan sebagai nya serta tidak membaca koleksi hadis-hadis Muslim, Bukhari, Ibn Majah, Abu Dawud atau Al-Tirmidhi serta tidak mempelajari usul-al fiqh dikira jahil dan tidak berpeluang untuk menjadi seorang Muslim yang beriman jika ia rajin membaca dan beriman kepada Al-Quran? Saya tidaklah bertujuan meremehkan pendidikan formal agama. Perkara yang di bincang di sini ialah hak setiap Muslim untuk mengamalkan Addeen Allah tanpa syirik kepada sesuatu atau sesiapa.

Jika kelulusan akademik serta jawatan “agama” menjadi pra-syarat untuk berbincang mengenai Islam, apakah kelulusan universiti para Nabi-nabi? Kita lihat bahawa para Nabi membawa ilmu Tuhan di zaman masing-masing yang berlawanan dengan budaya pembesar dan cendekiawan zaman mereka. Di samping itu, ajaran Nabi-nabi adalah mudah dan konsisten sepanjang zaman sehinggalah ke Nabi Muhammad.

Ramai yang masih keliru di antara maklumat dengan ilmu. Seorang yang masuk universiti dan berkelulusan PhD mungkin mempunyai banyak maklumat mengenai sesuatu perkara tetapi tidak semestinya berilmu mengenai perkara itu. Contohnya ialah burung kakak tua yang boleh menyuarakan suatu maklumat tanpa sebarang ilmu mengenai perkara yang disuarakan. Contoh moden ialah komputer yang bukan sahaja mempunyai banyak maklumat tetapi boleh memprosesnya dengan kelajuan yang tidak dapat ditandingi oleh manusia. Adakah kita akan mengatakan komputer itu berilmu atau berhikmah? Pada saya, semua ini adalah tanda-tanda yang di tunjukki oleh Pencipta bagi mereka yang rela berfikir.

Begitu juga wujud kekeliruan diantara beriman atau percaya berdasarkan ilmu dengan beriman atau percaya secara buta tuli. Untuk beriman berdasarkan ilmu, anda sendiri perlu mengesahkannya. Sebagai contoh, jika anda terima bulat-bulat apa yang saya tulis disini tanpa berfikir,menilai serta tanpa merujuk kepada Al-Quran, itu bermakna anda beriman kepada saya atau anda beriman secara buta tuli.

Keimanan seseorang itu lahir daripada sikap-sikap seperti cinta kepada Pencipta Nya, ilmu, sikap kerendahan diri dan takut hanya kepada Pencipta Nya. Namun, hakikat hidup ialah, ramai yang takut hilang jawatan, gaji, kawan-kawan, penghormatan dan perkara-perkara duniawi sedemikian. Akhir sekali, keimanan seseorang itu adalah hak Allah yang ditentukan oleh Nya. Kita hanya boleh menilai pandangan masing-masing berdasarkan nas-nas yang sahih, bermula dengan merujuk kepada Al-Quran.

“Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia memperjelaskan kepada mereka; kemudian Allah menyesatkan sesiapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana”. (Quran 14:4)

Hari ini, kita dengar pihak yang menganggap diri mereka sebagai pakar memberi amaran bahawa orang yang tidak pakar, tidak harus berbicara mengenai Islam atau Al-Quran. Bolehkah seorang yang di lamun cinta ditahan daripada berbicara mengenai apa yang dicintainya? Tidak kah Muslim itu mencintai Penciptanya melebihi yang lain? Saya tahu bahawa perkara yang paling pasti di dalam kehidupan saya ialah: saya akan mati satu hari dan saya akan di persoalkan mengenai kegiatan saya di dunia. Masa itu, tidak ada seorang pun pakar yang akan membela saya. Saya harus membela diri saya. Dunia ini sementara manakala kehidupan selepas ini adalah berkekal. Adakah saya akan abaikan yang kekal untuk yang sementara? Sepedih-pedih cabaran di dunia, ia pasti akan berlalu. Yang di khuatiri ialah selepas itu kerana tidak mungkin ada alasan yang boleh di berikan kepada Tuhan jika kita telah mengadaikan akal dan hati kita kepada orang lain.

Kesan terakhir memperundangkan kepercayaan ialah: amalan dan bentuk kepercayaan seseorang itu di tentukan serta di kawal oleh undang-undang. The final effect of legislating faith is this: the practice and structure of a person’s belief is determined and controlled by law. Ini bermakna fahaman dan amalan Muslim di Negara ini di tentukan dan dikawal oleh undang-undang. Perkara in perlu di fahami betul-betul oleh setiap rakyat Muslim yang mengambil serius agama mereka.

Bersambung..insha Allah.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

Monday, March 15, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 2


Saya ingin membincangkan beberapa perkara mengenai struktur saikoloji manusia dari perspektif Quran berkaitan dengan kepercayaan serta keadaan lazim sebelum mengkhususkan perbincangan kepada Melayu.

Struktur saikoloji kepercayaan (The psychological structure of belief)

Pertama, Surah Al Anaam ayat 64 yang telah kita lihat terlebih dahulu dengan jelas sekali meletakkan tanggungjawap terhadap kepercayaan sebagai satu perkara individu. Sekiranya kepercayaan kita itu sesat atau disesatkan, kita lah yang terpaksa menanggung kesan nya sendiri.  Orang lain tidak memikul beban kecuaian atau kesilapan kita.

“Sesiapa yang mendapat petunjuk, dia hanyalah mendapat petunjuk untuk dirinya sendiri, dan sesiapa sesat, dia sesat hanyalah baginya sendiri; orang yang dibebankan tidak memikul beban orang lain. Kami tidak mengazab sehingga Kami membangkitkan seorang rasul”. (Quran: 17:15)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sifat kepercayaan ialah ia nya merupakan individualistik. Belief is personal to the holder. Hanya jika kepercayaan itu individualistik, maka si individu itu boleh di pertanggungjawapkan keatas kepercayaan  dan amalan nya. To be accountable for your actions and beliefs, you must have freedom of choice. Seharusnya juga kepercayaan itu berasaskan nas yang sahih, fakta dan ilmu pengetahuan tetapi ini bukanlah keadaan amnya didalam dunia agama.

Kedua, ramai “percaya” kepercayaan yang di “percayai” oleh orang-orang terdekat dengan mereka atau orang-orang yang mereka terima sebagai pakar.  Keadaan in berlaku melalui satu proses indoktrinasi komplex melalui satu jangka masa yang lama. kaedah “appeal to authority”, takut kena pulau atau “takut sesat”, atau alasan “saya tidak mahir agama”, “isu sensitif”, kemalasan berfikir dan faktor-faktor sedemikian.  Walaupun fenomena meniru ini amat lazim, menurut Mutawalli, kepercayaan agama seharusnya berdasarkan keyakinan (“conviction”) dan pilihan berhemat (“considered chioice”) dan bukan nya peniruan kepercayaan dan pandangan orang lain.

Al-Quran sendiri menyentuh fenomena ini dengan amat jelas dalam surah al-Baqarah:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah menurunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat." Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk?” (Quran 2:170)

Ketiga, Ada yang pernah berhujah balas pada saya dengan mengatakan:” Maka bagaimana hendak mencapai keseragaman di dalam agama?”  Sebenarnya, keseragaman seperti mana yang di kehendaki oleh sebuah kelab sosial atau sekolah dengan peraturan dan pakaian rasmi nya tidak dapat di capai dalam soal keyakinan terhadap Pencipta melalui paksaan. Ia mungkin dapat dicapai dalam perkara luaran atau fizikal seperti pakaian, upacara dan sebagainya tetapi bukan dalam perkara keyakinan atau akidah. Dalam sebuah kelab sosial, pertelingkahan yang berakhir dengan keputusan majoriti adalah perkara biasa bertujuan untuk melicinkan perjalanan persatuan tersebut.  Walaupun hati minoriti tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, minoriti akan akur kepada keputusan majoriti dengan minda serta perlakuan mereka. Minoriti ini tidak akan di tuduh sebagai hipokrit atau munafiq kerana menerima suatu keputusan walaupun hati mereka tidak setuju. Bantahan minoriti dalam perbincangan sebelum keputusan di buat juga tidak akan dilihat sebagai suatu perbuatan yang sangat jahat atau sesuatu yang mengundang hukuman terhadap golongan minoriti tadi.

Sekiranya pihak minoriti itu merasakan perbezaan pandangannya amat ketara dengan pandangan majoriti, ia bebas untuk mengekalkan prinsip nya dengan menamatkan keahliannya di dalam persatuan tersebut.

Namun, keadaan nya berbeza dengan kepercayaan. Dalam hal kepercayaan, kaedah menerima keputusan majoriti tidak  relevantidak berkesan dan tidak tepat. Dalam soal keyakinan, keputusan majoriti tidak bererti ia benar (Surah Al-Anaam ayat 116). Kita tidak boleh pakat-pakat buat keputusan untuk percaya kepada  sesuatu jika hati masing-masing tidak percaya. Orang yang tidak percaya, tidak akan percaya. Saya yakin mustahil mencapai keseragaman kepercayaan melalui paksaan seperti mana yang dijelaskan dalam surah Yunus:

“Dan sekiranya Pemelihara kamu mengkehendaki, sesiapa yang di bumi tentu percaya, kesemua mereka, kesemuanya. Adakah kamu akan memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang-orang mukmin” (yang mempercayai)? (Quran: 10:99)

Keempat, berkaitan dengan keberkesanan persetujuan padri-padri atau pakar-pakar agama mengenai suatu perkara yang menyentuh kepercayaan agama dan sejurus itu, setiap penganut di paksa menerima nya.

Sebagai contoh, asas akidah agama Kristian Katolik adalah berdasarkan ”Nicene Creed” yang dipersetujui oleh beberapa gereja-gereja di zaman Raja Constantine dimana padri-padri tersebut mengeluarkan “ijmak” bahawa penganut agama Katolik wajib berpegang kepada kepercayaan ‘Holy Trinity” iaitu ”Father, Son and Holy Ghost”. Mana-mana Krisitan Katolik yang tidak meyakini perkara ini di anggap sebagai sesat.  Kristian Katolik juga wajib percaya bahawa Nabi Isa disalib dan di”angkat kelangit pada hari ketiga”.  Kalau hendak jadi Kristian Katolik, kamu terikat dengan fahaman ini.

Persetujuan padri-padri (atau apa saja nama yang di pakai untuk panggil pakar-pakar agama tertentu) dalam menentukan kefahaman, struktur dan ideoloji suatu agama bukanlah terhenti pada agama Kristian. Ia nya merupakan ciri semua agama di dalam dunia ini. Ciri persetujuan pakar yang wajib di terima oleh semua orang tidak terpakai di dalam disiplin lain selain daripada agama. Sebagai contoh, di dalam disiplin yang begitu penting seperti perubatan dan kesihatan pun tidak ada undang-undang yang memaksa pesakit untuk mendapatkan rawatan atau memperolehi rawatan tertentu sahaja. Pesakti bebas memilih bentuk rawatan yang di senangi nya berdasarkan peniliaan nya. Begitu juga dengan disiplin-disiplin lain seperti kejuruteraan, sains hayat, ekonomi dan sebagai nya, perbezaan pendapat tidak menjadi satu masalah yang mengancam keperibadian seseorang.

Namun, di dalam disiplin agama, peranan pakar agama masing-masing begitu dominan sehingga lazimnya pandangan serta persetujuan pakar-pakar diberikan tahap wahyu yang tidak boleh dipertikai atau di beri sifat ketuhanan yang wajib diterima tanpa soal.  Al-Quran sendiri memberi amaran kepada manusia mengenai kewujudan fenomena ini dalam bidang agama dengan ayat-ayat berikut:-

“Atau, adakah bagi kamu janji-janji daripada kami sehingga hari kiamat bahawa bagi kamu apa sahaja yang kamu memutuskan? Tanyalah mereka: siapa kah antara mereka yang akan menjamin terhadap itu (apa yang mereka memperkatakan)?” (Quran: 68:39 - 40)

Beberapa perkara yang berkaitan dengan fenomena ini juga di bincang oleh Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin di dalam blog nya baru-baru ini.

Di dalam dunia fahaman Ahlul Sunnah wal jamaah (ASWJ) pun, peranan ulama agama mereka dominan di dalam membentuk dan memahami agama tersebut. Semakin jauh daripada zaman turunnya Al-Quran, semakin dominannya peranan ulama agama. Di dalam fahaman AWSJ (Melayu kebanyakkan tergolong pada fahaman ini), fahaman agama mereka bersumberkan empat sumber utama berikut:-

(a)    Quran
(b)   Hadis
(c)    Ijmak
(d)   Qias

(“empat sumber tersebut”)

Bersambung…Insha Allah – Bab 3.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]