Followers

Monday, March 22, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 3 - Kesan Memperundangkan kepercayaan (effects of legislating faith)

Empat sumber tersebut juga di beri kuasa undang-undang didalam undang-undang syariah di Negara ini. Ini bermakna suatu perkara hasil ijmak dan qias wajib di patuhi oleh rakyat Muslim negara ini sebagai keperluan undang-undang. Begitu juga tafsiran terhadap Al-Quran dan Hadis oleh ‘orang-orang yang di iktiraf’ oleh undang-undang wajib di terima di sisi undang-undang syariah di Negara ini. “Orang-orang yang tidak di iktiraf” oleh undang-undang syariah tidak berhak memperkatakan sesuatu mengenai Islam kerana ia mungkin menjadi kesalahan di bawah undang-undang syariah. Jika ia nya di pertikai, ia juga akan mengundang hukuman undang-undang.

Memandangkan di Malaysia, undang-undang syariah adalah di bawah bidangkuasa Negeri-negeri, maka pengiktiran “siapa yang layak bercakap mengenai Islam” di Negeri masing-masing juga berbeza. Ia juga di tentukan oleh pihak berkuasa agama Negeri masing-masing.

Layak bercakap mengenai Islam?

Sebagai contoh, Dr Mohd. Asri, walaupun bekas mufti Perlis, beliau di tuduh di bawah undang-undang syariah negeri Selangor kerana ‘mengajar Islam’ tanpa “tauliah yang sah daripada pihak berkuasa agama Negeri Selangor (“tujuan tersebut”). Dalam ertikata lain, beliau bukan lah “orang yang diiktiraf” bagi tujuan tersebut oleh undang-undang syariah negeri Selangor selagi beliau tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama Negeri tersebut.

Alasan pihak berkuasa Negeri Selangor untuk keperluan tauliah ini ialah, di antara lain, untuk memantau “penceramah agama” serta sebagai kaedah untuk menggesahkan kelayakan orang yang berceramah atau mengajar agama. Walau pun sebabnya boleh di fahami, ini juga merupakan satu sekatan undang-undang terhadap kebebasan Melayu untuk mengamalkan agama mereka. Ini adalah kerana keperluan ”tauliah” ini menimbulkan pelbagai persoalan seperti berikut:-

(a) Apakah yang di maksudkan dengan “mengajar mengenai Islam”? – bagaimana kalau terdapat perbincangan agama antara 10 orang kawan di rumah mereka – adakah ini menjadi satu kesalahan syariah kerana masing-masing akan memberi kefahaman mereka yang mungkin berlainan mengenai Islam.

(b) Perkataan “berceramah mengenai Islam” juga menimbulkan pelbagai persoalan. Ada kah ia tertakluk kepada persoalan “tauhid” dalam pengertian yang amat sempit atau boleh merangkumi perkara-perkara yang tidak di anggap tauhid?

(c) Bagaimana jika seorang itu berceramah mengenai perkara yang di anggap sebagai “fardhu kifayah” – adakah ini juga perlukan tauliah? Jika ya, ia akan menyekat setiap professional Muslim seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagai nya daripada bercakap mengenai profesion masing-masing hanya semata-mata kerana mereka itu Muslim.

(d) Setiap Muslim meyakini bahawa ajaran Islam itu syumul atau menyeluruh. Di atas dasar “kesyumulan” ini, tidak kah aneh jika tauliah diperlukan untuk sebahagian “perkara Islam” dan tidak bagi "perkara Islam" lain?

Seorang Muslim harus mampu keluar daripada minda “perangkap agama” yang menyempitkan ‘Islam” kepada perkara-perkara upacara semata-mata. Jika ia mampu, akan jelas lah bahawa sebarang penyekatan undang-undang terhadap diri nya di atas nama “agama” berkesan untuk menyekat kebebasan nya untuk mengamalkan ajaran Islam sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawap hanya kepada Penciptanya.

Menangani ajaran sesat

Kita juga faham bahawa di antara tugas pihak berkuasa agama ialah untuk menangani ajaran sesat dan oleh itu mungkin tauliah di rasakan sebagai satu cara menapis ajaran sesat. Ini adalah hujah kawalan yang sering di gunakan oleh semua ajensi pelaksana di merata dunia, tidak kira syariah atau sekular. Kalau tidak memantau, bagaimana nak menangani ajaran sesat?

Peranan serta keberkesanan pihak berkuasa agama di dalam “usaha membanteras ajaran sesat” tidak pernah di nilai oleh Rakyat Muslim selama ini walaupun beribu wang Rakyat digunakan dalam usaha ini. Secara amnya, dalam Malaysia, sebarang ajaran agama oleh seorang Muslim yang menyimpang daripada asas-asas fahaman sunnah wal jamaah di anggap sesat. Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslim mengatakan bahawa Nabi Isa di salib, ia di anggap sesat oleh undang-undang syariah dan boleh di kenakan hukuman. Sebaliknya jika seorang Kristian mengatakan perkara yang sama, ia tidak akan di hukum oleh undang-undang syariah walaupun dari segi akidah sunnah wal jamaah fahaman Nabi Isa di salib adalah fahaman yang sesat.

Begitu juga jika seorang Muslim mengajar atau menyebarkan fahaman Shia, ini juga boleh dianggap kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah di Malaysia walaupun di peringkat dunia, kedua-dua Malaysia dan Iran adalah ahli persatuan Negara-negara Islam iaitu OIC. Beberapa Negeri mempunyai fatwa bahawa fahaman yang di iktiraf hanya lah fahaman Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ).

Maka jelas bahawa pemantaun ajaran sesat oleh pihak berkuasa agama adalah terhadap Rakyat Muslim yang menyebarkan fahaman bertentangan dengan fahaman ASWJ majlis-majlis agama Negeri-negeri.

Sebagai contoh, ajaran-ajaran seperti Ayah Pin dan Arqam di anggap sebagai sesat dan pelbagai usaha telah di jalankan untuk mematikan pengaruh mereka dengan mengunakan kuasa undang-undang. Arqam di haramkan, “ajaran Ayah Pin” di haramkan serta perkampungan nya di robohkan. Persoalannya ialah: selepas pengharaman sedemikian, adakah pengikut-pengikut nya berjaya di “pulihkan”? Saya percaya walaupun undang-undang boleh ‘menghancurkan’ suatu organisasi, ia tidak semestinya berjaya menghapuskan suatu idea tanpa kaedah perbincangan dan pendidikan.

Dalam membincang usaha membanteras ajaran sesat, timbul kekhuatiran samada fahaman yang berbeza (dari segi tafsiran) dengan fahaman umum sunnah wal jamaah atau satu aliran sunnah wal jamaah juga di anggap sesat oleh pihak berkuasa agama yang mungkin di dominasi oleh satu aliran atau fahaman sunnah wal jamaah. Jika kekhuatiran ini berasas, maka ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat kerana kefahaman terhadap agama disempitkan oleh fahaman satu kelompok yang berkuasa. Di dalam keadaan sedemikian, fahaman agama di lentur bukan oleh ilmu dan nas, tetapi oleh kuasa.


Islam untuk pakar atau untuk semua manusia (An-nas)?

Rakyat Melayu yang mahu berfikir harus menilai kesan penyekatan undang-undang ketas hak dan kewajiban mereka terhadap Allah. Ini adalah sedikit berbeza dengan hak dan kewajiban sesama manusia walaupun bagi seorang Muslim yang beriman kepada ayat di bawah, tidak ada perpisahan dalam kehidupannya.

“Katakanlah, "Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam”. (Quran: 6:162)

Sekiranya, seorang Muslim beriman kepada 6:162, maka ia juga mempunyai hak dan tanggungjawap untuk mempelajari, berbincang, memberi pendangan dan mengamal apa yang difahami oleh nya daripada Al-Quran. Saya percaya seseorang itu tidak boleh “habis belajar” hikmah Al-Quran dalam masa empat (ijazah) atau lapan tahun (PhD) diuniversiti. Selanjutnya, pembelajaran di universiti bukan lah jaminan keimanan seseorang. Kefasihan bahasa Arab, walaupun semestinya membantu, tidak menjaminkan keimanan atau kefahaman. Abu Lahab adalah satu contoh dalam kes ini.

Apakah seorang Muslim yang tidak memasuki “Universiti Islam” serta tidak berpeluang membaca kitab-kitab tulisan Imam-imam besar seperti Shafie, Hambali, Maliki, Hanafi, Ibn Taymiyah, Suyuti dan sebagai nya serta tidak membaca koleksi hadis-hadis Muslim, Bukhari, Ibn Majah, Abu Dawud atau Al-Tirmidhi serta tidak mempelajari usul-al fiqh dikira jahil dan tidak berpeluang untuk menjadi seorang Muslim yang beriman jika ia rajin membaca dan beriman kepada Al-Quran? Saya tidaklah bertujuan meremehkan pendidikan formal agama. Perkara yang di bincang di sini ialah hak setiap Muslim untuk mengamalkan Addeen Allah tanpa syirik kepada sesuatu atau sesiapa.

Jika kelulusan akademik serta jawatan “agama” menjadi pra-syarat untuk berbincang mengenai Islam, apakah kelulusan universiti para Nabi-nabi? Kita lihat bahawa para Nabi membawa ilmu Tuhan di zaman masing-masing yang berlawanan dengan budaya pembesar dan cendekiawan zaman mereka. Di samping itu, ajaran Nabi-nabi adalah mudah dan konsisten sepanjang zaman sehinggalah ke Nabi Muhammad.

Ramai yang masih keliru di antara maklumat dengan ilmu. Seorang yang masuk universiti dan berkelulusan PhD mungkin mempunyai banyak maklumat mengenai sesuatu perkara tetapi tidak semestinya berilmu mengenai perkara itu. Contohnya ialah burung kakak tua yang boleh menyuarakan suatu maklumat tanpa sebarang ilmu mengenai perkara yang disuarakan. Contoh moden ialah komputer yang bukan sahaja mempunyai banyak maklumat tetapi boleh memprosesnya dengan kelajuan yang tidak dapat ditandingi oleh manusia. Adakah kita akan mengatakan komputer itu berilmu atau berhikmah? Pada saya, semua ini adalah tanda-tanda yang di tunjukki oleh Pencipta bagi mereka yang rela berfikir.

Begitu juga wujud kekeliruan diantara beriman atau percaya berdasarkan ilmu dengan beriman atau percaya secara buta tuli. Untuk beriman berdasarkan ilmu, anda sendiri perlu mengesahkannya. Sebagai contoh, jika anda terima bulat-bulat apa yang saya tulis disini tanpa berfikir,menilai serta tanpa merujuk kepada Al-Quran, itu bermakna anda beriman kepada saya atau anda beriman secara buta tuli.

Keimanan seseorang itu lahir daripada sikap-sikap seperti cinta kepada Pencipta Nya, ilmu, sikap kerendahan diri dan takut hanya kepada Pencipta Nya. Namun, hakikat hidup ialah, ramai yang takut hilang jawatan, gaji, kawan-kawan, penghormatan dan perkara-perkara duniawi sedemikian. Akhir sekali, keimanan seseorang itu adalah hak Allah yang ditentukan oleh Nya. Kita hanya boleh menilai pandangan masing-masing berdasarkan nas-nas yang sahih, bermula dengan merujuk kepada Al-Quran.

“Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia memperjelaskan kepada mereka; kemudian Allah menyesatkan sesiapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana”. (Quran 14:4)

Hari ini, kita dengar pihak yang menganggap diri mereka sebagai pakar memberi amaran bahawa orang yang tidak pakar, tidak harus berbicara mengenai Islam atau Al-Quran. Bolehkah seorang yang di lamun cinta ditahan daripada berbicara mengenai apa yang dicintainya? Tidak kah Muslim itu mencintai Penciptanya melebihi yang lain? Saya tahu bahawa perkara yang paling pasti di dalam kehidupan saya ialah: saya akan mati satu hari dan saya akan di persoalkan mengenai kegiatan saya di dunia. Masa itu, tidak ada seorang pun pakar yang akan membela saya. Saya harus membela diri saya. Dunia ini sementara manakala kehidupan selepas ini adalah berkekal. Adakah saya akan abaikan yang kekal untuk yang sementara? Sepedih-pedih cabaran di dunia, ia pasti akan berlalu. Yang di khuatiri ialah selepas itu kerana tidak mungkin ada alasan yang boleh di berikan kepada Tuhan jika kita telah mengadaikan akal dan hati kita kepada orang lain.

Kesan terakhir memperundangkan kepercayaan ialah: amalan dan bentuk kepercayaan seseorang itu di tentukan serta di kawal oleh undang-undang. The final effect of legislating faith is this: the practice and structure of a person’s belief is determined and controlled by law. Ini bermakna fahaman dan amalan Muslim di Negara ini di tentukan dan dikawal oleh undang-undang. Perkara in perlu di fahami betul-betul oleh setiap rakyat Muslim yang mengambil serius agama mereka.

Bersambung..insha Allah.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

1 comment:

Anonymous said...

Baru semalam saya mendengar fatwa menyatakan rokok itu haram. Sampai sekarang saya masih tak faham kenapa ulamak2 suka nak menambah2 benda2 yg haram selain dari yg diharamkan oleh AlQuran. Bukankah menyusahkan umat?

Ya saya akur yg merokok itu lebih banyak yg buruk dari baiknya. Even arak pun Allah tak kata direct "haram" tapi cuma kata indirectly "Tidak kah kamu masih mahu berhenti?".

Adakah selepas ini perokok akan dikenakan hukuman sebat seperti meminum arak?

M.Khalid