Followers

Sunday, February 8, 2009

Berdakwah atau "Bertingkah laku" ?

"Berdakwah" mempunyai pengertian yang berbeza bagi berbeza orang. Banyak kegiatan berdakwah yang berlaku terutama dikalangan agama Islam dan agama Kristian. Pada amnya dan kebiasaannya, tujuan kegiatan dakwah dilakukan ialah untuk mempengaruhi audien sasaran untuk menganut agama yang didakwah atau untuk tujuan memberi kefahaman tentang suatu agama. Pelbagai kaedah berdakwah digunakan melalui pelbagai saluran media.

Dikalangan orang beragama Islam, mereka menganggap dakwah sebagai satu ibadah yang digalakkan. Di Malaysia, umpamanya, pelbagai program "agama" diterbitkan melalui televisyen dengan memanggil pelbagai pencEramah. Samaada program-program ini berkesan atau setakat melepaskan batuk ditangga adalah perkara lain.

Pada saya, dakwah yang terbaik ialah dakwah yang berlaku melalui perbuatan dan tingkah laku lazim seseorang. Tingkah laku lebih berkesan daripada berpuluh ceramah mengenai kebaikan sesuatu agama.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya" [Al_Quran 61: 2-3)

Di Malaysia, mahu tidak mahu, tingkah laku dan perbuataan orang Melayu akan memberi kesan kepada imej agama Islam dikalangan bukan Islam. Walaupun kita tahu bahawa sikap penganut tidak semestinya mencerminkan tuntutan sesuatu agama, namun manusia lazim nya bukan lah bersifat logikal atau rasional atau pemikir. Mereka sering membuat rumusan yang singkat berdasarkan pengalaman mereka tanpa menilai pengalaman tersebut. Maka, apabila imej orang Melayu tidak dipandang tinggi, umpamanya, imej Islam juga akan tidak akan dipandang tinggi. ini lah beban yang dipikul oleh orang Melayu yang perlu sentiasa mereka berwaspada.

Imej ini pula lebih berkesan apabila orang itu bercakap mengenai Islam. Bagaimana cara yang digunakan untuk berbicara mengenai Islam - cara merendah diri atau sombong?, cara "patronising" atau berdiskusi?, cara memaksa atau cara minda terbuka?, dan sebagai nya. Begitu juga sikap, perangai dan perbuatan pemimpin-pemimpin Melayu dan kakitangan Kerajaan juga dianggap sebagai mencerminkan keberkesanan ajaran Islam. Maka, kegiatan rasuah, malas bekerja, bersikap asabiyah atau rasis, bersikap tidak adil, mentali subsidi yang berterusan, berjawatan tinggi kerana kenalan dan bukan kerana kemahiran dan sebagainya tidak akan mencerminkan diskripsi Allah bahawa "umat Islam adalah umat yang terbaik bagi manusia".

Selagi nilai-nilai taqwa yang disebut didalam Al-Quran itu tidak menjadi landasan kehidupan harian orang yang menganut agama Islam, ia masih jauh daripada menjadi "Muslim" ( iaitu orang yang menyerah kepada Allah) dan mustahil ia mencerminkan "umat yang terbaik". Ini lah cabaran orang Melayu yang mahu berusaha menjadi Muslim dalam Negara kita.

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk" [Al-Quran: 16:125).

SALAM.

NOTA: Artikel ini merupakan pandangan penulis dan penulis mengalu-alukan pandangan bebeza, jika ada, didalam semangat saling belajar.

No comments: