(Dari buku "islam: Antara Isi dan Kulit")
SALAH satu perkara utama yang menyebabkan salah faham terhadap addin Allah oleh orang Islam serta bukan Islam ialah kekeliruan. Kekeliruan ini timbul kerana pelbagai sebab, termasuk kejahilan agama serta peranan sengaja Iblis dan konco-konconya untuk mewujudkan kekeliruan. Kita lihat pada masa sekarang ada penyempitkan pengertian anutan ‘Islam’ kepada pakaian, jenama atau label, simbol dan upacara dengan mengetepikan inti ajaran Allah yang menyeluruh serta erti ketakwaan.
Allah banyak kali menegaskan dalam al-Quran bahawa sebaik-baik manusia ialah manusia yang bertakwa (almuttaquna). Konsep takwa ini juga dikeliru dan disempitkan pada perlakuan beberapa upacara saja. Sebagai contoh, kita mengambil pengajaran daripada surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:
“Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu memalingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan ialah percaya kepada Allah, hari akhir, malaikat, al-Kitab, nabi; memberikan harta walaupun dicintainya kepada sanak saudara dan anak-anak yatim, orang miskin, musafir, dan yang meminta-minta; memerdekakan hamba, melakukan solat, memberikan zakat, mereka yang menepati perjanjian mereka apabila membuat perjanjian, orang yang sabar dalam kecelakaan dan kesusahan, serta bencana. Mereka inilah orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar.”
Dalam ayat di atas, Allah begitu jelas memperincikan sifat seorang yang bertakwa. Ia termasuk memiliki sifat berkongsi harta benda (bukan saja sedekah seperti mana yang kita amalkan sekarang), memerdekakan hamba, menepati janji atau kontrak, serta cekal dan sabar dalam menghadapi kesusahan. Namun perkara seperti ini yang amat penting dalam kehidupan seharian manusia tidak diajar sebagai sifat wajib seorang Muslim. Memungkiri janji, berbohong atau menyalahgunakan perkataan ‘insya-Allah’ apabila kita sebenarnya bermaksud tidak akan hadir atau tidak berminat sudah dianggap perkara biasa atau dosa kecil.
Sudah bebaskah hamba pada zaman yang kononnya moden ini? Sekiranya hamba tidak lagi wujud, ini bermakna kita tidak lagi memperhambakan sesiapa pun dalam kehidupan seharian kita termasuk pembantu rumah, pekerja serta mereka yang lemah berbanding kita. Memberi peluang pekerjaan kepada manusia lain untuk mencari rezeki tanpa menjatuhkan martabat kemanusiaannya berbeza daripada memperhambakannya. Perkara ini perlu kita fahami semasak-masaknya supaya tidak kufur kepada perintah Allah. Istilah yang kita gunakan sehingga menjadi sebati dengan pemikiran kita juga menjadi satu punca kekeliruan. Sebagai contoh, istilah seperti ‘Pusat Rawatan Islam’, ‘kedai makanan Islam’, ‘parti Islam’, ‘Insurans Islam’, ‘negara Islam’ dan perkataan lain yang boleh menimbulkan kekeliruan. ‘Pusat Rawatan Islam’ membawa maksud yang lucu bahawa Islam itu yang menerima rawatan, walhal bukan ini yang kita maksudkan!
Mungkin ‘Pusat Rawatan Pesakit’ lebih tepat. Bagaimana pula dengan ‘kedai makanan Islam’ yang mempunyai perkhidmatan yang lembap, tahap kebersihan dan kualiti makanan rendah, dan harga makanan yang mahal? Bolehkah orang Islam menerima amalan yang bercanggah dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya seperti berteriak nama Allah di khalayak orang ramai, memfitnah, memecahbelahkan ummah, berdusta sebagai amalan satu ‘Parti Islam’? Allah dengan jelas berfirman dalam surah al-Araaf ayat 55 yang bermaksud:
“Mintalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang tersembunyi. Sesungguhnya Dia tiada mengasihi orang yang melampaui batas.”
Tidak dapat dinafikan bahawa seruan ‘Allahu Akbar’ dengan suara yang kuat di khalayak orang ramai sudah dijadikan alat politik oleh golongan tertentu yang sanggup meremehkan nama Tuhan. Adakah mereka ini memuji Allah, berzikir, berdakwah atau pun berdoa? Cara golongan ini berteriak nama Allah tidak langsung mendekatkan orang lain kepada Allah, tetapi kedengaran sebagai satu laungan peperangan atau dirasuk syaitan. Memuji Allah, berzikir, berdoa atau bersyukur hendaklah dengan merendahkan diri dengan suara yang tersembunyi. Kita harus memikirkan dengan mendalam amalan ini supaya tidak terjerumus ke arah kekufuran. Allah amat dekat dengan kita dan tidak perlu kita berteriak untuk didengar-Nya. Allah befirman dalam surah Al-Qaaf ayat 16 yang bermaksud:
“Sesungguhnya sudah Kami jadikan manusia dan Kami ketahui apa-apa yang diwaswaskan (dibisikkan) oleh hatinya dan Kami lebih hampir kepadanya dari urat lehernya.” Kita juga harus beriman dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: “Dan sederhanalah dalam perjalanan engkau dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” Oleh demikian jika niat kita sebenarnya untuk mendekatkan orang lain kepada ajaran Allah dan bukan kepada ideologi kita semata-mata, hendaklah kita menyampaikan ajaran Allah melalui perlakuan diri sendiri dan juga dengan cara atau kaedah terbaik. Mana-mana golongan atau hisbul yang menamakan dirinya sebagai ‘parti Islam’ menanggung beban tambahan di mana segala tindakannya, termasuk yang berlawanan dengan ajaran Allah akan disalah tafsir oleh orang bukan Islam dan yang jahil sebagai berdasarkan ajaran Allah.
Namun begitu, Allah memberi amaran berjaga kepada orang yang beriman dalam surah al-Baqarah ayat 8-9 yang bermaksud: Antara manusia, ada yang berkata: “Kami sudah beriman kepada Allah dan hari Kemudian, pada hal mereka itu bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, pada hal mereka menipu diri mereka sendiri tetapi mereka tidak sedar.” Islam adalah satu cara hidup dan dari segi bahasa ia membawa maksud ‘sejahtera’. Ini bermakna, Islam adalah satu cara hidup yang disyorkan oleh Allah kepada manusia yang mahu mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Allah memberi manusia al-Quran yang mempunyai panduan cara hidup untuk mencapai ‘Islam’ atau kesejahteraan. Dilihat dari sudut ini, Islam atau ‘kesejahteraan’ adalah matlamat serta cara hidup yang ditetapkan Allah untuk manusia (Surah al-Maidah ayat 3).
Namun begitu kita seolah-olah berada dalam perlumbaan bukan untuk mengamalkan ajaran Allah tetapi untuk meletakkan label ‘Islam’ pada berapa benda yang boleh. Kita mahu kebanggaan kulit daripada beriman dan mengamal isi secara merendah diri kepada Allah. Oleh kerana addin Allah adalah cara hidup yang sesuai dan natural untuk manusia, sesiapa (sama ada ia percaya atau tidak kepada Tuhan) yang hidup dengan cara yang berlawanan yang ditetapkan oleh Allah, akan secara automatik rugi dan menerima akibat buruk. Sebagai contoh, orang yang makan racun akan menerima akibat buruk. Begitu juga dengan racun seperti tamak, menipu, menindas, malas, boros, kedekut, mencemar alam, dan sebagainya. Ini secara pasti memberi kesan kepada individu dan kumpulan individu – sama ada mereka mahu beriman atau pun tidak.
Sekiranya kita faham, kita akan lihat bahawa semua ini adalah tindak balas kepada perbuatan tangan kita sendiri. Malangnya ego atau nafsu manusia mengajaknya melampaui hudud (had atau batas) yang ditetapkan Allah sehingga mewujudkan kepalsuan dan kepercayaan kepada perkara yang mustahil berlaku atau dicapainya sehingga diri diletakkan sebagai Tuhan. Manusia sudah begitu berani mengeluarkan fatwa dan hukum-hakam di atas nama Allah yang bukan daripada Allah sehingga masyarakat menjadi kucar-kacir dan bertambah keliru.
Tidakkah siapa pun yang takut kepada Allah dan mengesahkan fatwa dan hukum-hakam ini dengan ajaran Allah? Kita disuruh oleh Allah untuk bertanya kepada golongan ini dalam surah al-Qalam, ayat 39-40 yang bermaksud: “Bahkan adakah bagi mu sumpah yang teguh terhadap Kami, sampai hari kiamat bahawa bagi kamu (ada hak) apa-apa yang kamu hukumkan? Tanyakanlah kepada mereka, siapakah antara mereka yang menjamin (bertanggungjawab) bagi hukum itu?” Perkataan hudud juga tidak terlepas daripada kekeliruan. Daripada suatu perkataan yang bermaksud ‘had’ ia kini mempunyai nyawanya sendiri dan menjadi ‘undang-undang hudud’ yang disamakan secara automatik dengan ajaran Allah tanpa melihat kepada isi undang-undang itu.
Ramai orang bukan Arab begitu cepat terpengaruh dengan bahasa Arab sebagai ‘Islam’ walaupun begitu ramai orang Arab sendiri yang bukan Muslim. Ini adalah satu lagi contoh kekeliruan di antara kulit dan isi. Sekiranya kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah menyarankan manusia supaya tidak melampaui hudud atau had yang ditetapkan oleh-Nya demi kebaikan kita sendiri. Di sini ada satu contoh dalam Surah an-Nisa ayat 14 yang bermaksud: “Barang siapa menderhaka Allah dan rasul-Nya dan melampaui batas (hududahu)Nya nescaya Allah memasukkan dia ke dalam neraka, serta kekal di dalamnya dan untuknya seksa yang menghinakan.” Antara istilah yang selalu dikelirukan ialah istilah ‘negara Islam’. Sarjana, ahli politik dan ulama agama mempunyai takrif masing-masing. Pada amnya mereka bersetuju bahawa negara Islam ialah sebuah negara yang ditadbir dengan ‘undang-undang Islam.’
Orang yang beriman mempercayai bahawa Allah adalah pentadbir segala alam. Pemerintahan Allah terhadap alam termasuk bumi, bintang, matahari, galaksi dan lain-lain tidak berhenti dan berterusan. Semua berlaku dengan rancangan-Nya. Bukan manusia yang mampu mentadbir alam, termasuk bumi seperti Allah. Dengan keinsafan ini, kita harus sedar bahawa tugas kita masing-masing ialah untuk mengamalkan addin Allah dalam kehidupan seharian kita, dalam semua peranan kita sama ada sebagai kawan, ibu bapa, pekerja, majikan, pemimpin, pengikut, penggubal undang-undang dan sebagainya. Masing-masing yang mengaku sebagai seorang Muslim seharusnya berusaha memahami isi kandungan al-Quran dulu supaya kita tahu kehendak Allah.
Janganlah kita terlalu rindu dan terlalu bangga dengan ‘zaman kegemilangan Islam’ yang lampau sehingga kita lupa tanggungjawab kita pada zaman ini. Sejarah memang penting, namun, kita terlalu asyik menoleh ke belakang hinggakan orang seperti Bill Gates yang mencipta teknologi masa hadapan seperti Microsoft, Internet dan teknologi yang lain. Apakah jika Internet direka oleh bangsa kita atau Pakistan ia akan dinamakan sebagai ‘Internet Islam’ atau ‘Microsoft Islam’ dan ini akan menjadikannya lebih suci atau berguna? Kulit atau isi yang penting? Sebenarnya, orang Islam yang mempunyai al-Quranlah yang sepatutnya menjadi pencipta teknologi itu.
Malangnya, mungkin sedikit saja daripada kita yang mahu memahami isi kandungan al-Quran dan lebih rela taksub kepada manusia lain yang mungkin hampir jahil dengan kita atau mempunyai agenda/niat yang tersirat. Kalau begitu, kita tidak akan maju dan terus berada dalam kekeliruan dan leka dengan igauan bahawa kita diberi petunjuk seperti firman Allah dalam Surah al-Araaf ayat 30 yang bermaksud: “Satu golongan manusia mendapat petunjuk dan satu golongan jadi sesat, kerana mereka itu mengangkat syaitan menjadi wali bukan Allah, sedang mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.”
Sunday, September 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment