Followers

Monday, March 22, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 3 - Kesan Memperundangkan kepercayaan (effects of legislating faith)

Empat sumber tersebut juga di beri kuasa undang-undang didalam undang-undang syariah di Negara ini. Ini bermakna suatu perkara hasil ijmak dan qias wajib di patuhi oleh rakyat Muslim negara ini sebagai keperluan undang-undang. Begitu juga tafsiran terhadap Al-Quran dan Hadis oleh ‘orang-orang yang di iktiraf’ oleh undang-undang wajib di terima di sisi undang-undang syariah di Negara ini. “Orang-orang yang tidak di iktiraf” oleh undang-undang syariah tidak berhak memperkatakan sesuatu mengenai Islam kerana ia mungkin menjadi kesalahan di bawah undang-undang syariah. Jika ia nya di pertikai, ia juga akan mengundang hukuman undang-undang.

Memandangkan di Malaysia, undang-undang syariah adalah di bawah bidangkuasa Negeri-negeri, maka pengiktiran “siapa yang layak bercakap mengenai Islam” di Negeri masing-masing juga berbeza. Ia juga di tentukan oleh pihak berkuasa agama Negeri masing-masing.

Layak bercakap mengenai Islam?

Sebagai contoh, Dr Mohd. Asri, walaupun bekas mufti Perlis, beliau di tuduh di bawah undang-undang syariah negeri Selangor kerana ‘mengajar Islam’ tanpa “tauliah yang sah daripada pihak berkuasa agama Negeri Selangor (“tujuan tersebut”). Dalam ertikata lain, beliau bukan lah “orang yang diiktiraf” bagi tujuan tersebut oleh undang-undang syariah negeri Selangor selagi beliau tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama Negeri tersebut.

Alasan pihak berkuasa Negeri Selangor untuk keperluan tauliah ini ialah, di antara lain, untuk memantau “penceramah agama” serta sebagai kaedah untuk menggesahkan kelayakan orang yang berceramah atau mengajar agama. Walau pun sebabnya boleh di fahami, ini juga merupakan satu sekatan undang-undang terhadap kebebasan Melayu untuk mengamalkan agama mereka. Ini adalah kerana keperluan ”tauliah” ini menimbulkan pelbagai persoalan seperti berikut:-

(a) Apakah yang di maksudkan dengan “mengajar mengenai Islam”? – bagaimana kalau terdapat perbincangan agama antara 10 orang kawan di rumah mereka – adakah ini menjadi satu kesalahan syariah kerana masing-masing akan memberi kefahaman mereka yang mungkin berlainan mengenai Islam.

(b) Perkataan “berceramah mengenai Islam” juga menimbulkan pelbagai persoalan. Ada kah ia tertakluk kepada persoalan “tauhid” dalam pengertian yang amat sempit atau boleh merangkumi perkara-perkara yang tidak di anggap tauhid?

(c) Bagaimana jika seorang itu berceramah mengenai perkara yang di anggap sebagai “fardhu kifayah” – adakah ini juga perlukan tauliah? Jika ya, ia akan menyekat setiap professional Muslim seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagai nya daripada bercakap mengenai profesion masing-masing hanya semata-mata kerana mereka itu Muslim.

(d) Setiap Muslim meyakini bahawa ajaran Islam itu syumul atau menyeluruh. Di atas dasar “kesyumulan” ini, tidak kah aneh jika tauliah diperlukan untuk sebahagian “perkara Islam” dan tidak bagi "perkara Islam" lain?

Seorang Muslim harus mampu keluar daripada minda “perangkap agama” yang menyempitkan ‘Islam” kepada perkara-perkara upacara semata-mata. Jika ia mampu, akan jelas lah bahawa sebarang penyekatan undang-undang terhadap diri nya di atas nama “agama” berkesan untuk menyekat kebebasan nya untuk mengamalkan ajaran Islam sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawap hanya kepada Penciptanya.

Menangani ajaran sesat

Kita juga faham bahawa di antara tugas pihak berkuasa agama ialah untuk menangani ajaran sesat dan oleh itu mungkin tauliah di rasakan sebagai satu cara menapis ajaran sesat. Ini adalah hujah kawalan yang sering di gunakan oleh semua ajensi pelaksana di merata dunia, tidak kira syariah atau sekular. Kalau tidak memantau, bagaimana nak menangani ajaran sesat?

Peranan serta keberkesanan pihak berkuasa agama di dalam “usaha membanteras ajaran sesat” tidak pernah di nilai oleh Rakyat Muslim selama ini walaupun beribu wang Rakyat digunakan dalam usaha ini. Secara amnya, dalam Malaysia, sebarang ajaran agama oleh seorang Muslim yang menyimpang daripada asas-asas fahaman sunnah wal jamaah di anggap sesat. Sebagai contoh, sekiranya seorang Muslim mengatakan bahawa Nabi Isa di salib, ia di anggap sesat oleh undang-undang syariah dan boleh di kenakan hukuman. Sebaliknya jika seorang Kristian mengatakan perkara yang sama, ia tidak akan di hukum oleh undang-undang syariah walaupun dari segi akidah sunnah wal jamaah fahaman Nabi Isa di salib adalah fahaman yang sesat.

Begitu juga jika seorang Muslim mengajar atau menyebarkan fahaman Shia, ini juga boleh dianggap kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah di Malaysia walaupun di peringkat dunia, kedua-dua Malaysia dan Iran adalah ahli persatuan Negara-negara Islam iaitu OIC. Beberapa Negeri mempunyai fatwa bahawa fahaman yang di iktiraf hanya lah fahaman Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ).

Maka jelas bahawa pemantaun ajaran sesat oleh pihak berkuasa agama adalah terhadap Rakyat Muslim yang menyebarkan fahaman bertentangan dengan fahaman ASWJ majlis-majlis agama Negeri-negeri.

Sebagai contoh, ajaran-ajaran seperti Ayah Pin dan Arqam di anggap sebagai sesat dan pelbagai usaha telah di jalankan untuk mematikan pengaruh mereka dengan mengunakan kuasa undang-undang. Arqam di haramkan, “ajaran Ayah Pin” di haramkan serta perkampungan nya di robohkan. Persoalannya ialah: selepas pengharaman sedemikian, adakah pengikut-pengikut nya berjaya di “pulihkan”? Saya percaya walaupun undang-undang boleh ‘menghancurkan’ suatu organisasi, ia tidak semestinya berjaya menghapuskan suatu idea tanpa kaedah perbincangan dan pendidikan.

Dalam membincang usaha membanteras ajaran sesat, timbul kekhuatiran samada fahaman yang berbeza (dari segi tafsiran) dengan fahaman umum sunnah wal jamaah atau satu aliran sunnah wal jamaah juga di anggap sesat oleh pihak berkuasa agama yang mungkin di dominasi oleh satu aliran atau fahaman sunnah wal jamaah. Jika kekhuatiran ini berasas, maka ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat kerana kefahaman terhadap agama disempitkan oleh fahaman satu kelompok yang berkuasa. Di dalam keadaan sedemikian, fahaman agama di lentur bukan oleh ilmu dan nas, tetapi oleh kuasa.


Islam untuk pakar atau untuk semua manusia (An-nas)?

Rakyat Melayu yang mahu berfikir harus menilai kesan penyekatan undang-undang ketas hak dan kewajiban mereka terhadap Allah. Ini adalah sedikit berbeza dengan hak dan kewajiban sesama manusia walaupun bagi seorang Muslim yang beriman kepada ayat di bawah, tidak ada perpisahan dalam kehidupannya.

“Katakanlah, "Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam”. (Quran: 6:162)

Sekiranya, seorang Muslim beriman kepada 6:162, maka ia juga mempunyai hak dan tanggungjawap untuk mempelajari, berbincang, memberi pendangan dan mengamal apa yang difahami oleh nya daripada Al-Quran. Saya percaya seseorang itu tidak boleh “habis belajar” hikmah Al-Quran dalam masa empat (ijazah) atau lapan tahun (PhD) diuniversiti. Selanjutnya, pembelajaran di universiti bukan lah jaminan keimanan seseorang. Kefasihan bahasa Arab, walaupun semestinya membantu, tidak menjaminkan keimanan atau kefahaman. Abu Lahab adalah satu contoh dalam kes ini.

Apakah seorang Muslim yang tidak memasuki “Universiti Islam” serta tidak berpeluang membaca kitab-kitab tulisan Imam-imam besar seperti Shafie, Hambali, Maliki, Hanafi, Ibn Taymiyah, Suyuti dan sebagai nya serta tidak membaca koleksi hadis-hadis Muslim, Bukhari, Ibn Majah, Abu Dawud atau Al-Tirmidhi serta tidak mempelajari usul-al fiqh dikira jahil dan tidak berpeluang untuk menjadi seorang Muslim yang beriman jika ia rajin membaca dan beriman kepada Al-Quran? Saya tidaklah bertujuan meremehkan pendidikan formal agama. Perkara yang di bincang di sini ialah hak setiap Muslim untuk mengamalkan Addeen Allah tanpa syirik kepada sesuatu atau sesiapa.

Jika kelulusan akademik serta jawatan “agama” menjadi pra-syarat untuk berbincang mengenai Islam, apakah kelulusan universiti para Nabi-nabi? Kita lihat bahawa para Nabi membawa ilmu Tuhan di zaman masing-masing yang berlawanan dengan budaya pembesar dan cendekiawan zaman mereka. Di samping itu, ajaran Nabi-nabi adalah mudah dan konsisten sepanjang zaman sehinggalah ke Nabi Muhammad.

Ramai yang masih keliru di antara maklumat dengan ilmu. Seorang yang masuk universiti dan berkelulusan PhD mungkin mempunyai banyak maklumat mengenai sesuatu perkara tetapi tidak semestinya berilmu mengenai perkara itu. Contohnya ialah burung kakak tua yang boleh menyuarakan suatu maklumat tanpa sebarang ilmu mengenai perkara yang disuarakan. Contoh moden ialah komputer yang bukan sahaja mempunyai banyak maklumat tetapi boleh memprosesnya dengan kelajuan yang tidak dapat ditandingi oleh manusia. Adakah kita akan mengatakan komputer itu berilmu atau berhikmah? Pada saya, semua ini adalah tanda-tanda yang di tunjukki oleh Pencipta bagi mereka yang rela berfikir.

Begitu juga wujud kekeliruan diantara beriman atau percaya berdasarkan ilmu dengan beriman atau percaya secara buta tuli. Untuk beriman berdasarkan ilmu, anda sendiri perlu mengesahkannya. Sebagai contoh, jika anda terima bulat-bulat apa yang saya tulis disini tanpa berfikir,menilai serta tanpa merujuk kepada Al-Quran, itu bermakna anda beriman kepada saya atau anda beriman secara buta tuli.

Keimanan seseorang itu lahir daripada sikap-sikap seperti cinta kepada Pencipta Nya, ilmu, sikap kerendahan diri dan takut hanya kepada Pencipta Nya. Namun, hakikat hidup ialah, ramai yang takut hilang jawatan, gaji, kawan-kawan, penghormatan dan perkara-perkara duniawi sedemikian. Akhir sekali, keimanan seseorang itu adalah hak Allah yang ditentukan oleh Nya. Kita hanya boleh menilai pandangan masing-masing berdasarkan nas-nas yang sahih, bermula dengan merujuk kepada Al-Quran.

“Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia memperjelaskan kepada mereka; kemudian Allah menyesatkan sesiapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana”. (Quran 14:4)

Hari ini, kita dengar pihak yang menganggap diri mereka sebagai pakar memberi amaran bahawa orang yang tidak pakar, tidak harus berbicara mengenai Islam atau Al-Quran. Bolehkah seorang yang di lamun cinta ditahan daripada berbicara mengenai apa yang dicintainya? Tidak kah Muslim itu mencintai Penciptanya melebihi yang lain? Saya tahu bahawa perkara yang paling pasti di dalam kehidupan saya ialah: saya akan mati satu hari dan saya akan di persoalkan mengenai kegiatan saya di dunia. Masa itu, tidak ada seorang pun pakar yang akan membela saya. Saya harus membela diri saya. Dunia ini sementara manakala kehidupan selepas ini adalah berkekal. Adakah saya akan abaikan yang kekal untuk yang sementara? Sepedih-pedih cabaran di dunia, ia pasti akan berlalu. Yang di khuatiri ialah selepas itu kerana tidak mungkin ada alasan yang boleh di berikan kepada Tuhan jika kita telah mengadaikan akal dan hati kita kepada orang lain.

Kesan terakhir memperundangkan kepercayaan ialah: amalan dan bentuk kepercayaan seseorang itu di tentukan serta di kawal oleh undang-undang. The final effect of legislating faith is this: the practice and structure of a person’s belief is determined and controlled by law. Ini bermakna fahaman dan amalan Muslim di Negara ini di tentukan dan dikawal oleh undang-undang. Perkara in perlu di fahami betul-betul oleh setiap rakyat Muslim yang mengambil serius agama mereka.

Bersambung..insha Allah.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

Monday, March 15, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? Bab 2


Saya ingin membincangkan beberapa perkara mengenai struktur saikoloji manusia dari perspektif Quran berkaitan dengan kepercayaan serta keadaan lazim sebelum mengkhususkan perbincangan kepada Melayu.

Struktur saikoloji kepercayaan (The psychological structure of belief)

Pertama, Surah Al Anaam ayat 64 yang telah kita lihat terlebih dahulu dengan jelas sekali meletakkan tanggungjawap terhadap kepercayaan sebagai satu perkara individu. Sekiranya kepercayaan kita itu sesat atau disesatkan, kita lah yang terpaksa menanggung kesan nya sendiri.  Orang lain tidak memikul beban kecuaian atau kesilapan kita.

“Sesiapa yang mendapat petunjuk, dia hanyalah mendapat petunjuk untuk dirinya sendiri, dan sesiapa sesat, dia sesat hanyalah baginya sendiri; orang yang dibebankan tidak memikul beban orang lain. Kami tidak mengazab sehingga Kami membangkitkan seorang rasul”. (Quran: 17:15)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sifat kepercayaan ialah ia nya merupakan individualistik. Belief is personal to the holder. Hanya jika kepercayaan itu individualistik, maka si individu itu boleh di pertanggungjawapkan keatas kepercayaan  dan amalan nya. To be accountable for your actions and beliefs, you must have freedom of choice. Seharusnya juga kepercayaan itu berasaskan nas yang sahih, fakta dan ilmu pengetahuan tetapi ini bukanlah keadaan amnya didalam dunia agama.

Kedua, ramai “percaya” kepercayaan yang di “percayai” oleh orang-orang terdekat dengan mereka atau orang-orang yang mereka terima sebagai pakar.  Keadaan in berlaku melalui satu proses indoktrinasi komplex melalui satu jangka masa yang lama. kaedah “appeal to authority”, takut kena pulau atau “takut sesat”, atau alasan “saya tidak mahir agama”, “isu sensitif”, kemalasan berfikir dan faktor-faktor sedemikian.  Walaupun fenomena meniru ini amat lazim, menurut Mutawalli, kepercayaan agama seharusnya berdasarkan keyakinan (“conviction”) dan pilihan berhemat (“considered chioice”) dan bukan nya peniruan kepercayaan dan pandangan orang lain.

Al-Quran sendiri menyentuh fenomena ini dengan amat jelas dalam surah al-Baqarah:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah menurunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat." Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk?” (Quran 2:170)

Ketiga, Ada yang pernah berhujah balas pada saya dengan mengatakan:” Maka bagaimana hendak mencapai keseragaman di dalam agama?”  Sebenarnya, keseragaman seperti mana yang di kehendaki oleh sebuah kelab sosial atau sekolah dengan peraturan dan pakaian rasmi nya tidak dapat di capai dalam soal keyakinan terhadap Pencipta melalui paksaan. Ia mungkin dapat dicapai dalam perkara luaran atau fizikal seperti pakaian, upacara dan sebagainya tetapi bukan dalam perkara keyakinan atau akidah. Dalam sebuah kelab sosial, pertelingkahan yang berakhir dengan keputusan majoriti adalah perkara biasa bertujuan untuk melicinkan perjalanan persatuan tersebut.  Walaupun hati minoriti tidak bersetuju dengan keputusan majoriti, minoriti akan akur kepada keputusan majoriti dengan minda serta perlakuan mereka. Minoriti ini tidak akan di tuduh sebagai hipokrit atau munafiq kerana menerima suatu keputusan walaupun hati mereka tidak setuju. Bantahan minoriti dalam perbincangan sebelum keputusan di buat juga tidak akan dilihat sebagai suatu perbuatan yang sangat jahat atau sesuatu yang mengundang hukuman terhadap golongan minoriti tadi.

Sekiranya pihak minoriti itu merasakan perbezaan pandangannya amat ketara dengan pandangan majoriti, ia bebas untuk mengekalkan prinsip nya dengan menamatkan keahliannya di dalam persatuan tersebut.

Namun, keadaan nya berbeza dengan kepercayaan. Dalam hal kepercayaan, kaedah menerima keputusan majoriti tidak  relevantidak berkesan dan tidak tepat. Dalam soal keyakinan, keputusan majoriti tidak bererti ia benar (Surah Al-Anaam ayat 116). Kita tidak boleh pakat-pakat buat keputusan untuk percaya kepada  sesuatu jika hati masing-masing tidak percaya. Orang yang tidak percaya, tidak akan percaya. Saya yakin mustahil mencapai keseragaman kepercayaan melalui paksaan seperti mana yang dijelaskan dalam surah Yunus:

“Dan sekiranya Pemelihara kamu mengkehendaki, sesiapa yang di bumi tentu percaya, kesemua mereka, kesemuanya. Adakah kamu akan memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang-orang mukmin” (yang mempercayai)? (Quran: 10:99)

Keempat, berkaitan dengan keberkesanan persetujuan padri-padri atau pakar-pakar agama mengenai suatu perkara yang menyentuh kepercayaan agama dan sejurus itu, setiap penganut di paksa menerima nya.

Sebagai contoh, asas akidah agama Kristian Katolik adalah berdasarkan ”Nicene Creed” yang dipersetujui oleh beberapa gereja-gereja di zaman Raja Constantine dimana padri-padri tersebut mengeluarkan “ijmak” bahawa penganut agama Katolik wajib berpegang kepada kepercayaan ‘Holy Trinity” iaitu ”Father, Son and Holy Ghost”. Mana-mana Krisitan Katolik yang tidak meyakini perkara ini di anggap sebagai sesat.  Kristian Katolik juga wajib percaya bahawa Nabi Isa disalib dan di”angkat kelangit pada hari ketiga”.  Kalau hendak jadi Kristian Katolik, kamu terikat dengan fahaman ini.

Persetujuan padri-padri (atau apa saja nama yang di pakai untuk panggil pakar-pakar agama tertentu) dalam menentukan kefahaman, struktur dan ideoloji suatu agama bukanlah terhenti pada agama Kristian. Ia nya merupakan ciri semua agama di dalam dunia ini. Ciri persetujuan pakar yang wajib di terima oleh semua orang tidak terpakai di dalam disiplin lain selain daripada agama. Sebagai contoh, di dalam disiplin yang begitu penting seperti perubatan dan kesihatan pun tidak ada undang-undang yang memaksa pesakit untuk mendapatkan rawatan atau memperolehi rawatan tertentu sahaja. Pesakti bebas memilih bentuk rawatan yang di senangi nya berdasarkan peniliaan nya. Begitu juga dengan disiplin-disiplin lain seperti kejuruteraan, sains hayat, ekonomi dan sebagai nya, perbezaan pendapat tidak menjadi satu masalah yang mengancam keperibadian seseorang.

Namun, di dalam disiplin agama, peranan pakar agama masing-masing begitu dominan sehingga lazimnya pandangan serta persetujuan pakar-pakar diberikan tahap wahyu yang tidak boleh dipertikai atau di beri sifat ketuhanan yang wajib diterima tanpa soal.  Al-Quran sendiri memberi amaran kepada manusia mengenai kewujudan fenomena ini dalam bidang agama dengan ayat-ayat berikut:-

“Atau, adakah bagi kamu janji-janji daripada kami sehingga hari kiamat bahawa bagi kamu apa sahaja yang kamu memutuskan? Tanyalah mereka: siapa kah antara mereka yang akan menjamin terhadap itu (apa yang mereka memperkatakan)?” (Quran: 68:39 - 40)

Beberapa perkara yang berkaitan dengan fenomena ini juga di bincang oleh Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin di dalam blog nya baru-baru ini.

Di dalam dunia fahaman Ahlul Sunnah wal jamaah (ASWJ) pun, peranan ulama agama mereka dominan di dalam membentuk dan memahami agama tersebut. Semakin jauh daripada zaman turunnya Al-Quran, semakin dominannya peranan ulama agama. Di dalam fahaman AWSJ (Melayu kebanyakkan tergolong pada fahaman ini), fahaman agama mereka bersumberkan empat sumber utama berikut:-

(a)    Quran
(b)   Hadis
(c)    Ijmak
(d)   Qias

(“empat sumber tersebut”)

Bersambung…Insha Allah – Bab 3.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]

Wednesday, March 10, 2010

Adakah Melayu bebas beragama? – Bab 1

Sekiranya kita melihat kepada sejarah turunnya wahyu-wahyu daripada perspektif Quran, kita akan dapati, antaranya, beberapa perkara seperti berikut:

1. Hampir setiap rasul membawa mesej yang berlawanan dengan adat, fahaman, agama, dan cara hidup di zamannya (Quran: 21:53, 23:24, 26:74-76)

2. Hampir setiap Rasul ditindas dan di tindas oleh sebahagian besar umatnya termasuk oleh sanak saudara dan kawan-kawan nya.

3. Setiap rasul mengajak umat nya menggunakan akal dan berfikir manakala pendita-pendita serta pembesar-pembesar dizamannya melarang manusia daripada berfikir mengenai mesej yang di bawa oleh Rasul tersebut (Quran: 5:100), 12:111, 13:19, ;

4. Setiap Rasul mengajak umat nya untuk sujud atau mengabdikan diri hanya kepada Tuhan semesta alam, bukan pun pada dirinya – Ini bererti setiap Rasul mengajar manusia membebaskan diri daripada kongkongan manusia lain. (Quran: 7:65, 7:73, 7:85, 16:36)

5. Setiap Rasul mengajak umatnya menegakkan keadilan tanpa mengira bangsa, keturunan, darjat dan sebagainya (Quran 57:25)

6. Setiap Rasul adalah reformis masyarakat nya (Quran: 43:24) dan bukanlah tukang “agama” yang membaca beberapa mantra (Quran 21:15, 37:36, 23:83),

7. Setiap Rasul tidak meminta sebarang upah, ganjaran dunia atau jawatan untuk menyampaikan ilmu Tuhan (Quran: 26:145, 26:164);

8. Setiap Rasul dan pengikut mereka ditindas oleh pembesar-pembesar serta “cerdik-pandai” zamannya yang mahu mengekalkan status quo (Quran: 2:170).

Penindasan terhadap Nabi Muhammad dan pengikutnya

Sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhamad sendiri terpaksa melalui cabaran selama 23 tahun dalam menyampaikan ayat-ayat Quran. Cabaran pertama yang beliau menerima adalah daripada penduduk Mekah sendiri yang mengenali beliau sejak kecil. Pengikut-pengikut awal Muhammad dikenakan pelbagai hukuman kejam oleh pembesar-pembesar Mekah hanya semata-mata kerana mereka mahu berfikir dan menerima mesej yang di bawa oleh Muhammad. Ramai yang di usir dari tempat kediaman mereka dan kehilangan harta benda semata-mata kerana mereka mahu sujud hanya kepada Allah tanpa syirik.

Sejarah menceritakan bagaimana Nabi Muhammad sendiri ditawarkan dengan pangkat dan harta benda oleh pembesar-pembesar Mekah supaya meninggalkan Islam, namun baginda menolaknya. Kecekalan Nabi Muhammad dalam mentaati ajaran Allah adalah satu sunnah atau perbuatan baginda yang harus di turuti.

Kita harus sedar bahawa penindasan agama di Mekah jahiliyah berlaku hanya semata-mata kerana, dalam bahasa moden, penyampaian “idea” yang bukan lazim dalam masyarakat. Tanpa mahu berbahas, berbincang dan berfikir, mereka yang berkuasa mengambil jalan singkat dengan menindas “idea baru”. Pembesar-pembesar Mekah ketika itu tidak mahu memberikan kebebasan beragamakepada pengikut Nabi Muhammad.

Kesemua penindasan ini berlaku walaupun Nabi Muhammad tidak memaksa sesiapa pun untuk mempercayai atau menerima wahyu yang di bawa oleh nya. Kesemua penindasan ini berlaku walaupun pembesar-pembesar Mekah tahu bahawa Al-Quran menyebut:

“Dan sekiranya Tuhan kamu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang di muka bumi semua mereka, kesemuanya. Apakah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang mukmin (yang mempercayai)? (Quran:10:99)

“Tidak ada paksaan dalam agama. Sungguh telah jelas jalan yang benar daripada yang salah. Maka sesiapa yang tidak percaya kepada Thagut, dan mempercayai Allah, dia berpegang pada buhulan tali yang kukuh, yang tidak akan putus; Dan Allah Mendengar, Mengetahui”. (Quran: 2:256)

Keperluan ruang berfikir untuk menjadi seorang yang beriman berdasarkan nas

Sesiapa sahaja yang mahu berfikir akan lihat kepada ruang pemikiran bebas yang diberikan oleh Allah kepada manusia terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan kepercayaan atau aqidah. Apabila kita membandingkan ayat-ayat Al-Quran yang mengajak manusia berfikir dengan sikap jahiliyah Mekah yang menindas pengikut-pengikut Nabi Muhammad, kita akan sedar beberapa perkara:

a) Memaksa pandangan kita keatas orang lain adalah sikap jahiliyah yang membantut perkembangan minda manusia;
b) Penindasan perkembangan intelek adalah berlawanan dengan ajaran Tuhan dan juga merupakan sikap jahiliyah.
c) Pengharaman ruang berfikir adalah sifat jahiliyah.

Selepas lebih 1500 tahun setelah Al-Quran diturunkan, apakah keadaan nya sekarang? Adakah mereka yang mengaku diri mereka sebagai Islam diberikan ruang berfikir dan kebebasan diri untuk mereka mengamalkan Islam seperti mana yang di fahami oleh nya?

Pelbagai perkara telah berlalu sejak sempurnanya Al-Quran diturunkan. Hari ini kita mempunyai himpunan hadis-hadis dan pelbagai kitab-kitab tulisan ulamak. Banyak sumber ilmu yang terdapat bagi mereka yang mahu mencari atau menyelidik. Seharusnya, kita bermula dengan Al-Quran dahulu.

Bagaimana keadaannya hari ini?

Persoalannya: adakah seorang Muslim itu bebas untuk menilai, menerima atau menolak pandangan manusia yang di gelar sarjana atau ulamak? Adakah Muslim ini akan dihukum, dicaci atau dipandang serong oleh ahli-ahli lain dalam masyarakatnya? Bagaimana pula jika seorang Muslim itu lebih bersetuju dengan pandangan ulama A yang tidak popular dan bukan dengan ulama B yang terkemuka (Quran 39:18)? Bukan kah kita tahu bahawa politik dan suasana boleh mempertokohkan seorang yang kurang bijak atau berpura-pura dan mengenepikan orang yang sebenarnya bijak dan jujur? Teknik pemasaran hari ini amat canggih. Tarikan kemewahan dunia dan pangkat amat menggoda.

Atau adakah kedudukannya sekarang begini: mereka yang bergelar sebagai Muslim tidak lagi perlu berfikir kerana segala usaha berfikir sudah pun dilakukan oleh sarjana silam? Bagaimana dengan perkembangan pemahaman ayat-ayat Al-Quran berdasarkan perkembangan ilmu dan teknoloji? Atau adakah Muslim hari ini hanya perlu beriman dan ikut sahaja pihak-pihak yang telah diberikuasa oleh pihak berkuasa?

Persoalan-persoalan ini timbul kerana kita sebagai individu lah yang akan disoal dan dipertanggungjawapkan terhadap akidah dan amalan kita di bumi ini oleh Allah. Perkara ini amat jelas di dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya kamu datang kepada Kami bersendirian, sebagaimana Kami menjadikan kamu pada kali pertama, dan kamu meninggalkan dibelakangmu (duniamu) apa yang Kami mengurniakan kepada kamu. Kami tidak melihat bersama kamu penolong-penolong kamu, orang-orang yang kamu mendakwa untuk menjadi sekutu-sekutu Allah. Pertalian antara kamu diputuskan, dan apa yang kamu mendakwakan telah hilang daripada kamu." (Quran: 6:94).


Akan Bersambung Bab 2…Insha Allah.

Salam!

[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki/meminta sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]