Followers

Friday, July 5, 2013

“Islam” yang macam mana yang diketengahkan? – Bahagian Satu

Soalan ini mungkin terasa pelik bagi sesetengah orang. Ia menjadi pelik kerana “Islam” sebenar nya hanya lah “satu” sahaja dan yang berbeza ialah tafsiran mengenai “rupa bentuk” itu “Islam”.

Tafsiran-tafsiran ini dibuat oleh manusia dengan penggunaan akal yang dimilikinya berdasarkan sumber-sumber yang dibaca dan dikaji oleh nya. Lebih banyak fakta, maklumat dan sumber-sumber yang dikajinya, kemungkinan lebih luas pandangannya untuk membuat suatu tafsiran.

Tafsiran-tafsiran yang dibuat olehnya juga dipengaruhi oleh keupayaan intelektual serta kerajinan berfikir nya. Sarjana atau orang yang kurang pandai mempunyai keupayaan berfikir yang kurang berbanding dengan seorang yang lebih pandai dan rajin berfikir. Disamping itu, kebolehan si penafsir untuk bersikap adil secara intelektual (“intellectual honesty”), kebolehan untuk berfikir secara objektif tanpa dipengaruhi oleh prejudisnya, emosinya, kepentingan peribadinya serta kecendurungannya juga merupakan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi ketepatan tafsirannya.

Iklim politik juga memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah manusia untuk menentukan tafsiran mana yang menjadi dominan dalam masyarakat serta diangkat sebagai tafsiran rasmi. Maka, banyak perkara yang mempengaruhi penafsiran apa itu “Islam” serta rupa bentuknya dalam masyarakat tertentu.
Tafsiran mengenai Islam mungkin akan menghasilkan keputusan yang berbeza-beza berdasarkan sumber-sumber rujukan yang digunakan.

Al-Quran sahaja?

Sebagai contoh, adakah tafsiran anda berdasarkan Al-Quran semata-mata?

Kumpulan ini mengelar diri mereka sebagai “Quranist”, manakala mereka dikecam oleh kumpulan lain sebagai “anti-hadith”. Kumpulan ini merasakan bahawa tafsiran berdasarkan Al-Quran sahaja memadai kerana Al-Quran itu wahyu Allah yang lengkap serta mudah difahami.  Mereka juga merasakan bahawa setiap Muslim wajib membaca dan memahami Al-Quran bagi dirinya kerana setiap individu bertanggungjawap bagi dirinya sendiri. Mereka berpendapat bahawa Al-Quran memberi tafsirannya sendiri didalam Al-Quran dan kesemua ayat-ayat didalam Al-Quran itu adalah wahyu Allah yang sahih tanpa sebarang keraguan.

Kumpulan ini juga berpendapat orang lain tidak mungkin memikul kegagalan atau kecuaiannya untuk memahami Al-Quran. Mereka juga berhujah bahawa kewajiban memahami Al-Quran adalah satu usaha yang tidak boleh didelegasikan kepada pihak ketiga.

Al-Quran dan Sunnah?

Adakah tafsiran anda Al-Quran dan Sunnah?

Sunnah pada hari ini terbuku dalam kitab-kitab “hadis” yang digelar sebagai “Al-Sihah Al Sittah” yang secara literalnya bermaksud “enam yang sahih” walaupun bukan kesemuanya dianggap sahih kecuali kedua-dua koleksi yang pertama didalam senarai dibawah. Kumpulan Shia mempunyai koleksi hadis mereka yang tersendiri.

Kumpulan Sunna Wal-Jamaah  menerima enam koleksi hadis dibawah ini sebagai yang terpenting:
  1. Sahih Bukhari, dikumpulkan oleh Imam Bukhari (d. 870), mempunyai 7275 hadiths (2,602 tanpa pengulanggan)
  2. Sahih Muslim, dikumpulkan oleh Muslim b. al-Hajjaj (d. 875), mempunyai 9200 (3,030 tanpa pengulangan)
  3. Sunan al-Sughra, dikumpulkan oleh al-Nasa'i (d. 915)
  4. Sunan Abi Da'ud, dikumpulkan oleh Abu Da'ud (d. 888)
  5. Sunan al-Tirmidhi, dikumpulkan oleh al-Tirmidhi (d. 892)
  6. Kadang-kadang dirujuk sebagai Al-Muwatta, dikumpulkan oleh Imam Malik (d. 796) dan kadang-kadang Sunan Ibn Majah, dikumpulkan oleh Ibnu Majah (d. 886). Ada juga yang menerima Sunan al-Darami sebagai yang keenam.
Hadis-hadis yang sahih dikatakan telah melalui satu proses pengsahihan yang ketat oleh pengumpul hadis-hadis ini. Kumpulan ini berhujah, diantara lain, bahawa Al-Quran itu tidak mudah difahami tanpa bantuan hadis-hadis didalam banyak perkara, sebagai contoh dalam hal sembahyang lima kali sehari. Mereka juga bergantung kepada asbabun nuzul iaitu penulisan berkaitan dengan mengapa suatu ayat Al-Quran itu diturunkan untuk membuat penafsiran. Dalam perbincangan mengenai asbabun nuzul juga timbul isu-isu kesahihan dan pemalsuan.

Disamping hadis-hadis yang sahih, terdapat bermacam-macam hadis yang palsu yang telah lahir didalam didalam “sejarah Islam”. Terdapat pelbagai sebab mengapa pemalsuan hadis (wad al-Hadith) ini berlaku termasuk sebab-sebab kepentingan politik dan kepentingan perkauman.

Maka amat jelas sekali bahawa bagi mereka yang mahu bergantung kepada hadis sebagai asas, ia harus berwaspada bahawa hadis yang dipercayai itu adalah hadis yang sahih dan tidak bertentangan dengan wahyu Allah didalam A-Quran. Walaupun tuduhan terhadap orang lain sebagai “anti-hadith” amat mudah, jangan pula kita menjadi penyebar hadis palsu dan melanjutkan penipuan diatas nama Rasul.

Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas?

Disamping Al-Quran dan Sunnah, ijma dan qiyas juga membentuk “rupa Islam” dalam masyarakat. Ijma’ dan Qias adalah hasil daripada pemikiran dan penganalisaan para ulama agama.

Ijma dalam penggajian usul al-fiqh bermakna persetujuan atau persepakatan kesemua sarjana-sarjana masyarakat Muslim tanpa sebarang kekhilafan atau perbezaan pendapat dalam hal yang berkenaan. Maka dalam konsep ijma ini, tidak ada ruang untuk sebarang perbezaan pendapat atau persetujuan majoriti. Untuk sesuatu perkara itu dilayak untuk menjadi hasil ijma’ ia mestilah hasil pesetujuan semua sarjana-sarjana dalam masyarakat Muslim.

Qiyas pula merupakan proses untuk membuat suatu kesimpulan dalam suatu perkara berdasarkan perbandingan dengan perkara lain.

Pendek kata, ijma’ dan qiyas adalah hasil daripada usaha pemikiran dan penganalisaan ulama-ulama agama dan sarjana-sarjana pengajiaan Islam atau kumpulan yang di panggil sebagai ahlul fuqaha.

Pada asasnya,  itulah sumber-sumber yang boleh mempengaruhi tafsiran yang akan menghasilkan rupa bentuk “Islam” dalam masyarakat. Pengajian usul al-fiqh dan usul al-hadith adalah suatu bidang yang dianggap komplek namun saya percaya saya tidak salah jika saya katakan bahawa bidang-bidang ini adalah hasil pemikiran dan penganalisaan ulama-ulama agama dan sarjana-sarjana agama.

Salam.


[NOTA: Sipembaca dikehendaki membuat kajiannya sendiri dan tidak digalakkan menerima penulisan diatas tanpa selidik. Komen-komen dan pembetulan fakta, jika ada, dialu-alukan].