Followers

Monday, March 26, 2012

Bahagian 3: Agama mengkhayalkan manusia dalam kehidupan manakala Islam atau “The Way” mengajak manusia hidup dalam realiti sebenar dunia.


Motivasi dan Niat

Memang motivasi atau niat masing-masing untuk melakukan sesuatu berbeza. Namun apabila motivasi atau niat ini ditafsirkan sebagai perbuatan, kesannya juga berbeza dari segi rohani dan jasmani. Kita ambil sebagai contoh 4 jenis pekerja iaitu Encik A, B, C dan D.

Keempat-empat pekerja ini dibayar gaji setiap bulan serta diberikan kemudahan-kemudahan tertentu oleh majikan mereka. Keempat-empat mereka itu menandatangani atau telah memasuki dalam satu perjanjian pekerjaan dengan majikan mereka dimana mereka berjanji untuk melaksanakan tugas-tugas mereka.  Katakan juga keempat-empat mereka ini menerima gaji yang sama dan diberikan tugasan yang sama.

Encik A adalah seorang pekerja yang berkerja untuk gaji yang diterima. Dia masuk kerja tepat pada waktu 830pagi dan berhenti bekerja tepat pada waktu 530 petang. Jika majikannya mahukan ia bekerja lebih masa, ia akan lakukannya jika ia dibayar gaji tambahan masa atau overtime.  Ia menjalankan kerja yang disuruh dan tidak melakukan yang selebihnya atau sekurangnya. Ia melakukan kerjanya sekadar yang diperlukan dan tidak sebaik mungkin. Kualiti kerjanya tidaklah cacat tetapi tidak juga cemerlang.

Encik B pula tidak minat dengan kerja yang beliau sendiri pilih, namun beliau merasakan bahawa kerana keperluan kewangan, beliau terpaksa bekerja disitu. Oleh yang demikian, beliau cuba untuk “ular” bila ada kesempatan, sentiasa melihat kepada jam untuk balik, kerap mabil cuti sakit dan sebagainya. Mutu kerja beliau buat sering pada tahap minima atau pada tahap lebih rendah daripada minima. Disamping itu, kerana beliau tidak minat pada pekerjaan beliau, beliau sering juga mengumpat atau marah dalam hati kepada majikan beliau apabila diberikan kerja.

Encik C pun adalah pekerja yang tidak minat dengan kerjanya tetapi bekerja kerana gaji semata-mata. Beliau juga pada amnya cuba untk “ular” daripada sebarang tugasan yang diberikan. Sebenarnya, pekerja ini malas tetapi ia pandai untuk memastikan bahawa majikanya sayanginya.  Majikannya memang sayangi belaiu kerana beliau pandai bermanis mulut dengan majikannya dan akan lakukan perkara-perkara yang disukai oleh majikannya walaupun ia tidak ada kena mengena dengan tugasan beliau. Dihadapan majikan beliau, beliau berpura-pura rajin dan perihatin terhadap tugasan beliau dan syarikat.  Kepura-puraan beliau begitu berkesan sehingga majikannya percaya bahawa beliau adalah seorang pekerja yang komited. Lain-lain pekerja tidak berani sampaikan fakta sebenar keran mereka melihat pekerja berpura-pura ini amat rapat dengan majikan.

Encik D pula adalah seorang pekerja yang komited dan melihat pekerjaan nya sebagai satu amanah yang diberikan. Beliau juga akur pada perjanjian pekerjaan  yang dibuat dan berusaha sedaya-upaya untuk melakukan tugasan beliau sebaik mungkin. Beliau tidak lihat pada masa tetapi sering-kali memberi sumbangan lebih daripada apa yang diharapkan. Pekerja ini mementingan maruah diri dan melihat hasil kerjanya sebagai manifestasi maruah beliau. Oleh yang demikian, beliau tidak bekerja untuk gaji semata-mata.

Betulkah hidupku, matiku untuk Maha Pencipta? – Realiti Kehidupan

Pada saya,, orang yang beragama lazimnya akan melihat perbincangan mengenai A, B, C dan D sebagai satu perbincangan isu sekular atau duniawi semata-mata.  Bagi golongan yang beragama, perbincangan tidak ada kena mengena dengan kerohanian atau hubungan dengan Maha Pencipta. Ini adalah minda “perangkap agama” mereka yang mengatakan sesuatu yang tidak kena mengena dengan upacara agama tidak ada kaitan dengan Maha Pencipta. Inilah didikan agama mereka sejak kecil. Lain pulak dengan mereka yang benar-benar beriman dengan pengetahuan daripada Al-Quran. Manusia yang beriman dengan ilmu dan kepada Al-Quran sedar dan insaf maksud “hidupku, matiku kerana Allah” seperti yang terdapat didalam surah Al-Anaam ayat 162 sehingga 163  yang boleh ditafsir seperti berikut:-

“Katakanlah, "Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidup dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (Quran 6:162)

“Tiada sekutu bagi-Nya. Itulah yang diperintahkan kepada aku, dan aku adalah orang yang mula-mula muslim." (Quran: 6:163)

Saya dengan jujur mengatakan bahawa saya telah lihat dan dengar beberapa orang yang membaca ayat diatas tanpa memahami maksudnya dan juga kesannya yang sebenar. Ayat 6:162 yang dalam bahasa Arabnya berbunyi “Inna salaatii wa nusukii wa mah-yaaya wa mamaatii rabbil ‘aalamin” sering dibaca sebagai satu upacara tanpa penginsafan mengenai apa yang kita janji kepada Maha Pencipta. Saya juga dengan jujur mengatakan bahawa apabila saya melihat perbuatan sedemikian, ia amat mengerunkan saya kerana saya tertanya-tanya bagaimana mungkin manusia kerdil meremehkan serta memperli Maha Pencipta dengan ungkapan yang mereka tidak faham dan insaf atau tidak mahu berusaha untuk mencapainya?

Inilah antara bezanya diantara agama yang pentingkan upacara semata-mata dan Islam atau “The Way” yang pentingkan perbuatan dan tindakan seseorang setiap saat dalam kehidupannya.  Malangnya, agama mengajar manusia bahawa setakat ungkapan “saya beriman” memadai untuk menjadi seorang Muslim (iaitu seorang yang mengabdikan diri kepada Maha Pencipta).  Golongan agama ini seolah-olah tidak memperdulikan atau tidak tahu firman Allah didalam Al-Quran yang boleh ditafsirkan seperti berikut:-

“Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji?” (Quran 29:2)

“Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, dan sungguh, Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sungguh, Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Quran: 29:3)

Amat jelas sekali seperti siang yang terang benderang bahawa ungkapan dan “kepercayaan” bahawa kita “beriman”  belum mencukupi sehingga kita “diuji”. Apakah ujian ini dan untuk siapakah ujian ini? Saya sering mendengar penekanan yang diberikan oleh orang-orang beragama bahawa ujian ini terhad kepada perbuatan “perkara-perkara agama”. Maka, masing-masing penganut agama merasakan bahawa mereka telah lalui “ujian” Maha Pencipta dengan hanya melakukan upacara-upacara tertentu ini.  Inilah perangkap agama dan sememangnya agama menyempitkan ruang pengabdian kepada Maha Pencipta kepada upacara-upacara tertentu sahaja yang terlalu kerap ditekankan oleh ketua-ketua agama mereka! Upacara yang mungkin ada peranannya dijadikan perkara paling dominan dalam agama!

Lagipun, berapa lama kah didalam sehari upacara-upacara ini dilakukan? Adakah mengambil masa sehingga 4 jam sehari? Kalau begitu, bagaimana pula dengan kelakuan dan tindakan kita dalam masa baki 20 jam itu? Apakah tindakan dan perbuatan kita didalam tempoh 20 jam itu tidak diambil kira sebagai ujian juga? Mereka yang jujur dalam analisis akan merumuskan bahawa sebahagian besar kehidupan seharian kita dihabiskan dengan berinteraksi dengan orang lain dalam pelbagai peranan – sebagai ibu-bapa, rakyat, pekerja, majikan, kawan, anak, adik beradik, pemimpin yang berbagai, pelajar, peniaga, dan lain-lain. Peranan-peranan ini juga masih boleh diklasifikasikan dengan lebih kecil, sebagai contoh, pekerja boleh dikategorikan kepada buruh kasar, doktor, pemberita, pemandu teksi, peguam, penjawat awam dan lain-lain. Apakah seorang penjawat awam yang malas, menyusahkan orang awam dan tidak amanah itu menyangka sudah menjadi seorang yang “beriman” hanya dengan melakukan upacara-upacara agama dengan setia?

Pada saya disinilah lah letaknya satu lagi perbezaan diantara “agama” dan Islam. Ayat “inna salaati..” tadi itu merangkumi kesemua peranan-peranan yang dipikul oleh kita dan cara kita mengendalikannya ialah ujian yang kita sebenarnya lalui. Saya tahu pandangan saya ini mungkin berbeza dengan beberapa fuqaha namun itu pandangan saya dan masing-masing ada hak untuk pandangan masing-masing.  Pada saya juga, ujian ini ialah, antara lain, pertamanya, untuk mengenali siapa diri kita sebenarnya dan kedua ialah supaya orang lain mengenali siapa kita sebenarnya semampu peniliaan mereka. Ketiganya, saya percaya melalui ujian ini kita akan “mengenali” kebesaran dan “kasih sayang” Maha Pencipta. Maha Pencipta maha mengetahui dan Ia tidak perlu pada ujian untuk mengetahui sesuatu.

Menilai pekerja Encik A, B, C dan D.

Berbalik kepada contoh Encik A, B, C dan D diatas - Saya memberi contoh-contoh itu untuk menunjukkan bahawa Islam itu adalah “The Way” berjalan setiap saat dalam kehidupan kita dan bukannya agama yang terhad kepada pengulanggan mantra-mantra dan upacara-upacara semata-mata.

Penilaian terhadap sikap keempat-empat pekerja tadi  boleh dijadikan sebagai satu kayu pengukur terhadap kesetiaan mereka kepada Maha Pencipta. Jelas sekali pekerja Encik C menampakkan sifat-sifat seorang munafik. Beliau bukan sahaja pandai berpura-pura tetapi berjaya mengabui mata majikannya sehingga mutu pekerjaannya terjejas.  Beliau juga tidak mempunyai keinsafan bahawa Maha Pencipta maha mengetahui apa yang dilakukan olehnya. Sudah tentu kalau ia insaf akan perkara ini dan benar-benar beriman bahawa ia akan dipertanggungjawapkan oleh Maha Pencipta nanti, ia tidak berani bertindak sedemikian.

Kalau dikaji lebih mendalam lagi, Encik C ini telah ingkar kepada ajaran-ajaran Maha Pencipta seperti tuntutan memperkotakan janji (Quran:2:177) serta bersikap jujur dan amanah.  TIdak kah merbahaya orang seperti ini?

“Orang-orang munafik hendak memperdayakan Allah, padahal Allah yang memperdayakan mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas, menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan tidak mengingat Allah, kecuali sedikit”. (Quran:  4:142)

Didalam Q4:142, Maha Pencipta memberi contoh dimana seorang munafik sanggup mendirikan solat bersama sama dengan orang yang benar-benar beriman hanya semata-mata untuk memperdayakan manusia lain. Bayangkan golongan ini sanggup berkelakuan sedemikian semata-mata untuk mencapai tujuan dunaiwi dan nafsu mereka! Malangnya, mereka yang berkacamatakan agama akan melihat semua yang mendirikan solat sebagai seorang yang beriman walhal Maha Pencipta memberi kita amaran yang jelas.

Begitu juga didalam surah 63 ayat 1 yang boleh ditafsirkan seperti berikut:-

“Apabila orang-orang munafik dating kepadamu, mereka berkata, ‘Kami mengaku bahawa kamu sesungguhnya adalah utusan Allah’. Dan Allah mengetahui sesungguhnya engaku adalah utusan-Nya. Dan Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar pendusta” (Quran 63:1)

Dalam Q63:1 pula Maha Pencipta memberi contoh orang munafik yang sanggup menyaksikan Rasul sebagai utusan Maha Pencipta walhal mereka sebenarnya berpura-pura sedemikian. Sekali lagi, mereka yang berkacamatakan agama akan menilai seorang yang bersolat dan bersyahadah sebagai seorang beriman walaupun ia adalah seorang pemalas, tidak jujur atau amanah atau perasuah bertentangan dengan amaran yang diberikan oleh Maha Pencipta dalam ayat-ayat Al-Quran tadi. Saya bukanlah menganjurkan untuk menghukum orang lain, tetapi pada saya ayat-ayat ini mengajar kita berawas terhadap semua orang termasuk orang yang bersolat, bersyahadah dan lain-lain. Orang itu harus dinilai juga dari segi mana ia mengendalikan aspek-aspek kehidupannya secara menyeluruh. Memang tidak ada kita yang sempurna tetapi kita boleh campur tolak dan merumuskan samada seorang itu pada amnya seorang yang baik atau jahat. Penilaian sedemikian, saya percaya hanya mungkin kalau kita bebaskan minda kita daripada perangkap agama dan menyemai minda Al-Quran yang sememangnya praktikal dan realistik.

Tidak kah pekerja Encik D tadi boleh dinilai sebagai seorang Muslim dan mukmin? Pekerja B pula boleh dikatakan menampakkan sikap-sikap fasikuun. Bagimana pula dengan pekerja A yang hanya dimotivasikan oleh ganjaran semata-mata?  Bagaimana nak menilai seorang yang melakukan sesuatu hanya kerana “pahala” dan bukan kerana “kesukaan atau kegembiraan” Maha Pencipta? Saya tahu bahawa mereka yang berkacamatakan agama mungkin tidak akan faham mesej yang saya cuba sampaikan. Saya sudah biasa dengan keadaan ini lebih dari 15 tahun. Namun, mereka yang berlensa Al-Quran atau Islam atau “Addeen” atau “The Way” akan faham.

Agama terlalu banyak “lip service”, “superstition”, khayalan, emosi dan upacara-upacara yang tidak mengguntungkan manusia dalam kehidupan seharian. Sebaliknya, Islam berkaitan rapat dengan kesabaran, rasionaliti, kemunasabahan, keefisienan kehidupan, gaya hidup dan sikap seseorang sehingga ia dipanggil kembali oleh yang menciptanya dahulu. Sebagai satu contoh terakhir didalam artikel ini bagi menghujahkan bahawa agama dan Islam amat berbeza, saya akan menyentuh keadah berkomunikasi.

Kaedah Berkomunikasi

Kebolehan berkomunikasi amat penting didalam perhubungan sesama manusia. Masyarakat yang boleh berkomunikasi secara efisien, tepat, objektif, berdasarkan fakta dan ‘sopan’ boleh berjaya menjadi satu masyarakat yang maju, aman dan bertamadun. Malangnya, realiti kehidupan menunjukkan bahawa pelbagai pembohongan berleluasa ekoran nafsu orang-orang berkuasa dan berkepentingan. Tahap pemikiran mansuia, pada amnya hari ini dijadikan begitu rendah oleh sistem-sistem dan institusi-institusi yang diwujudkan oleh golongan berkuasa dalam masyarakat.  Ekoran perkara-perkara sedemikian, kita mengalami kesengsaraan am yang kita saksikan didunia dan dalam kehidupan kita sendiri. Agama tidak dapat menangani masalah ini kerana agama pada amnya tidak ada kena mengena dengan kehidupan seharian.

Sebaliknya, Al-Quran yang diturunkan oleh Maha Pencipta mempunyai pelbagai kaedah berkomunikasi yang relevan dalam kehidupan seharian manusia dan masyarakat.  Sebagai contoh, Al-Quran mengajar kita supaya tidak membuang masa dengan mereka yang merepek atau bercakap kosong mengenai “tanda-tanda Allah” (Quran 6:86). Kita sering berjumpa dengan mereka dikedai kopi atau dimana-mana yang hendak berbincang sesuatu semata-mata untuk mengisi masa dan bukan kerana minat yang sebenar. Begitu juga, kalau ada yang mengambil ajaran Allah sebagai satu permainan atau senda gurau (Quran: 6:70).  Tidak guna juga kita habiskan masa dengan mereka yang jahil dan kita disarankan untuk mengucapkan “salam” kepada mereka dan beredar daripada mereka (bukan maki mereka) (Quran: 25:63). Al-Quran juga mengajar bahawa orang-orang beriman juga mengelakkan diri mereka daripada pekerjaan sia-sia termasuk perbualan yang sia-sia (Quran 23:3).

Didalam perdebatan atau perbincangan, kita disuruh menggunakan keadah yang terbaik dan sopan (Quran 16:125) dan kalau hendak membidas, janganlah membidas pihak lawan dengan bidasan yang melampui (Quran 16:126) tetapi kesabaranlah yang lebih dinajurkan dalam perbincangan (Quran 16:127). Bandingkanlah cara berkomunikasi yang dianjurkan oleh Al-Quran dengan kaedah berkomunikasi beberapa orang yang ditampilkan sebagai beragama!

Kita sering dihadapkan denga ceramah-ceramah segelintir orang yang ditampilkan sebagai beragama dimana mereka mengambil kaedah menjerit-jerit, mengaibkan orang lain dan menengahkan diri sebagai terpelajar atau “alim”.  Jika kita rujuk kepada Al-Quran, Maha Pencipta mengajar kita seperti berikut:-

“Dan sederhankanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keledai” (Quran 31:19)

Sejak dibangku sekolah sehinggalah kedewasa saya sering bertanya mengapa segelintir orang yang menampilkan diri sebagai “alim” suka sangat meninggikan suara dalam berceramah?  Apakah mereka merasakan pendengar itu pekak atau apakah mereka tidak yakin dengan ayat Q31:19 tadi?  Atau adakah mereka lebih berminat untuk memainkan emosi pendengar daripada menyampaikan maklumat dan fakta?

Dengan merendah diri, saya terpaksa mengatakan bahawa ada segelintir orang beragama yang suka menghina agama-agama lain tanpa pendekatan kesopanan atau berilmiah. Cara berkomunikai ini melahirkan permusuhan dan juga mungkin menjauhkan orang yang dihina itu daripada mencari kebenaran. Malangnya kacamata agama memang mahu mempertahankan agamanya dan menentang agama lain tanpa menghiraukan pendekatan pendidikan dan perbincangan. Berlainan pula dengan Islam dimana Al-Quran mengajar kaedah berkomunikasi seperti berikut:-

“Dan janganlah kamu memaki (sembahan-sembahan) yang mereka sembah melainkan Allah, maka mereka akan memaki Allah dengan permusuhan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan”. (Quran: 6:108).

Saya hanya sempat menulis mengenai sedikit sahaja kaedah berkomunikasi yang terdapat dalam Al-Quran. Sebenarnya, sesiapa yang mahu atau rela membaca Al-Quran akan terkejut kerana akan mendapati begitu banyak kaedah-kaedah berkomunikasi dalam pelbagai situasi yang diajar dalam AL-Quran yang amat relevan dalam kehidupan seharian.

Salam.

(Bersambung Bahagian 4.. Insha Allah).

NOTA: Harap pembaca merujuk kepada naskah Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki sesiapa pun bersetuju dengan pandangan penulis diatas. Sebaliknya, penulis berterima kasih sekiranya ada sebarang maklum balasa dan pandangan berbeza. Ilmu Allah itu teramat luas untuk dimiliki oleh seorang atau sekumpulan manusia betapa berilmu pun orang itu diiktiraf. 

1 comment:

truthmind said...

Salam..

Satu situasi, di persimpan jalan seorang lelaki memakai kopiah, masuk simpang tanpa langsung memberikan signal. Lalu saya cakap, "pakai kopiah konon Islam, bawa kereta x macam org Islam". Kawan saya tanya,"kenapa kau mcm tu". Sy balas,"Tuhan x ajar kita untuk menyusahkan org lain. Jadi klau dia x bagi signal, kan da menyusahkan kereta kat belakang mahupun kereta lain yang nak keluar simpang. Isam bukan pada kopiah, tp pada pekerti. Bila alim je atau berubah, mesti pakai kopiah ke"..

Senyap kawan saya, mungkin dia tidak mempunyai hujah fakta yg lain untuk membankang.

Salam