Motivasi dan Niat
Memang motivasi atau niat
masing-masing untuk melakukan sesuatu berbeza. Namun apabila motivasi atau niat
ini ditafsirkan sebagai perbuatan, kesannya juga berbeza dari segi rohani dan
jasmani. Kita ambil sebagai contoh 4 jenis pekerja iaitu Encik A, B, C dan D.
Keempat-empat pekerja ini dibayar
gaji setiap bulan serta diberikan kemudahan-kemudahan tertentu oleh majikan
mereka. Keempat-empat mereka itu menandatangani atau telah memasuki dalam satu
perjanjian pekerjaan dengan majikan mereka dimana mereka berjanji untuk
melaksanakan tugas-tugas mereka. Katakan
juga keempat-empat mereka ini menerima gaji yang sama dan diberikan tugasan yang
sama.
Encik A adalah seorang pekerja yang
berkerja untuk gaji yang diterima. Dia masuk kerja tepat pada waktu 830pagi dan
berhenti bekerja tepat pada waktu 530 petang. Jika majikannya mahukan ia
bekerja lebih masa, ia akan lakukannya jika ia dibayar gaji tambahan masa atau overtime. Ia menjalankan kerja yang disuruh dan tidak
melakukan yang selebihnya atau sekurangnya. Ia melakukan kerjanya sekadar yang
diperlukan dan tidak sebaik mungkin. Kualiti kerjanya tidaklah cacat tetapi
tidak juga cemerlang.
Encik B pula tidak minat dengan
kerja yang beliau sendiri pilih, namun beliau merasakan bahawa kerana keperluan
kewangan, beliau terpaksa bekerja disitu. Oleh yang demikian, beliau cuba untuk
“ular” bila ada kesempatan, sentiasa melihat kepada jam untuk balik, kerap
mabil cuti sakit dan sebagainya. Mutu kerja beliau buat sering pada tahap
minima atau pada tahap lebih rendah daripada minima. Disamping itu, kerana
beliau tidak minat pada pekerjaan beliau, beliau sering juga mengumpat atau
marah dalam hati kepada majikan beliau apabila diberikan kerja.
Encik C pun adalah pekerja yang
tidak minat dengan kerjanya tetapi bekerja kerana gaji semata-mata. Beliau juga
pada amnya cuba untk “ular” daripada sebarang tugasan yang diberikan.
Sebenarnya, pekerja ini malas tetapi ia pandai untuk memastikan bahawa
majikanya sayanginya. Majikannya memang
sayangi belaiu kerana beliau pandai bermanis mulut dengan majikannya dan akan
lakukan perkara-perkara yang disukai oleh majikannya walaupun ia tidak ada kena
mengena dengan tugasan beliau. Dihadapan majikan beliau, beliau berpura-pura
rajin dan perihatin terhadap tugasan beliau dan syarikat. Kepura-puraan beliau begitu berkesan sehingga
majikannya percaya bahawa beliau adalah seorang pekerja yang komited. Lain-lain
pekerja tidak berani sampaikan fakta sebenar keran mereka melihat pekerja
berpura-pura ini amat rapat dengan majikan.
Encik D pula adalah seorang pekerja
yang komited dan melihat pekerjaan nya sebagai satu amanah yang diberikan.
Beliau juga akur pada perjanjian pekerjaan yang dibuat dan berusaha sedaya-upaya untuk
melakukan tugasan beliau sebaik mungkin. Beliau tidak lihat pada masa tetapi
sering-kali memberi sumbangan lebih daripada apa yang diharapkan. Pekerja ini
mementingan maruah diri dan melihat hasil kerjanya sebagai manifestasi maruah
beliau. Oleh yang demikian, beliau tidak bekerja untuk gaji semata-mata.
Betulkah hidupku, matiku untuk Maha
Pencipta? – Realiti Kehidupan
Pada saya,, orang yang beragama
lazimnya akan melihat perbincangan mengenai A, B, C dan D sebagai satu
perbincangan isu sekular atau duniawi semata-mata. Bagi golongan yang beragama, perbincangan
tidak ada kena mengena dengan kerohanian atau hubungan dengan Maha Pencipta. Ini
adalah minda “perangkap agama” mereka yang mengatakan sesuatu yang tidak kena mengena dengan upacara agama tidak ada
kaitan dengan Maha Pencipta. Inilah didikan agama mereka sejak kecil. Lain
pulak dengan mereka yang benar-benar beriman dengan pengetahuan daripada Al-Quran. Manusia yang beriman dengan ilmu dan kepada Al-Quran sedar dan insaf
maksud “hidupku, matiku kerana Allah”
seperti yang terdapat didalam surah Al-Anaam ayat 162 sehingga 163 yang boleh ditafsir seperti berikut:-
“Katakanlah, "Sesungguhnya solatku, dan
ibadahku, dan hidup dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Tuhan semesta alam”.
(Quran 6:162)
“Tiada sekutu bagi-Nya. Itulah yang
diperintahkan kepada aku, dan aku adalah orang yang mula-mula muslim."
(Quran: 6:163)
Saya
dengan jujur mengatakan bahawa saya telah lihat dan dengar beberapa orang
yang membaca ayat diatas tanpa memahami maksudnya dan juga kesannya yang
sebenar. Ayat 6:162 yang dalam bahasa Arabnya berbunyi “Inna salaatii wa nusukii wa mah-yaaya wa mamaatii rabbil ‘aalamin” sering
dibaca sebagai satu upacara tanpa
penginsafan mengenai apa yang kita janji kepada Maha Pencipta. Saya juga dengan
jujur mengatakan bahawa apabila saya melihat perbuatan sedemikian, ia amat
mengerunkan saya kerana saya tertanya-tanya bagaimana mungkin manusia kerdil
meremehkan serta memperli Maha Pencipta dengan ungkapan yang mereka tidak faham
dan insaf atau tidak mahu berusaha untuk mencapainya?
Inilah
antara bezanya diantara agama yang pentingkan upacara semata-mata dan Islam
atau “The Way” yang pentingkan
perbuatan dan tindakan seseorang setiap saat dalam kehidupannya. Malangnya, agama mengajar manusia bahawa
setakat ungkapan “saya beriman” memadai untuk menjadi seorang Muslim
(iaitu seorang yang mengabdikan diri kepada Maha Pencipta). Golongan agama ini seolah-olah tidak
memperdulikan atau tidak tahu firman Allah didalam Al-Quran yang boleh
ditafsirkan seperti berikut:-
“Adakah manusia mengira bahawa mereka akan
dibiarkan berkata: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji?” (Quran
29:2)
“Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang
yang sebelum mereka, dan sungguh, Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan
sungguh, Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Quran: 29:3)
Amat
jelas sekali seperti siang yang terang benderang bahawa ungkapan dan
“kepercayaan” bahawa kita “beriman”
belum mencukupi sehingga kita “diuji”. Apakah ujian ini dan untuk
siapakah ujian ini? Saya sering mendengar penekanan yang diberikan oleh
orang-orang beragama bahawa ujian ini terhad kepada perbuatan “perkara-perkara
agama”. Maka, masing-masing penganut agama merasakan bahawa mereka telah lalui
“ujian” Maha Pencipta dengan hanya melakukan upacara-upacara tertentu ini. Inilah perangkap agama dan sememangnya agama
menyempitkan ruang pengabdian kepada Maha Pencipta kepada upacara-upacara
tertentu sahaja yang terlalu kerap ditekankan oleh ketua-ketua agama mereka!
Upacara yang mungkin ada peranannya dijadikan perkara paling dominan dalam
agama!
Lagipun,
berapa lama kah didalam sehari upacara-upacara ini dilakukan? Adakah mengambil
masa sehingga 4 jam sehari? Kalau begitu, bagaimana pula dengan kelakuan dan
tindakan kita dalam masa baki 20 jam itu? Apakah tindakan dan perbuatan kita
didalam tempoh 20 jam itu tidak diambil kira sebagai ujian juga? Mereka yang
jujur dalam analisis akan merumuskan bahawa sebahagian besar kehidupan seharian
kita dihabiskan dengan berinteraksi dengan orang lain dalam pelbagai peranan –
sebagai ibu-bapa, rakyat, pekerja, majikan, kawan, anak, adik beradik, pemimpin
yang berbagai, pelajar, peniaga, dan lain-lain. Peranan-peranan ini juga masih
boleh diklasifikasikan dengan lebih kecil, sebagai contoh, pekerja boleh
dikategorikan kepada buruh kasar, doktor, pemberita, pemandu teksi, peguam,
penjawat awam dan lain-lain. Apakah seorang penjawat awam yang malas,
menyusahkan orang awam dan tidak amanah itu menyangka sudah menjadi seorang
yang “beriman” hanya dengan melakukan upacara-upacara agama dengan setia?
Pada
saya disinilah lah letaknya satu lagi perbezaan diantara “agama” dan Islam.
Ayat “inna salaati..” tadi itu
merangkumi kesemua peranan-peranan yang dipikul oleh kita dan cara kita
mengendalikannya ialah ujian yang kita sebenarnya lalui. Saya tahu pandangan
saya ini mungkin berbeza dengan beberapa fuqaha
namun itu pandangan saya dan masing-masing ada hak untuk pandangan
masing-masing. Pada saya juga, ujian ini
ialah, antara lain, pertamanya, untuk mengenali siapa diri kita sebenarnya dan
kedua ialah supaya orang lain mengenali siapa kita sebenarnya semampu peniliaan
mereka. Ketiganya, saya percaya melalui ujian ini kita akan “mengenali”
kebesaran dan “kasih sayang” Maha Pencipta. Maha Pencipta maha mengetahui dan
Ia tidak perlu pada ujian untuk mengetahui sesuatu.
Menilai
pekerja Encik A, B, C dan D.
Berbalik
kepada contoh Encik A, B, C dan D diatas - Saya memberi contoh-contoh itu untuk
menunjukkan bahawa Islam itu adalah “The
Way” berjalan setiap saat dalam kehidupan kita dan bukannya agama yang
terhad kepada pengulanggan mantra-mantra dan upacara-upacara semata-mata.
Penilaian
terhadap sikap keempat-empat pekerja tadi boleh dijadikan sebagai satu kayu pengukur
terhadap kesetiaan mereka kepada Maha Pencipta. Jelas sekali pekerja Encik C
menampakkan sifat-sifat seorang munafik.
Beliau bukan sahaja pandai berpura-pura tetapi berjaya mengabui mata majikannya
sehingga mutu pekerjaannya terjejas.
Beliau juga tidak mempunyai keinsafan bahawa Maha Pencipta maha
mengetahui apa yang dilakukan olehnya. Sudah tentu kalau ia insaf akan perkara
ini dan benar-benar beriman bahawa ia akan dipertanggungjawapkan oleh Maha
Pencipta nanti, ia tidak berani bertindak sedemikian.
Kalau
dikaji lebih mendalam lagi, Encik C ini telah ingkar kepada ajaran-ajaran Maha
Pencipta seperti tuntutan memperkotakan janji (Quran:2:177) serta bersikap
jujur dan amanah. TIdak kah merbahaya
orang seperti ini?
“Orang-orang munafik hendak memperdayakan
Allah, padahal Allah yang memperdayakan mereka. Apabila mereka berdiri untuk
solat, mereka berdiri dengan malas, menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan tidak
mengingat Allah, kecuali sedikit”. (Quran: 4:142)
Didalam
Q4:142, Maha Pencipta memberi contoh dimana seorang munafik sanggup mendirikan
solat bersama sama dengan orang yang benar-benar beriman hanya semata-mata
untuk memperdayakan manusia lain. Bayangkan golongan ini sanggup berkelakuan
sedemikian semata-mata untuk mencapai tujuan dunaiwi dan nafsu mereka!
Malangnya, mereka yang berkacamatakan agama akan melihat semua yang mendirikan
solat sebagai seorang yang beriman walhal Maha Pencipta memberi kita amaran
yang jelas.
Begitu
juga didalam surah 63 ayat 1 yang boleh ditafsirkan seperti berikut:-
“Apabila orang-orang munafik dating kepadamu,
mereka berkata, ‘Kami mengaku bahawa kamu sesungguhnya adalah utusan Allah’.
Dan Allah mengetahui sesungguhnya engaku adalah utusan-Nya. Dan Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar pendusta”
(Quran 63:1)
Dalam
Q63:1 pula Maha Pencipta memberi contoh orang munafik yang sanggup menyaksikan
Rasul sebagai utusan Maha Pencipta walhal mereka sebenarnya berpura-pura
sedemikian. Sekali lagi, mereka yang berkacamatakan agama akan menilai seorang
yang bersolat dan bersyahadah sebagai seorang beriman walaupun ia adalah seorang
pemalas, tidak jujur atau amanah atau perasuah bertentangan dengan amaran yang
diberikan oleh Maha Pencipta dalam ayat-ayat Al-Quran tadi. Saya bukanlah
menganjurkan untuk menghukum orang lain, tetapi pada saya ayat-ayat ini
mengajar kita berawas terhadap semua orang termasuk orang yang bersolat,
bersyahadah dan lain-lain. Orang itu harus dinilai juga dari segi mana ia
mengendalikan aspek-aspek kehidupannya secara menyeluruh. Memang tidak ada kita
yang sempurna tetapi kita boleh campur tolak dan merumuskan samada seorang itu
pada amnya seorang yang baik atau jahat. Penilaian sedemikian, saya percaya
hanya mungkin kalau kita bebaskan minda kita daripada perangkap agama dan menyemai minda Al-Quran yang sememangnya
praktikal dan realistik.
Tidak
kah pekerja Encik D tadi boleh dinilai sebagai seorang Muslim dan mukmin?
Pekerja B pula boleh dikatakan menampakkan sikap-sikap fasikuun. Bagimana pula dengan pekerja A yang hanya dimotivasikan
oleh ganjaran semata-mata? Bagaimana nak
menilai seorang yang melakukan sesuatu hanya kerana “pahala” dan bukan kerana “kesukaan
atau kegembiraan” Maha Pencipta? Saya tahu bahawa mereka yang berkacamatakan agama
mungkin tidak akan faham mesej yang saya cuba sampaikan. Saya sudah biasa
dengan keadaan ini lebih dari 15 tahun. Namun, mereka yang berlensa Al-Quran
atau Islam atau “Addeen” atau “The Way” akan faham.
Agama
terlalu banyak “lip service”, “superstition”, khayalan, emosi dan
upacara-upacara yang tidak mengguntungkan manusia dalam kehidupan seharian.
Sebaliknya, Islam berkaitan rapat dengan kesabaran, rasionaliti, kemunasabahan,
keefisienan kehidupan, gaya hidup dan sikap seseorang sehingga ia dipanggil
kembali oleh yang menciptanya dahulu. Sebagai satu contoh terakhir didalam
artikel ini bagi menghujahkan bahawa agama dan Islam amat berbeza, saya akan
menyentuh keadah berkomunikasi.
Kaedah
Berkomunikasi
Kebolehan
berkomunikasi amat penting didalam perhubungan sesama manusia. Masyarakat yang
boleh berkomunikasi secara efisien, tepat, objektif, berdasarkan fakta dan ‘sopan’
boleh berjaya menjadi satu masyarakat yang maju, aman dan bertamadun. Malangnya,
realiti kehidupan menunjukkan bahawa pelbagai pembohongan berleluasa ekoran
nafsu orang-orang berkuasa dan berkepentingan. Tahap pemikiran mansuia, pada
amnya hari ini dijadikan begitu rendah oleh sistem-sistem dan institusi-institusi
yang diwujudkan oleh golongan berkuasa dalam masyarakat. Ekoran perkara-perkara sedemikian, kita
mengalami kesengsaraan am yang kita saksikan didunia dan dalam kehidupan kita
sendiri. Agama tidak dapat menangani masalah ini kerana agama pada amnya tidak
ada kena mengena dengan kehidupan seharian.
Sebaliknya,
Al-Quran yang diturunkan oleh Maha Pencipta mempunyai pelbagai kaedah
berkomunikasi yang relevan dalam kehidupan seharian manusia dan masyarakat. Sebagai contoh, Al-Quran mengajar kita supaya
tidak membuang masa dengan mereka yang merepek atau bercakap kosong mengenai “tanda-tanda
Allah” (Quran 6:86). Kita sering berjumpa dengan mereka dikedai kopi atau
dimana-mana yang hendak berbincang sesuatu semata-mata untuk mengisi masa dan
bukan kerana minat yang sebenar. Begitu juga, kalau ada yang mengambil ajaran
Allah sebagai satu permainan atau senda gurau (Quran: 6:70). Tidak guna juga kita habiskan masa dengan
mereka yang jahil dan kita disarankan untuk mengucapkan “salam” kepada mereka dan beredar daripada mereka (bukan maki
mereka) (Quran: 25:63). Al-Quran juga mengajar bahawa orang-orang beriman juga
mengelakkan diri mereka daripada pekerjaan sia-sia termasuk perbualan yang sia-sia
(Quran 23:3).
Didalam
perdebatan atau perbincangan, kita disuruh menggunakan keadah yang terbaik dan
sopan (Quran 16:125) dan kalau hendak membidas, janganlah membidas pihak lawan
dengan bidasan yang melampui (Quran 16:126) tetapi kesabaranlah yang lebih
dinajurkan dalam perbincangan (Quran 16:127). Bandingkanlah cara berkomunikasi
yang dianjurkan oleh Al-Quran dengan kaedah berkomunikasi beberapa orang yang
ditampilkan sebagai beragama!
Kita
sering dihadapkan denga ceramah-ceramah segelintir orang yang ditampilkan
sebagai beragama dimana mereka mengambil kaedah menjerit-jerit, mengaibkan
orang lain dan menengahkan diri sebagai terpelajar atau “alim”. Jika kita rujuk kepada Al-Quran, Maha
Pencipta mengajar kita seperti berikut:-
“Dan sederhankanlah dalam berjalan dan
lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keledai”
(Quran 31:19)
Sejak
dibangku sekolah sehinggalah kedewasa saya sering bertanya mengapa segelintir
orang yang menampilkan diri sebagai “alim” suka sangat meninggikan suara dalam
berceramah? Apakah mereka merasakan
pendengar itu pekak atau apakah mereka tidak yakin dengan ayat Q31:19
tadi? Atau adakah mereka lebih berminat
untuk memainkan emosi pendengar daripada menyampaikan maklumat dan fakta?
Dengan
merendah diri, saya terpaksa mengatakan bahawa ada segelintir orang beragama
yang suka menghina agama-agama lain tanpa pendekatan kesopanan atau berilmiah. Cara
berkomunikai ini melahirkan permusuhan dan juga mungkin menjauhkan orang yang
dihina itu daripada mencari kebenaran. Malangnya kacamata agama memang mahu
mempertahankan agamanya dan menentang agama lain tanpa menghiraukan pendekatan
pendidikan dan perbincangan. Berlainan pula dengan Islam dimana Al-Quran
mengajar kaedah berkomunikasi seperti berikut:-
“Dan janganlah kamu memaki (sembahan-sembahan)
yang mereka sembah melainkan Allah, maka mereka akan memaki Allah dengan
permusuhan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan setiap umat menganggap
baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka,
lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan”.
(Quran: 6:108).
Saya
hanya sempat menulis mengenai sedikit sahaja kaedah berkomunikasi yang terdapat
dalam Al-Quran. Sebenarnya, sesiapa yang mahu atau rela membaca Al-Quran akan
terkejut kerana akan mendapati begitu banyak kaedah-kaedah berkomunikasi dalam
pelbagai situasi yang diajar dalam AL-Quran yang amat relevan dalam kehidupan
seharian.
Salam.
(Bersambung Bahagian 4.. Insha Allah).
NOTA: Harap pembaca merujuk kepada naskah Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki sesiapa pun bersetuju dengan pandangan penulis diatas. Sebaliknya, penulis berterima kasih sekiranya ada sebarang maklum balasa dan pandangan berbeza. Ilmu Allah itu teramat luas untuk dimiliki oleh seorang atau sekumpulan manusia betapa berilmu pun orang itu diiktiraf.