Followers

Saturday, November 19, 2011

Agama membantut pembangunan minda manusia dan melambatkan kelahiran tamadun yang mengguntungkan makhluk ??? Bahagian Satu: Agama, Ketua Agama dan Penganut Agama

(Amaran: Mereka yang merasakan diri mereka lemah minda atau malas berfikir atau mudah sensitif dengan pandangan alternatif disarankan supaya tidak meneruskan membaca perbincangan ini. Perbincangan ini sekadar perbincangan dan tidak bertujuan untuk mempengaruhi sesiapa dan sesiapa juga tidak dikehendaki untuk bersetuju dengan analisis berikut. Pandangan membina digalakkan dalam suasana sama-sama belajar dan berfikir kerana cinta kepada Maha Pencipta).
Ramai sarjana Muslim menafsir Islam sebagai cara hidup lengkap bagi manusia kerana ajaran-ajarannya konsisten dengan sifat semula jadi manusia dan alam. Ini lah yang mereka maksudkan apabila mereka mengatakan “Islam itu agama fitrah”. Dengan hormatnya, saya kurang setuju dengan pemanggilan Islam dengan istilah “agama” kerana ia mempunyai pelbagai maksud dan kebanyakkan nya tidak langsung menjelaskan “cara hidup Islam seperti yang diperjelaskan dalam Al-Quran”.  Saya lebih berminat merujuk kepada “Islam” sebagai Addeen Allah atau “cara hidup menyeluruh yang disarankan oleh Maha Pencipta untuk yang dicipta”.

Namun, istilah “agama” yang digunakan sekian lama akan terus digunakan dan lantas itu, timbul lah kekeliruan seperti mana yang wujud hari ini.

Sebelum saya menyentuh mengenai fahaman saya terhadap Islam sebagai “cara hidup yang praktikal”, biar saya bincang mengenai “agama” dahulu.

Agama dan Ciri-Cirinya

“Agama” lazimnya membawa maksud satu set fahaman terhadap kuasa ghaib, satu set kepercayaan yang tetap (kepercayaan yang tidak semestinya berasaskan akal atau pemikiran waras), upacara-upacara pengabdian diberikan keutamaan, kebergantungan kepada simbol-simbol agama, serta keperluan penganut-penganut yang bersifat homogenous dari segala segi kalau boleh. 

Disamping itu, “agama” juga dicirikan dengan pengenalpastian tempat-tempat ibadah, kewujudan ketua-ketua atau pakar-pakar agama dengan pelbagai nama, gelaran dan pangkat, dan kewujudan begitu banyak kitab-kitab agama disamping satu kitab induk, jika ada.

Hampir setiap agama tidak membenarkan atau merestui perbincangan kritikal atau penilaian mengenai asas-asas agama itu dengan pelbagai alasan termasuk alasan bahawa asas-asas agama tersebut telah mantap berkurun-kurun lama dahulu, Perbincangan kritikal mengenai agama juga akan dipandang sebagai dosa oleh pakar agama masing-masing yang sering dilihat sebagai boleh merosakkan “akidah”. Maka, hampir kesemua agama menjadi seperti warisan budaya dari jenerasi ke jenerasi dengan andaian bahawa segala pemikiran yang perlu telah pun dilakukan dengan sempurna oleh pakar-pakar terdahulu.

Pendek kata setiap penganut menerima serta mempercayai agama nya sebagai kebenaran hakiki tanpa soal.

Ciri-ciri Penganut Agama

Penganut-penganut agama pula kerap tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama mereka sendiri. Mereka hanya memperolehi pengetahuan yang amat asas daripada ibu-bapa mereka (sejak kecil lagi) atau daripada ketua-ketua agama mereka. Pengetahuan agama yang mendalam dirasakan tidak perlu kerana bagi penganut agama, melakukan beberapa upacara agama serta membaca beberapa mantra atau melalukan upacara-upacara tertentu dengan ikhlas sudah dikira sebagai penganut yang baik. 

Dari aspek amalan agama pula, melakukan beberapa “kebaikan” yang minima seperti memberi derma kepada rumah-rumah ibadah mereka atau membelanjakan wang pada hari hari tertentu atau untuk tujuan-tujuan tertentu dianggap  memadai untuk menjadi seorang penganut mithali. Perkara penting bagi penganut-penganut ini ialah kesedaran bahawa mereka lakukan “kebaikan” ini demi agama mereka atau tuhan-tuhan mereka. Ramai penganut-penganut tidak pernah terifkir bahawa “kebaikan-kebaikan” yang dilakukan diiatas nama agama masing-masing ini juga berupaya mengabui mata dan minda mengenai keberkesanan agama tersebut dalam kehidupan manusia. 

Kepercayaan (“faith”) tanpa banyak soal dipandang mulia berbanding usaha menyelidik yang dikhuatiri mungkin “menyesatkan” mereka daripada agama mereka. Orang yang menyoal atau menyelidik sering dianggap sebagai penganut yang lemah iman, ragu-ragu atau mengambil risiko besar yang mampu “menyesatkan” nya. 

“Sesat” sering bererti sebagai tidak setuju dengan pandangan umum agama mereka atau tidak setuju langsung dengan agama mereka.  Seorang penganut daripada agama A yang menganut agama B dianggap sebagai “sesat” oleh agama A dan sebagai ‘mendapat petunjuk” oleh agama B. Ukuran atau penilaian ini tidak semestinya berdasarkan kemunasabahan atau pemikiran waras mahupun penyelidikan tetapi berasaskan senitmen keagamaan atau rasa bersalah yang meragukan (“dubious notion of guilt”).

Penganut agama juga bergantung kepada agama mereka untuk keyakinan diri dan sebagai satu pegangan “kepercayaan”, maka mereka cepat marah atau melatah jika asas kepercayaan mereka dipersoal. Ini tidak menghairankan kerana apabila manusia tidak mampu menjelaskan sesuatu dengan menggunakan pemikiran, mereka akan melatah dengan emosi. Orang yang mempercayai sesuatu tanpa memahaminya secara mendalam akan marah apabila kepercayaan mereka dipersoal. 

Orang-orang jahil dan lemah minda mudah bertindak balas dengan ganas apabila zon keselesaan mereka diganggu oleh proses pemikiran. 

Maka, kita tidak harus terkeliru bahawa kemarahan mana-mana penganut agama apabila kepercayaan mereka itu dipersoal menunjukkan bahawa mereka itu “taat” kepada Tuhan.  Pada saya, hakikat sebenarnya ialah penganut agama lebih taat kepada agama dan bukan kepada Tuhan. Ada perbezaan yang besar disini. Mereka mahu mempertahankan agama mereka kerana itu adalah kepercayaan mereka untuk berpaut sebagai selimut keselamatan emosi (“emotional security blanket”). 

Penganut-penganut agama juga sering rasa tercabar jika ada penganut diantara mereka yang tidak menyertai upacara-upacara agama yang disarankan oleh agama mereka. Bagi penganut agama, mempelilhara “imej” agama menjadi sesuatu yang amat penting berbanding dengan intipati ajaran agama tersebut.  Maka, paksaan samada secara sosial atau perundangan adalah sesuatu yang penting bagi menjamin struktur luaran atau imej agama tersebut. Simbolisme memainkan peranan lebih penting daripada apa yang sebenarnya mungkin terdapat didalam hati penganut masing-masing. 

Satu lagi ciri penganut agama ialah sikap eksklusif – mereka tidak minat jika orang yang bukan penganut agama mereka berbicara mengenai agama mereka. Penganut agama menganggap agama mereka sebagai “harta” mereka atau penganut yang sebaris dengan mereka. Maka, selain daripada mereka atau pakar-pakar mereka, orang lain tidak boleh menyentuh perihal agama mereka. Adakalanya perbincangan mengenai suatu agama oleh bukan penganut dianggap sebagai perbuatan tidak sopan atau kurangaja, terutamanya jika perbincangan itu bersifat kritikal. Pada saya, sikap ini sahaja membuktikan secara rasional bahawa penganut-penganut sebenarnya tidak mementingkan Tuhan atau kebenaran kerana kepunyaan Tuhan atau kebenaran semestinya untuk semua manusia. Walaupun begitu, setiap penganut agama percaya bahawa agama mereka sahaja lah yang benar.

Oleh kerana sikap eksklusif itu merupakan ciri setiap agama, maka, kesemua penggnut-penganut agama yang berlainan ‘bersetuju’ sesama sendiri bahawa perbnicangan pelbagai agama adalah satu isu yang sensitif.  Melalui cara ini, perkembangan manusia kearah mencari kebenaran terbantut dan setiap penganut setiap agama hidup bersama dalam satu masyarakat tanpa memahami agama sendiri mahupun agama-agama lain. Memandangkan kesatuan hidup bersama diantara penganut-penganut berbeza ini bukanlah hasil kesefahaman atau berdasarkan penerimaan perbezaan yang jitu, maka potensi ketegangan diantara agama-agama sentiasa wujud. Sekiranya wujud sikap penerimaan yang jitu, maka tidak akan ada sikap obsesi untuk “convert” orang lain kepada agama tertentu ataupun ketakutan untuk mendengar fahaman agama lain.

Sikap eksklusif ini juga memperkuatkan peranan dan kuasa ketua-ketua agama semua agama disamping mengekalkan “status quo” agama masing-masing.

Ketua-ketua agama

Dalam semua agama, peranan ketua-ketua agama dengan pelbagai gelaran dan pemakaian amat penting. Mereka bukan sahaja menjadi tempat rujuk utama, malahan dianggap sebagai tempat rujuk muktamad dalam persoalan agama mereka. Ketua-ketua agama ini dianggap sebagai tokoh-tokoh yang berilmu tinggi, luas pembacaan agama mereka serta manusia-mansuia yang “suci”. 

Mereka juga dianggap mahir dalam bahasa asal kitab-kitab agama masing-masing dan dengan itu, tafsiran mereka diterima hampir tanpa soal.  Pengguasan bahasa asal ini dianggap sebagai petanda bahawa merekalah yang memahami kitab induk agama masing-masing. Orang lain yang tidak mahir dalam bahasa asal mereka dianggap tidak layak untuk bercakap mengenai agama tersebut. Didalam agama-agama tertentu, pakar-pakar agama juga dianggap sebagai mempunyai kuasa-kuasa “supernatural” atau kuasa ghaib yang membolehkan mereka melakukan beberapa perkara luarbiasa termasuk mengubati orang “secara  agama”.

Kita akan dapati bahawa walaupun kebanyakkan penganut-penganut agama tidak memahami bahasa asal kitab masing-masing, ini tidak pernah menahan ketua-ketua agama untuk kerap menggunakan bahasa asal kitab-kitab mereka dalam ucapan mahupun dalam sebarang upacara agama. Kebolehan serta kekerapan ketua-ketua agama ini menggunakan bahasa asal kitab agama mereka sering mengwujudkan suasana “kesucian” secara saikoloji. Pada saya, tujuan ini dilakukan ialah untuk meningkatkan lagi ketokohan ketua agama itu sendiri dimata penganut-penganut agama. Jika tujuannya ialah untuk mengajar atau berkongsi maklumat, sudah tentu bahasa yang digunakan ialah bahasa yang lazimnya difahami oleh para hadirin. 

Faktor ini juga menjadikan bahasa asal setiap agama itu sebagai “bahasa suci” berbanding dengan bahasa-bahasa lain mahupun bahasa yang lazim digunakan!  Pada saya, ini juga membelakangkan Maha Pencipta kerana menolak atau mengingkari kebesaranNya yang mencipta pelbagai bahasa.

Dalam agama, kita dapati bahawa kuasa yang dimilki oleh ketua-ketua agama amat besar dan berpengaruh keatas penganut-penganut agama. Ketua-ketua agama sering menekankan simbol-simbol agama, upacara-upacara serta keseragaman dikalangan penganut agama mereka. Ini memudahkan identiti luaran serta memudahkan penguasan keatas penganut-penganutnya. 

Ketua-ketua agama juga diangkat sebagai “orang-orang suci” yang boleh membawa penganut kesatu tahap keagamaan yang lebih tinggi, kealam yang lebih baik selepas mati, memahami perkara-perkara agama yang diluar kemampuan penganut biasa serta  penentu mutlak agama. Sememangnya ketua-ketua agama ini pada amnya pakar agama masing-masing kerana mereka memang berkelulusan dalam agama mereka daripada institusi-institusi terkemuka yang mengajar serta memasyurkan agama mereka, 

Dalam perbincangan saya dengan mana-mana ketua agama tanpa mengira apakah agamanya, saya selalu suka merujuk kepada Al-Quran. Tidak guna saya berdebat mengenai agama mereka menurut fahaman mereka, kerana mereka memang pakar dalam agama yang mereka sendiri menentukan bentuk dan coraknya daripada kalangan mereka sendiri!   Saya lebih berminat untuk mengajak mereka berfikir dan berbincang mengenai apa yang dinyatakan didalam Quran meskipun mereka tidak percaya bahawa Quran itu adalah wahyu Tuhan.

Memandangkan pakar-pakar ini berkelulusan daripada institutsi pengajian yang sama, maka tidak hairanlah bahawa mereka mempunyai kesepakatan fahaman dalam agama mereka. Dalam satu-satu agama, walaupun terdapat beberapa pandangan berbeza, akan terdapat satu atau dua fahaman yang dominan. Fahaman dominan inilah yang dikehendaki diiktiraf oleh mana-mana pakar-pakar agama sekiranya mereka mahu diterima oleh golongan dominan serta penganut kebanyakkan mereka. Sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan pandangan dominan ini akan dianggap menyimpang dan kerap kali, penganut atau pakar agama yang berbeza pendapat ini akan menerima akibat yang parah dalam masyarakatnya. Oleh yang demikian, mana-mana ketua agama atau penganut yang mempunyai pandangan berbeza jarang akan mendedahkan fahaman sebenarnya.  

Perbezaan pandangan diantara agama yang berbeza dianggap tidak serius berbanding dengan perbezaan pandangan didalam agama yang sama. Perbezaan pandangan didalam satu agama tidak ditolak ansur kerana ia mencabar fahaman dominan yang dipelopori oleh pihak berkuasa agama yang amat berkuasa. Perbezaan diantara agama yang berlainan tidak memberi kesan terhadap kuasa monopoli ketua-ketua agama dalam masyarakat mereka sendiri. Lagi pun, setiap ketua agama akan memberitahu penganut mereka bahawa agama merekalah kebenaran mutlak. Kedudukan ini juga menafikan peluang untuk perbincangan rasional. 

Maka agama-agama melahirkan suasana dimana hal-hal berkaitan dengan agama dimonopoli oleh segelintir ketua-ketua agama yang berkuasa dan berpengaruh. Penganut-penganut amnya hanya menjadi pak turut dan percaya bulat-bulat segala pandangan ketua agama mereka tanpa soal selidik atau kajian. Ini juga melahirkan sikap ketaatan kepada agama yang memerlukan hanya ikutan semata-mata berbanding dengan ketaatan kepada Maha Pencipta yang memerlukan pemikiran dan renungan.

Salam.

(Dengan Izin Maha Pencipta, nanti Bahagian kedua: Agama tidak menggalakkan penganutnya berfikir atau menggunakan minda.)


8 comments:

Anonymous said...

Setuju.

Mat Guyver said...

Salam,

Agama tidak layak dikategorikan sebagai ilmu kerana sifat ilmu adalah orang yang mempelajarinya dibolehkan berfikir secara bebas.

Sains ialah ilmu. Kita ambil fizik kuantum. Einstein berpendapat tiada partikel atomik yang boleh bergerak lebih laju dari cahaya. Baru-baru ini saintis di CERN membuat satu eksperimen di mana neutrino mampu bergerak lebih laju dr gelombang cahaya.

Walaupun Einstein dianggap manusia paling pintar selepas Isaac Newton, tp dgn penemuan ini, para saintis sedang berdebat utk menyemak semula teori relativiti Einstein. Si genius ini pun ada kekurangannya dlm memahami keseluruhan gambaran hukum fizik.

Tetapi ini tidak berlaku dlm agama.
Pembesar2 agama dianggap sebagai Tuhan. Perfect. Suci. Hebat. Berkuasa. Ajaran2 mereka tidak boleh dipertikaikan langsung atau berdepan dgn hukuman. Masyarakat mempersekutukan Tuhan tetapi mereka tidak sedar.

Jika imam-imam keagamaan pada abad ke-10 berpendapat Bumi di atas tanduk seekor lembu gergasi, penganutnya akan percaya dari generasi ke generasi sehinggalah manusia sampai di Bulan pada pertengahan abad ke-20.

Agama tidak membenarkan masyarakat berfikir dan layaklah ianya dikategorikan sebagai satu proses doktrin bukannya ilmu.

-Mat Guyver-

Apple Li Lac said...

huh...kalau Cik Bunge mengaku cik Bunge tak ada agama,agak-agaknya jatuh tak hukum -terkeluar dari Islam...hehe!

Anonymous said...

Salam

Satu lagi, biasanya masalah akan timbul apabila golongan agama mengaitkan politik dengan agama, padahal ada beza antara agama dan politik...
perbezaan keimanan dengan sistem politik
...

Juang said...

Salam,

Kita boleh lihat perangai sesetengah orang Islam lebih2 lagi yang terasa dirinya lebih Islam daripada yang lain. Mereka boleh bertoleransi dengan penganut agama lain dengan membenarkan patung2 besar di bina untuk penganut Buddha bangsa Siam. Tetapi sesama Islam mereka tidak boleh bertoleransi hanya kerana isu "hukum hudud" umpamanya.

Sepatutnya jika mereka boleh bertoleransi tentang hal-hal penyembahan dan penyekutuan Tuhan, kenapa sesama Islam mereka tidak boleh berlapang dada tentang hal-hal yang lebih kecil daripada itu.

Kdin said...

Salam ,

Saya akan berbesar hati sekiranya Tuan dapat dalam bahagian seterusnya menyatakan ciri-ciri yang patut ada pada seorang Muslim dan amalan-amalan yang patut di lakukan oleh seorang Muslim dengan merujuk kepada Al Quran.

Saya ada membaca translation Quran dalam bahasa Inggeris dan dari fahaman saya ciri ciri yang patut ada pada seorang Muslim adalah humility, gratitude, honesty, truthfulness and fairness. Ada pula dosa-dosa secara spesifik yang patut dihindari seperti "seting up partners with God", adultery, theft, bribery, cheating, murder dan sebagainya.
Dan ada pula "amalan" tertentu seperti solat, berpuasa, mengerjakan haji dan bersedekah yang wajub dikerjakan.

Namun saya khuatir samada pemahaman saya ini bersifat superficial sahaja dan samada terdapat sesuatu yang lebih mendalam dari itu dalam apa yang dikehendaki ke atas diri seorang Muslim.

Terima kasih.

Assabul Matsaani said...

Terlalu banyak bukti yang telah Allah nampakkan kepada manusia bahawasanya golongan yang paling keras seksaan Allah keatasnya di dunia ini ialah golongan yang mendustakanNya!
Pendusta paling besar dari dahulu hingga sekarang ialah ahli2 kitab Allah itu sendiri. Imbaui sejarah kaum Noh, Tsamud, Aad dan Luth dan perhatikan pula pendustaan orang2 Arab terhadap Allah melalui kitab Allah yang mereka namai Al Quran. Sudah berapa bilion penganut agama yang Arab namai 'islam' terseksa kerana diazabkan Allah di dunia dan di akhirat 3:56; tdak ada sebab lain kecuali mendustakan ayat-ayat Allah.
Umat Islam telah dimasukkan ke neraka jahanam 7:179 kerana tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, sebaliknya, suka memahami ayat-ayat terjemahan orang-orang Arab yang amat munafik.
Selagi manusia berpegang kpd 'Kitab Arab' selagi itulah doa 'ehdinasyirotol mustaqim' akan sentiasa dibaca kerana mereka doa mereka untuk mendapatkan jalan yang lurus TIDAK pernah dikurniakan Allah. Lalu mereka terus menerus membacakan doa tersebut hingga ke liang lahat.

Emmanuel25 said...

Mr jahamy
Bertaubatlah daripada kesesatan yg terlalu dahsyat ni..
Sebenarnya fikiran kamu sudah lari daripada kebenaran
Percaya kepada apa yg dibawa oleh ulama sangat penting
Mereka pewaris para nabi yg diturunkan kepada mereka ilmu agama
Al quran itu sebagai satu alat yg membantu kita... Ulama dan hadis nabi itu pula sebagai
Manual kepada alquran... Ini membantu kita supaya memahami dalam konteks apakah suatu suruhan dan larangan diadakan..
Saya bersetuju dgn ulama.. Dan kalau agama islam itu sebagai sebuah badan.. Maka
Para ulama adalah otak dan aqalnya... Kita perlukan seseorang yg profesionnya dalam bidang agama untuk berbicara tentang perkara yg lebih mendalam fasal agama...
Hidup islam... Hidup ulama