Berbicara mengenai Maha Pencipta seharusnya menimbulkan pelbagai perasaan diantaranya gementar dalam jiwa (“taqwa”), cinta (“muaddah”) serta kesyukuran. Sepastinya ia juga akan menimbulkan suatu perasaan kuat untuk berkhidmat sebaik mungkin sesama manusia supaya kesejahteraan dapat dirasai bersama. Antara sikap yang dapat menimbulkan kesejahteraan sesama manusia adalah “rahmah”. Perkataan “Islam” itu pula akarnya “salam” yang bererti “kesejahteraan”.
Allah telah menurunkan Al-Quran kepada manusia supaya kesejahteraan (“Islam”) ini dapat dicapai. Di dunia hari ini, setiap mereka yang memperakui diri mereka sebagai “Muslim” mendakwa bahawa mereka beriman (“percaya”) kepada Al-Quran. Sudah tentu mereka juga beriman bahawa Al-Quran serta cara hidup yang dianjurkan oleh Maha Pencipta itu tidak merumitkan lagi kehidupan yang mencabar ini? Memang Allah telah berfirman bahawa Al-Quran itu di turunkan bukan sebagai bebanan kepada manusia tetapi sebagi satu rahmah.
“Kami tidak menurunkan Al-Qur'an kepadamu supaya engkau sengsara, (Quran: 20:2)
“melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)” (Quran: 20:3)
Ini seharusnya bermakna bahawa inti pati Al-Quran akan meringankan perjalanan kita didalam bumi ini sekiranya kita gunakan nya sebagai satu panduan yang konsisten. Ini pula bermakna kita akan secara aktif membaca, menafsir dan mengaplikasikan nya terhadap segala aspek kehidupan kita. Ia tidak akan tertakluk dan terpakai hanya untuk upacara-upacara agama yang sudah kita terlalu lazim. Lebih daripada itu, ajaran Al-Quran menjadi penentu utama segala tindak-tanduk kita.
Boleh kah Al-Quran menjadi penentu utama tindak tanduk kita sekiranya kita tidak memikirkan, mengupas atau membincangnya? Ramai akan terus berkata bahawa ini lah sebabnya kita memerlukan seorang guru untuk mengajar. Seorang guru memang mempunyai peranan di dalam menyampaikan maklumat. Kita semua pernah pergi ke sekolah dan ada yang pernah ke Universiti. Mari lah kita cuba untuk mengupas pertalian di antara guru dan murid.
Guru mengajar sesuatu ilmu dan murid di harapkan dapat memahami ilmu tersebut. Pemahaman suatu ilmu dengan penghafalan tidak sama. Murid yang menghafalkan kata-kata guru tanpa memahami nya masih di tahap tidak berilmu. Untuk memahami nya, murid tersebut harus memikirkan dan menilai apa yang di katakan oleh guru itu. Murid yang lebih baik akan menjalankan kajiselidik nya sendiri dan berkemungkinan juga menjadi lebih hebat daripada guru nya satu hari kelak. Adakah guru ini akan marah kepada murid nya yang pandai dan boleh memahami perkara-perkara yang guru itu ssendiri tidak mampu faham kerana pelbagai sebab?
Boleh kah kita mengatakan bahawa guru-guru kita adalah sumber muktad ilmu tertentu? Tidak pernah kita berfikir bahawa guru sains kita di sekolah menengah itu adalah sumber muktad ilmu sains. Apa beza nya dengan guru agama?
Adakah kita pernah beranggapan bahawa ilmu matematik yang ada pada guru-guru matematik kita itu sahaja lah segala ilmu matematik? Tidak pernah. Maka, apa bezanya dengan guru agama di mana kita sering berangapan bahawa ilmu agama nya adalah yang muktamad dan terakhir?
Sekiranya manusia beranggapan bahawa ilmu yang ada pada guru-guru mereka adalah yang muktamad dan yang penghabisan, maka ilmu di dunia ini tidak akan berkembang dan justeru itu, kita mezalimi diri sendiri. Mengapa di katakan menzalimi diri sendiri? Bukan kah menidakkan sesuatu yang hak itu menzalimi diri sendiri? Fitrah kehidupan ialah pengembangan ilmu, namun kita sengaja mengehadkannya. Kita sudah menidakkan “hak” fitrah.
Seorang guru yang mengajar murid nya bahawa ilmu yang ada pada nya itu muktamad dan penghabisan sebenar nya mengingkari ajaran Al-Quran.
“Sekiranya segala pohon di bumi menjadi pena-pena, dan laut menjadi tinta, - ditambah tujuh laut sesudah itu untuk mengisi semula – niscaya tidak akan habis kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”. (Quran: 31:27
Ilmu Allah itu terlalu luas dan setiap ilmu yang disampaikan pada manusia itu ada masa nya yang di tentukan oleh Allah. Sebagai contoh, dalam abad ke-19 baru diturunkan kepada manusia ilmu internet dan tidak awal daripada itu. Tidak zalim ke manusia yang bernama guru kalau ia mahu menyekat “ilmu Allah”? Usaha menyekat ini adalah usaha sia-sia yang pasti tidak berjaya. Namun setan-setan akan mencuba juga. Itu kerja mereka.
“Katakanlah, "Apa, adakah kamu akan mengajar Allah mengenai agama kamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit, dan apa yang di bumi? Dan Allah mengetahui segala sesuatu." (Quran: 49:16)
Begitu juga murid yang taksub kepada guru memuja guru tersebut dan tidak mementingkan ilmu sebenar. Pemujaan guru sudah tentu satu bentuk syirik bukan? Murid yang mementingkan ilmu dan kebenaraan akan melihat usaha guru itu sebagai satu pembuka jalan kearah mencari dan memahami ilmu. Itu seharusnya merupakan satu permulaan pencarian yang tidak terhenti sehingga maut terutama sekiranya kita beriman kepada surah Luqman ayat 27 tadi.
Dalam kita sering memperkatakan bahawa “belajar tanpa guru akan bergurukan setan”, kita lupa bahawa guru itu sendiri mungkin setan. Cara terbaik untuk menilai guru ialah dengan membandingkan ajaran serta pemikirannya dengan Al-Quran itu sendiri. Ini lah sebab nya Allah menamakan Al-Quran juga sebagai “Al-Furqan” iaitu “pembeda” yang membolehkan kita membezakan yang palsu dan yang benar.
Sekiranya kita terima bahawa kedua-dua guru dan murid sentiasa berada didalam keadaan sebagai seorang “pelajar” berbanding dengan ilmu Allah, maka sudah tentu perbincangan dan pertukaran pandangan adalah perkara biasa. Maka, tidak kah usaha mengehadkan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai Maha Pencipta itu suatu tindakan yang sengaja menghalang pencarian dan pemahaman kebenaran? Walhal, Allah mempunyai keyakinan kepada orang-orang yang beriman di mana saranan mudah seperti berikut diberikan:-
“yang mendengarkan perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik diantara nya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk; mereka itu, merekalah orang-orang yang berakal” (Quran: 39:18
Malangnya, ada pula manusia yang bersikap tuhan dimuka bumi ini yang bernekad untuk berperanan sebagai “pelindung dan penentu” kebenaran. Walaupun Allah telah memberi petunjuk yang jelas bagi mereka yang mahu, golongan ini pula takut bayang-bayang dan menuduh bahawa manusia am ini “tidak berilmu dan mudah sesat”. Maka dihujah bahawa perbincangan dan pemikiran harus disekat. Adakah kesesatan dapat di halang dengan mengharamkan pemikiran dan perbincangan? Baik kita fikir betul-betul perkara ini.
“Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu yang diberkati, supaya mereka memikirkan ayat-ayatnya, dan supaya orang-orang yang mempunyai minda mendapat pelajaran”. (Quran: 38:29)
Tidak kah jelas daripada ayat-ayat diatas serta banyak lagi ayat-ayat didalam AL-Quran bahawa Allah menganjurkan orang-orang beriman untuk menggunakan akal atau minda mereka? Sudah tentu akal tidak dicipta semata-mata untuk perhiasan!
Seperkara lagi, tidak kah susah dan rumit untuk menjadi seorang Muslim sekirnya kita tidak boleh berbincang dan berkata mengenai Pencipta kita sendiri? Perkara ini tidak menjadi hal bagi mereka yang mengambil “agama” mereka sebagi satu permainan, upacara atau adat. Namun bagi mereka yang mengambil Islam sebagai keseluruhan kehidupan mereka, batasan sedemikian merupakan satu penindasan jiwa.
Disamping sebab-sebab yang lain, bagi mereka yang “take God seriously”, mereka sentiasa merasakan bahawa wujud nya satu “intense and intimate personal relationship with God” dan mereka amat insaf bahawa diri mereka lah dan bukan orang lain yang akan dipertanggungjawapkan keatas tindak-tanduk mereka di bumi ini.
“Katakanlah, "Adakah aku akan mencari satu tuhan, selain daripada Allah, padahal Dia adalah Tuhan segala sesuatu?" Tiap-tiap jiwa mengusahakan hanya untuk dirinya sendiri; dan tidak lah orang yang dibebankan memikul beban orang lain. Kemudian kepada Tuhan kamu, kamu kembali, dan Dia memberitahu kamu apa yang padanya kamu memperselisihkan”. (Quran: 6:164)
“Kami tidak membebani sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya, dan pada Kami ada sebuah Kitab yang berkata benar, dan mereka tidak akan dizalimi”. (Quran: 23:62)
Salam!
[NOTA: Sila rujuk Al-Quran masing-masing dan penulis tidak mengkehendaki sesiapa pun untuk bersetuju dengan pandangan nya di dalam artikel ini. Sebaliknya, penulis alu-alukan sebarang pandangan yang membantu.]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment