Pertama kali saya mendengar perkataan “bila dah tua, boleh lah taubat adalah semasa saya dibangku sekolah menengah. Kata-kata ini diungkapkan oleh beberapa rakan sesekolah. Kemudian daripada itu, saya juga mendengar daripada beberapa dewasa dikeliling saya. Sebenarnya saya keliru apabila mendengar nya pertama kali dan bertambah keliru sehingga sekarang.
“Taubat” yang saya faham adalah satu sikap yang menyedari bahawa suatu tingkah laku, pendirian, cara hidup atau tabiat yang diamalkan oleh kita itu adalah tidak direstui oleh Allah dan lantas itu kita menggantikan nya dengan satu sikap yang baik. Sebagai contoh, mungkin kita secara tabiat suka menipu orang lain. Tiba-tiba satu hari timbul kesedaran bahawa sikap menipu itu tidak baik dan sekaligus kita menggantikan atau berusaha bersungguh-sungguh untuk menggantikan nya dengan sikap jujur.
Taubat semestinya bererti menggantikan yang jahat dengan yang baik. Ia tidak boleh sesuatu yang bercakap sahaja tanpa amalan baik yang menggantikan yang jahat atau yang buruk.
“Mereka ini diberi upah mereka dua kali ganda kerana mereka bersabar, dan menolak kejahatan dengan yang baik, serta menafkahkan daripada rezeki yang Kami berikan pada mereka”.(Quran 28:54)
Pertama, saya percaya prinsip “menggantikan yang jahat dengan yang baik” adalah sejajar dengan saikoloji manusia serta hukum alam. “Things cannot exist in a vacuum”. Maka, bagaimana kedudukan mereka yang menyedari bahawa mereka melakukan kejahatan tetapi “menunda taubat” berdasarkan pelbagai alasan? Sebagai contoh, perasuah berikrar akan “taubat” satu hari kelak atau selepas pencen. Orang yang menipu dan mencuri dalam pelbagai keadaan kehidupan dengan pelbagai kaedah kreatif berikrar akan “taubat kelak”. Begitu juga dengan yang malas menjalankan amanah yang diterima olehnya berikrar akan “taubat” kelak dan sebagainya.
“Allah hanya menerima taubat orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian dengan segera bertaubat; Allah akan menerima taubat mereka, dan Allah adalah Mengetahui, Bijaksana”. (Quran 4:17)
Kedua, jelas bahawa taubat yang diterima oleh Allah adalah taubat oleh orang yang melakukan kejahatan tanpa disedari olehnya iaitu dalam kejahilan. Kalau ia tahu itu adalah jahat atau tidak baik, dan ia masih sengaja melakukannya adakah “taubat kelak” itu merupakan “taubat” yang dimaksudkan dalam Al-Quran? Bagaimana dengan kerosakkan yang telah dilakukan olehnya terhadap makhluk Allah dengan penuh sedar sekian lama?
Ketiga, pada saya perkara yang jelas adalah orang yang hendak taubat itu mesti mempunyai keupayaan untuk taubat iaitu keupayaan menggantikan yang jahat dengan yang baik. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghabiskan kehidupan sihatnya dengan membohongi wanita untuk kepuasan nafs nya. Apabila beliau menjadi tua dan tidak bermaya, beliau pun “taubat” atas perlakuan memperkosakan wanita. Adakah beliau berupaya memperkosa wanita lagi apabila sudah tua dan tidak bermaya? Kalau tidak berupaya, beliau tidak melakukan kejahatan bukan kerana beliau sengaja berhenti tetapi kerana beliau tidak berupaya melakukan kejahatan lagi. Beliau telah dihentikan oleh aliran masa.
Contoh yang lain: Orang yang bercakap bohong boleh taubat dengan bercakap benar. Bagaimana kalau ia sudah menjadi bisu kerana sesuatu penyakit dan lantas ia “bertaubat” tidak akan bercakap bohong? Bagaimana orang yang telah dihilangkan keupayaan bercakap boleh berikrar untuk bercakap yang benar.
Katakan pula ada pegawai kerajaan yang korup dan ia bertekad akan “taubat” selepas bersara. Namun, apabila ia bersara, ia sudah pun kehilangan kedudukan atau keupayaan untuk menerima rasuah. Maka bagaimana ia boleh “mengorbankan” (iaitu berhenti mengambil rasuah) sesuatu yang tidak lagi ada pada nya?
“Tetapi tidak diterima taubat orang-orang yang melakukan kejahatan sehingga, apabila salah seorang antara mereka didatangi kematian, dia berkata, "Sesungguhnya sekarang saya bertaubat", dan tidak juga bagi orang-orang yang mati dengan tidak percaya (kafir); bagi mereka, Kami menyediakan azab yang pedih” (Quran 4:18).
Berdasarkan fahaman seperti diatas, saya berpendapat konsep “taubat selepas tua” amat mengelirukan dan tidak tepat dengan hakikat alam. Konsep itu mengandaikan bahawa kita akan sampai ke peringkat tua . Gagal didalam usaha bersungguh untuk memperbaiki diri tidak sama dengan tindakan sengaja menunda usaha memperbaiki diri atas alasan “satu hari nanti”.
Salam.
DISCLAIMER: Pembaca disarankan untuk memeriksa dengan sendiri ketepatan sebarang terjemahan Al-Quran didalam tulisan saya. Tulisan ini juga merupakan fahaman saya dan saya tidak meminta mana-mana pembaca terima fahaman saya ini. Ia adalah sekadar perkongsian dan saya mempelawa sebarang komen pembetulan. Prinsip ini adalah berterusan didalam semua artikel saya yang bersangkut paut dengan Addin Allah.
Antara Ratu Dan Rakyat
10 hours ago




